Green Tea

77 3 2
                                        

Berdirinya sunyi dalam khalayak manusia. Sesekali kepalanya ditinggikan untuk melihat depan. Berpada dia mengeluh. Sabar, bisiknya mungkin. Selang beberapa ketika gilirannya tiba. Waktu itu cuma ada dia sahaja.

"Ya sis nak order apa?"

Soalan itu dibiar tergantung dengan sengaja. Ditenungnya menu yang terlekat pada sudut meja kaunter.

"Green tea ni kan dia macam mana ek?"

Adi yang ditugas menjaga hadapan gerai terdetak sebentar. Susah ni, bisiknya barangkali. Insan yang berhadapan dengannya kini memang jujur dalam bersoal.

"Green tea kami letak susu, so yeah."

Adi terasa jawapannya dungu sekali. Dia terus-terusan memerhati gadis itu, menanti penuh debar jika kata balasnya tadi dicemuh atau dibuat endah.

"Tapi kami boleh adjust ikut preference cik la. Nak letak susu boleh, kosong boleh. Manis, kurang manis semua boleh buat."

"Ohhh." Si gadis pula bersuara. Lihatnya seakan berminat pada green tea itu. Namun timbul pula kerut² kecil pada dahi. Bibirnya dimuncung senget ke kanan.

"Tapi kan, kalau diberi kuasa pada saya untuk pilih macam mana saya nak green tea, di mana kejutannya kan?"

Huishh, Adi kagum sendiri dalam hati. Jauh pula perginya pemikiran gadis ini. Dia tersenyum spontan. Selepas itu dia kagum semula kerana memikirkan dia tiba² sahaja mampu tersenyum spontan seperti tadi.

"Cik ni pertama kali ke mencuba green tea ni?"

"Haah. Sebab tu tanya."

Tuala kecil mengelap big cup dihampar pada bahu. Adi lalu pergi ke belakang gerai, khususnya di meja di mana tempat mereka membancuh air. Tangan kirinya menyambar gelas kecil bersih dan dituangkan dengan air green tea dari jag di tangan kanannya. Separuh gelas, cukup. Bakinya ditaruh ais hingga penuh. Sedikit susu cair dituang dengan cermat.

"Cik, rasalah dulu. On the house." Adi tersenyum sopan. Gelas tadi beralih tangan.

"Takpe ke?" soal gadis itu. Dibeleknya gelas itu dengan penuh pengamatan. Aromanya dihidu. Matanya lalu membulat diikuti dengan senyum yang menaikkan pipi.

Sisipan pertama. Si gadis dengan cepat berubah rupa. Senyum yang tadi sekadar menaikkan pipi kini makin melebar menghiasi wajah. Diteruskan dengan pantas sisipan kedua, ketiga dan seterusnya hinggalah tinggal hanya ais yang tidak sempat mencair.

"Boleh tahan kan?"

"Sedapp! Sedap betul air ni."

"Terima kasih banyak. Sekarang bagi membalas soalan cik tadi pasal kejutan tu, saya nak tanya sesuatu. Cik nak ubah apa² lagi tak pada air ni? Nak lebih manis ke, kurang manis ke nak macam mana?"

Si gadis terdiam seketika. Senyum yang tadi melebar kini membentuk muncung senget ke kiri pula.

"Sedap dah, cuma kalau boleh bagi pekat lagi green tea baru perfect."

Adi mengangguk kecil sambil mengukir sengih. Gelas air pada si gadis dipinta dengan hemat.

"Jadi, penting atau tidak kejutan itu sebenarnya? Kejutan itu bagus kerna sifatnya menghidupkan. Tak kira bagus atau buruk, kejutan mampu melipatgandakan perasaan kita. Suka jadi seronok. Marah jadi mengamuk. Tu semua kesan dari kejutan. Namun kejutan juga tak kekal lama kesannya. Impaknya sekejap, kerana kejutan ni ada satu lagi kuasa pada dia."

"Apa dia?" Si gadis makin tertarik.

"Kejutan ni licik kerana dia menyembunyikan sesuatu kelemahan itu dengan bijak. Bila kejutan tu beransur hilang, baru kita nampak realiti sebenar sesuatu perkara. Baru kita nampak ada perkara yang masih terkurang."

"Ohhh. Jadinya..."

"Maksud saya cik, sama ada cik mahu dikejutkan dengan cara kami atau cik ingin ikut preference sendiri, keduanya masih ada kekurangan masing². Jadi tiadalah banyak beza jika cik mahu dikejutkan oleh kami, cara kami atau dikejutkan dengan preference cik sendiri. Keduanya adalah pengalaman yang berguna."

Wow. Si gadis terkebil-kebil mendengar penerangan Adi. Adi sepertinya sangat berbangga dapat berhujah dengan lancar.

"Jadi, cik nak order? Gelas besar RM5. Gelas kecik RM4. Beza seringgit je."

Si gadis tersenyum lalu menggeleng. Adi kehairanan, namun dia seakan faham akan karenah pelanggan² zaman kini. Si gadis lalu berlalu pergi tanpa sebarang ucap. Adi yang memerhati hanya tersenyum seorang.

Di belakangnya, teman sekerja Adi masih tergamam. Sekali-sekala mereka memandang sesama sendiri. Adi berpusing lalu kehairanan.

"Apasal pelik? Tak pernah tengok aku layan customer?"

Salah seorang dari teman Adi bangkit dari duduk. Tangannya menggenggam erat bahu Adi.

"Adi. Aku ada kenal sorang ustaz ni. Esok kita jumpa dia nak?"

"Apasal? Pasal aku banyak cakap dengan customer?"

"Tak. Bukan sebab tu." Temannya mengeluh. Kelihatan mulutnya berat untuk berkata-kata.

Direnungnya Adi penuh risau.

"Kita takde customer pun tadi."

KoyakCerita yang bikin terobses. Temukan sekarang