Margandat - BAB 4

150 17 0
                                    

Semak samun itu bergoncang apabila diredah ganas. Bunyi dahan patah dilanggar dan ranting dipijak jelas kedengaran.  Dari sebalik semak tebal, muncul satu kelibat makhluk setinggi 5 kaki. Langkah terhenti di hujung pinggir semak tesebut.  Berdiri tegak memandang ke hadapan. Tangan kirinya memegang satu bungkusan seperti guni berwarna coklat. Satu cecair pekat mengalir dari celahan guni  dan terus menitis ke atas tanah. Merah dan berbau hanyir.

Makhluk itu mengawasi kawasan persekitaran dengan penuh waspada. Matanya merenung tajam ke setiap arah.  Langkah di atur. Dia terus berjalan ke arah tebing sungai. Berhenti berdiri tegak merenung ke dalam air sungai yang jernih, hingga menampakkan dasarnya yang berbatu kecil. Namun masih terlihat bayang tubuhnya walaupun samar-samar.

Direnungnya lama permukaan air sungai itu. Menatap wajah sendiri. Tangan kanan mengusap lembut wajahnya. Seketika kemudian dia mendegus. Melepaskan satu keluhan yang berat. Seperti sudah lama bersarang di dada.  Lantas makhluk itu duduk dengan sebelah kaki kiri melutut ke atas tanah. Bungkusan seperti guni berwarna coklat  itu diletakkan ke atas tanah.

Dia menceduk air sungai dengan sebelah tangan lalu disapu ke muka. Dia masukkan ke dalam mulut sedikit lalu dikumur-kumur dan diludah semula. Merah dan kotor air yang diludah keluar. Diulang beberapa hingga dia berasa yakin dan puas.

Ditadah air sungai dengan tangannya lalu di hirup. Air yang dingin itu laju melalui kerongkongnya. Sekian lama air sungai itu sudah  membasahkan tengkuk walaupun ada terasa payau. Tetapi itu dahulu, bertahun sudah berlalu.

*****

Persekitaran kawasan itu sunyi sahaja. Semua penghuninya sama ada yang baru atau lama sedang nyenyak 'tidur' termasuk sahabatnya yang baru sahaja dihantar ke situ.

Hasan duduk mencangkuk di hadapan kubur Ramli. Tanah masih merah. Baru dua hari Ramli di kebumikan di sini. Dia juga turut serta membantu semasa upacara pengebumian dilakukan walaupun mendapat renungan tajam daripada Tuk Penghulu.

Tuk Penghulu nyata mempersalahkan dirinya atas kejadian yang menimpa Ramli walau tidak dinyatakan  berterus terang secara lisan. Namun Hasan dapat menangkap maksud itu  daripada nada percakapan Tuk Penghulu yang seperti melarang kepulangan dia ke perkampungan Gandat dalam perbualan di rumahnya semalam.

Hasan tidak peduli lagi. Kali ini dia nekad. Atas sebab itu dia memberanikan diri juga untuk kembali ke sini walaupun dia sedar apa yang bakal menantinya nanti. Ajal dan maut ditangan Tuhan. Dia yakin, selagi belum tiba masanya untuk di tarik nyawa yang satu ini, selagi itulah dia tetap dengan pendiriannya.

"Assalamualaikum,Ramli. Aku harap kau tenang di sana. Aku kecewa,tak sempat untuk kita berjumpa sewaktu kau masih bernyawa. Teringin benar aku hendak berjumpa dengan kau. Tapi apakan daya, kau terlebih dahulu di jemput oleh Sang Pencipta. Aku redha atas pemergian kau. Tapi, aku tetap akan menuntut bela. Jika kepulangan aku menjadi punca yang membawa kepada kematian kau, aku janji pada kau, aku akan akhiri semua ini. Aku janji, Ramli." Hasan berusaha menahan sebak. Menitis jua air matanya yang sudah bertakung di kelopak mata sedari tadi. Al fatihah di utuskan sebagai bekalan untuk kawan sepermainannya sewaktu kecil itu.

Telinganya menangkap satu bunyi dari arah semak berhampiran. Dia memicingkan telinga namun masih tidak berpaling ke arah tersebut. Bunyi kepakan burung-burung yang terbang dari sebatang pokok rambutan memaksa dia untuk menoleh juga.  Seperti nya burung itu dihambat oleh sesuatu. Sunyi. Tiada sebarang bunyi lagi seperti tadi.

Hasan meliarkan matanya ke setiap sudut hutan. Mencari-cari sebarang pergerakan yang mencurigakan. Seketika kemudian tersengar bunyi ranting dipijak serta pokok renik dirempuh sesuatu.

"Siapa tu?." Hasan memberanikan diri untuk bertnya. Dia mulai bimbang. Tambahan pula dia cuma keseorangan disini. Tanpa sebarang senjata. Sebatang kayu dicapai. Dia menghunus ke arah semak tadi. Bersiap siaga dengan sebarang kemungkinan.

Senyap dan sunyi.

Seketul batu di ambil lalu dicampakkan ke arah semak tadi. Tiada apa-apa yang berlaku.

'Mungkin beruk' kata Hasan di dalam hati. Cuba menyedapkan hatinya untuk tidak terlalu memikirkan perkara bersifat negatif.

Hasan berundur berjalan meninggalkan tanah perkuburan tersebut. Walaupun terselit kebimbangan di sudut hatinya, namun nekadnya sudah membulat.
Dia akan menuntut bela walaupun pertumpahan darah tidak dapat dielakkan lagi.

MARGANDATWhere stories live. Discover now