Bab 2

1.6K 25 0
                                    

"MAAF, Encik Haniff tak boleh masuk. Ini arahan Cik Hannan."

Zara humban kata-kata amaran kepada lelaki kacak yang berdiri di hadapan. Haniff buat-buat pekak dengan larangan wanita muda yang berdiri di depannya ini. Dia tak kira. Bilik Hannan dituju. Ada perkara yang perlu diselesaikan. Haniff tidak akan berganjak selagi Hannan tidak memberikan jawapan pada persoalan yang ditimbulkannya sewaktu pertemuan pertama mereka di klinik beberapa hari lalu. Dan kerana itu juga Haniff berusaha menjejaki Hannan hingga ke sini usai pertemuan pertama antara mereka. Haniff tidak kira. Walau apa pun, dia tetap menagih jawapan Hannan. Dia perlu tahu siapa gerangan anak kecil yang mendakap kemas tubuh Hannan hari itu.

"Encik Haniff, nanti! Encik Haniff!" Zara laju mengejar susuk tubuh lelaki yang makin kerap hadir di pejabat menemui ketuanya sejak seminggu ini. Entah siapa lelaki ini sampai ke hari ini Zara tidak tahu. Tidak wajar ditanya kepada Hannan kerana dilihat ketuanya itu tidak pernah membuka mulut tentang gerangan lelaki ini. Lelaki yang tiba-tiba muncul dalam diari tidak rasmi Hannan. Langkah Zara makin deras mendekati lelaki yang langsung tidak mengendahkan panggilannya. Suara Zara terus memanggil.

"Encik Hanif tak boleh masuk. Encik Haniff tak ada janji temu dengan Cik Hannan. Tolong faham. Ini peraturan. Janganlah menyusahkan saya pula. Tugas saya, saya kena patuh dengan arahan ketua saya."

Zara tidak henti bercakap bersama langkah deras yang mengejar lelaki bernama Hanif yang makin laju di hadapan.

"Encik Haniff... Tolong beri kerjasama."

Ternyata usaha dan kata-kata Zara gagal mengekang kemaraan langkah Haniff ke bilik Hannan. Haniff sudah laju meloloskan tubuh ke dalam bilik Hannan yang tadinya tertutup rapat. Mati la aku! Zara kemam bibir. Pesanan Hannan agar dia tidak diganggu dalam masa dua jam ni kerana perlu menyiapkan kertas cadangan yang diminta Datuk Hamzah gagal dilunaskan Zara. Dan lelaki itu penyebabnya! Zara garu kepala. Eee... Dia ni. Menyusahkan hidup orang betullah! Bencinya aku dengan dia ni!

Dua pasang mata berlaga. Hannan laju membawa mata ke pintu biliknya yang ternganga secara tiba-tiba tanpa sebarang isyarat. Zara yang tercegat di belakang seorang lelaki ditatap. Jelas air muka Zara mempamerkan rasa bersalah yang teramat. Hannan tahu Zara tak bersalah. Lelaki yang terpacak di hadapannya ini memang tak faham bahasa!

"Cik Hannan. Sa... Saya minta maaf. Saya tak sempat nak ha..."

Hannan angguk kepala. Wajah tenang dihulur. Senyum kecil terpamer dari ulas delima merekah yang bercalit merah samar.

"Tak apa, Zara. Tolong tutup pintu bilik saya, ya? Terima kasih."

Zara lepas nafas. Akur. Kepala diangguk.

"Baik, Cik Hannan."

Zara lontar lirik mata ke arah lelaki yang sudah melabuhkan duduk di hadapan Hannan. Bibir diketap bersama jelingan yang terbentang. Isy, tak reti bahasa betul. Hempuk baru tau! Tangan menarik tombol pintu.

Hannan memerhatikan langkah Zara hingga pintu ditutup. Haniff yang berdiri direnung. Tangan kanan dihala ke arah kerusi di depan. Isyarat. Haniff yang mengerti, tarik leher kerusi. Tubuh berlabuh di perut kerusi baldu yang lembut. Wajah Hannan diperhati.

Mata Hannan kembali jatuh pada lembar kertas kertas putih yang bergelimpangan di atas meja. Pena yang terkepil di jari kembali menari-nari di atas lantai kertas. Sesekali mata melirik pada skrin empat segi Lenovo di depan. Tetikus dilarikan ke kiri dan kanan. Dibawa balik pandangan ke lembar kertas. Mata pena terus mencatat. Hannan buat tak endah kepada tetamu tak diundang yang sedang merenungnya dari tadi.

Tiada suara yang berdetik. Hanya hembus nafas yang datang dari dua tubuh berdesir memenuhi ruang bilik yang sederhana besar. Sepasang mata Haniff tidak lepas menentang raut bujur sirih yang bertudung ungu hari ini. Nampak anggun.

"Hannan."

Jeda.

Haniff terus tidak berkelip memandang raut wajah mulus Hannan yang tenang meladeni timbunan kertas yang bergelimpangan di atas meja. Panggilannya langsung tidak bersambut. Haniff sedar dia di pihak yang bersalah maka dia sanggup terima apa sahaja bentuk layanan Hannan terhadapnya.

"Hannan... Tolong."

Pena di tangan dilepaskan. Mata dikelipkan beberapa kali.

"You ni tak faham bahasa ke?" Perlahan diluncur kata-kata dari bibir. Hannan tenung wajah Haniff. Lahar rasa yang meledak dalam kawah hati makin membuak-buak. Cuba diredakan. Tidak mahu terjerumus dalam gaung perangkap amarah yang menunggu saat menelan jiwa.

"I berhak tahu siapa budak tu. Susah sangat ke you nak bagi jawapan?"

"Hak?"

Hannan lontar senyum sinis kepada Haniff.

"Hak apa yang you ada? Mengarut!"

"I tak kesah, Hannan. I tahu budak tu ada hubungan dengan I. You jangan nak nafikan."

Hannan renung wajah Haniff. Lama. Hempasan nafas yang berkecamuk dan menggila di dalam dada cuba dikawal. Gelora yang sedang membadai jiwa tidak mahu diperlihatkan. Dia tidak mahu nampak tewas di mata lelaki ini. Lelah jiwa tidak usah dihitung. Berkecamuk dengan rencah rasa yang tak mampu ditelan. Berhadapan dengan lelaki yang tidak pernah ingin ditemui lagi seumur hidup ini bagaikan sumpahan paling mengerikan. Hannan sungguh tak menduga akan berjumpa lagi dengan Haniff. Entah macam mana agaknya dia mampu menjejaki Hannan usai pertemuan pertama mereka di klinik minggu lalu. Cukuplah, Haniff. Apa lagi yang you mahu daripada I? Jangan bercakap soal hak dengan I, Haniff. I jijik dengar tau tak!!!

Tubuh berbalut kurung ungu lembut berbunga putih bingkas dibawa berdiri. Langkah diatur ke kabinet di belakang. Langsung tidak diendahkan tetamu tidak diundang yang sedang duduk di hadapannya. Lantaklah! Dia memang tak diundang.

Haniff bingkas bangun. Langkah dibawa mendekati Hannan yang membelakanginya. Helaan nafas berlari laju. Jarak tubuh yang makin kecil jurangnya di antara mereka membuatkan Hannan pantas berpusing. Dua tubuh saling bertentangan. Hannan dakap fail hitam kejap di dada. Mata tajam melontar.

"Jangan dekat, Haniff."

"Hannan..."

"I cakap, jangan dekat!" Hannan ketap bibir. Mata bulat mencerlung. Marah. Geram.

"Tak. I tak nak, Hannan."

"Haniff!"

"Tak selagi you tak jawab."

"Pergi mampuslah." Hannan hambur kata balas. Sakit hatinya dengan desakan lelaki ini.

"You tak ada pilihan, Hannan."

Hannan angkat kening.

"Hei! Apa you cakap?"

"Jawab, Hannan. Bukannya susah pun. Siapa dia?"

"I tak akan jawab apa-apa."

"Baiklah. Kalau begitu, I akan tunggu di sini... Dengan you... Sepanjang malam."

"You dah gila ke, Haniff?!" Mata Hannan mencerlung lagi.

"You yang buat I jadi gila, Hannan. Pilihan ada di tangan you sekarang. Kita akan habiskan masa di sini sepanjang malam atau you jawab persoalan I. Dia anak I, kan?"

"You memang gila, Haniff!" Hannan ketap bibir. Kuat. Dada berombak. Geram. Amarah menggunung. Jari-jemari digenggam. Kemas. Rapat.

Tika Itu... Inai Masih MerahWhere stories live. Discover now