Bab 8

4.4K 48 0
                                    

WAJAH Thaqif yang sedang lena di atas lantai yang beralaskan permaidani dipandang lama. Wajah itu kelihatan tenang ketika memejamkan mata namun tiada siapa yang tahu apa yang berada dalam hati lelaki yang dingin itu. Nuha meneliti setiap pelosok wajah Thaqif yang kacak. Tiada satu pun yang cacat pada wajah lelaki ini tetapi Nuha sedar, hati Thaqif yang cacat. Cacat kerana membiarkan diri terus hanyut dibuai dengan kenangan silam yang akan melemaskan dirinya sendiri.

"Saya tahu awak tak cintakan saya malah awak tak pernah sedar kewujudan saya depan mata awak, tapi tak mengapa saya reda asalkan awak terus berada di sisi saya," desis Nuha sambil menongkat dagu memandang wajah Thaqif.

Jam sudah berdetik ke angka enam namun Nuha masih leka merenung wajah Thaqif. Mungkin dengan cara ini saja dia mampu untuk meluahkan perasaannya.

"Mungkin saya yang terlalu awal jatuh cinta kepada awak tapi adakah mencintai awak itu satu kesalahan? Kalau benar salah, saya rela untuk terus rasa bersalah. Awak tahu tak, betapa sakitnya hati saya bila awak cakap yang awak anggap saya macam adik saja sedangkan saya dah bersedia untuk terima awak sebagai suami saya. Kenapa awak buat saya macam ni, Cikgu Thaqif?" luah Nuha dengan rasa sebak yang mula menghurung jiwanya.

"Awak mungkin boleh halang diri awak daripada jatuh cinta kepada saya tapi awak tak boleh halang saya untuk terus menyayangi awak. Saya takkan paksa awak untuk terima saya tapi saya akan terus berusaha untuk mendapat tempat dalam hati awak kerana saya adalah isteri awak," sambung Nuha lagi.

Dia mula bangun dengan tekad dan azam. Dia akan berusaha untuk merebut hati suaminya itu walaupun Nuha tahu dia akan terluka. Nuha menarik nafas panjang dan menghela dengan perlahan. Dia tersenyum manis. Bermula pada saat ini, dia akan cuba bangkit untuk terus mengukir corak hidupnya sendiri dan apa yang pasti, dia tidak akan mengalah untuk merebut hati Thaqif.

Lalu, dengan perlahan-lahan, Nuha turun dari katil dan duduk melutut di sisi Thaqif yang masih lena. Nyenyak betul dia tidur. Mungkin penat sangat kut, bisik hati Nuha.

"Cikgu, cikgu... Bangunlah. Dah subuh," kejut Nuha sambil menyentuh lengan Thaqif yang sedang mengiring. Namun, lelaki itu masih belum sedarkan diri. Hanya terdengar desah nafas lelaki itu saja, membuatkan Nuha terasa tenang.

Lalu, Nuha mendekatkan lagi badannya ke arah Thaqif. Dia merapatkan sedikit wajahnya ke wajah Thaqif.

"Cikgu, bangun dah lambat ni. Nanti subuh habis," bisik Nuha di telinga Thaqif.

Thaqif yang terasa ada sesuatu berbisik di telinganya cepat-cepat membuka mata. Dia terkejut melihat wajah Nuha yang berada beberapa inci saja dengan wajahnya. Dengan pantas dia bingkas bangun dan mengengsot sedikit badannya ke belakang.

Nuha tergelak kecil melihat reaksi wajah Thaqif yang sedikit terkejut. Dia duduk bersimpuh sambil menatap wajah suaminya yang masih lagi terpinga-pinga.

"Saya bukan nak apa-apakan cikgu, saya cuma nak kejutkan cikgu. Subuh dah masuk ni. Saya pergi mandi dulu, ya? Nanti kita solat sama-sama, boleh?" tanya Nuha dengan senyuman yang mekar di bibir.

Thaqif masih lagi mendiamkan diri. Lidahnya seakan-akan kelu untuk membalas kata-kata Nuha. Akhirnya, dia menganggukkan kepala. Kelihatan Nuha sudah bingkas bangun dan berlalu ke dalam bilik air. Thaqif melepaskan nafasnya. Kenapa tiba-tiba aku jadi kelu nak bercakap dengan dia, ya?

Tidak lama kemudian, Nuha keluar dari bilik air. Cepat-cepat Thaqif melangkah masuk ke dalam bilik air. Wajah Nuha langsung tidak dipandang. Entah, tiba-tiba saja dia terasa gementar apabila berhadapan dengan gadis yang sudah sah menjadi isterinya semalam.

Nuha hanya tersenyum melihat tingkah laku Thaqif yang kelihatan sedikit canggung. Dia tidak dapat meneka apa yang bermain dalam fikiran lelaki itu. Cuma apa yang dia pasti, dia cukup gembira kerana berada di sisi lelaki itu walaupun lelaki itu tidak mahu mencintainya.

Jadikan Aku Yang KeduaWhere stories live. Discover now