Bab 11

4.9K 127 5
                                    

Tolak sahaja pintu bilik Arjuna, Kaisara dapat melihat wajah kusut yang sedang menghadap fail yang bertimbun. Stres kerja gamaknya. "Encik, saya nak balik dulu." Sekadar nak memberitahu hari ni dia tak rajin nak buat kelas. Tapi apabila tidak mendapat sebarang respons daripada Arjuna, cepat-cepat Kaisara tarik kerusi.

"Apa pasal muka macam tu?" Teruk sangat ke kerja hari ni?

"Muka macam mana?" Arjuna raba muka sendiri. Apa yang tak kena? "Hari ni kuantiti handsome saya berkurang ke, macam mana?" Sempat lagi Arjuna nak tambahkan dos perasan.

"Hah, memang berkurang pun, Encik Arjun Rampal. Dah serupa cicak sembelit!"

Arjuna ketawa. Minah ni memang pandai buat orang ketawa. "Awak suka panggil saya Arjun Rampal, kan? Saya rasa Arjun Tampal lebih sesuai dengan saya."

Berkedut dahi Kaisara. "Arjun Tampal?" Apa ke aneh sangat Arjuna hari ni? Ke otak dia baru kena tampal sampai dia tak centre macam gini?

"Yalah, senang saya ambil hati awak dan tampal dengan kasih sayang saya."

"Ceh! Saya repot dengan awek Encik Arjuna nanti." Bahaya betul mamat ni. Dia tak tahu ke yang ayat manis dia tu boleh buat perempuan cair? Mujurlah ini, Nurul Kaisara. Yang terkenal dengan kepala batu dan hati batu.

"Alah, gurau sikit pun tak boleh. Hmmm... Saya ada masalah besar."

"Besar manalah masalah awak tu, Encik Arjuna? Cuba cerita. Saya ni macam kaunselor juga walaupun tak bertauliah. Mana tahu boleh hilangkan beban."

"Saya ada reunion minggu ni."

"Oh... So? What's the problem? Tak ada baju nak pakai?"

Kali ini meledak lagi tawa Arjuna. Macam ringan aje tangan nak tunjal kepala Kaisara. "Itu masalah perempuan. Bukan lelaki."

Kaisara ikut turut ketawa. "Kannn... Almari penuh pun rasa tak ada baju. Tapi bila time nak lipat kain, eh, apa pasal berlebih pula bajunya? Masa itulah rasa almari tu beranakkan baju-baju yang berlambak tu. So, apa masalahnya?"

"Hmmm... Ada ex-girlfriend saya."

"Dah tu?"

"Dia dah ada tunang."

"Okey. Then?" Setakat ni Kaisara tak jumpa sebarang masalah besar.

"Isy, Awak tak faham lagi ke?" Otak Kaisara ni pakai rangkaian planet mana ni? Lembab sangat berfungsi.

"Oh, awak masih sayangkan dia? Isy, dia dah ada tunang kut. Lagipun, awak kan dah ada kekasih. Takkan awak masih sayangkan dia pula? So, hati dah berbelah-belah ke macam mana?" Kaisara dah mula buat konspirasi sendiri.

"Awak ni kan." Bibir yang tak bersalah itu digigit. Ada juga dia ketuk minah ni nanti.

"Apa? Saya ada salah cakap, eh?"

"Mestilah. Tak ada makna hati saya terbelah-belah. Sekarang ni, jatuhlah saham saya. Dia dah ada tunang. Saya tak boleh kalah dengan dia tau. Nanti dia ketawakan saya."

Ya Tuhan... Ada juga perangai lelaki macam gini?

"Lah, apa masalahnya? Awak memang dah ada kekasih, kan? Tapi kekasih awak tu duk studi overseas sana tu."

"Dia tak akan percaya. Mesti dia ingat saya sengaja buat cerita. Saja nak action depan dia."

Kali ini Kaisara ikut turut berfikir. "So, awak nak buat apa?"

Dia mula rasa tak selesa apabila Arjuna memandangnya tak berkelip. Beku pula dia dibuatnya. Ingat dia tak faham ke apa yang terbuku dalam benak Arjuna itu.

Alergi Mamat RomantikWhere stories live. Discover now