Bab 6

5.6K 120 3
                                    

Sedang elok dia menjamah makanan yang terhidang, mata Bakhtiar ralit melihat dahi Kaisara yang bengkak.

"Sebenarnya dari tadi aku nak tanya, kenapa dengan dahi kau tu? Bengkak dan lebam. Kau cuba nak bunuh diri ke tadi?" Selamba ayat itu menghentam Kaisara.

"Daripada aku bunuh diri, baik aku bunuh kau! Tak boleh ke kau fikir yang baik-baik aje pasal aku? Haih, aku dah rasa macam mangsa dera dah! Ada malaun langgar aku. Sampai terhantuk dekat meja." Mengingatkan Arjun Rampal itu, makin bertambah sakit hati Kaisara.

"Ya ke?"

"Yalah."

"Siapa malaun tu?"

"Lawyer baru dekat ofis aku. Lawyer yang terputus wayar!"

Bakhtiar tergelak besar.

"Nanti tolong sampaikan ucapan terima kasih dekat dia, ya?!" pesan Bakhtiar sambil menyuap Char Kuetiau yang baru sampai ke dalam mulutnya.

"Erkkk... Terima kasih?" Muka Kaisara berkerut. Tak faham!

"Yalah, terima kasih kerana tinggalkan tanda di dahi kau. Dah macam Harry Potter pun ada! Dah lama aku teringin nak sekeh kau, tapi aku tak sampai hati. Kalau orang lain buatkan pun, aku dah bersyukur gila!"

Okey, itu memang benar-benar ayat sarkastik yang membakar jiwa kewanitaan!

"Jangan sampai kau pun dapat tanda macam ni, Bak." Kaisara sudah mula memberi amaran.

"Isy... Makin kau garang, makin aku sayanglah!" Bakhtiar mula bermain kata-kata.

Tahu sangat ayat yang boleh patahkan bicara Kaisara. Kali ini Kaisara angkat tangan. Bila dah masuk tang sayang, Kaisara memang surrender. Nanti melayang pula perasaannya.

Lagipun, dia memang anti spesies lelaki romantik ini. Memang alergi!

"Lawyer tu macam mana orangnya?"

"Biasa aje. Ada hidung. Ada mulut. Ada mata. Yang penting, aku rasa dia tak ada hati." Mengingatkan Arjuna, eh sakit pula hatinya.

"Hati dia pergi mana? Kau curi ke? Oh... Pandai dah curi hati orang sekarang."

"Bak, kau ingat kelakar ke hah? Tak ada kerja aku nak curi hati mamat Arjun tu."

"Arjun? Oh... Indian?"

"Taklah... Nama dia Arjuna. Aku panggil dia Arjun Rampal. Dah dia sesuka hati aje panggil aku Sara... Marah betul aku!"

Bakhtiar ketawa. Dah lama dia tak tengok Kaisara begini. "Awal-awal lagi dia dah letakkan diri jadi orang yang spesial dalam hati kau, ya? Berani."

"Kan? Berani lagi dia cari pasal dengan Nurul Kaisara, nanti dia!"

Acah-acah gengster sangat minah ni. "Okey satu aje aku nak pesan, hati dia dah hilang. Jangan nanti hati kau pun hilang sama."

"Dah apa pasal hati aku nak hilang pula?"

"Well, hati hilang bila jumpa dengan cinta."

Kaisara tayang muka I can't believe it! Bakhtiar memang tak sayang mulut sungguh! Berani mamat sarkastik ni bagi analogi macam gitu?

"Kisah kita dah lama berlalu, Ara. Kau tak nak ke cari pengganti aku? Ke aku calon kekasih yang terlalu best sampai tak mampu dilupakan?" sakat Bakhtiar.

"Jangan sampai air ni melayang ke muka kau, Bak." Gelas fresh orange dicapai. Kaisara sudah berkira-kira untuk mengacah.

Eleh mamat ni cakap orang, dia pun apa hal single sampai sekarang? Ke mereka ni memang tercipta untuk satu sama lain?

Alergi Mamat RomantikWhere stories live. Discover now