Malam itu Sohok balik lambat seperti biasa. Rutin kerja pembancuh air di kedai makan tidak memungkinkan Sohok balik awal, lebih-lebih lagi bila kedai makan tempat dia bekerja setiap malam memasang vcd WWE. Kaki lepak, kaki tengok gusti tanpa sedar boleh menghabiskan bergelas-gelas air teh tarik.
Pada siang hari pulak Sohok bekerja di bengkel Padli dari pagi sampai ke petang. Ikut waktu office hour. Apa boleh buat, silap Sohok sendiri malas nak belajar zaman sekolah dulu. Kuat ponteng kelas dan kaki jamming. Bakat mengetuk dram Sohok tu dipraktikkannya untuk mengetuk bodi kereta di bengkel Padli.
******
Selesai menunaikan solat Isyak, Sohok merebahkan badan di atas katil bertilam span yang hampir sama nipis dengan badannya yang kurus meleding tu. Dia tertanya-tanya mana pergi Issey, housemate-nya yang tak ada di rumah. Selalunya tiap kali Sohok balik kerja, Issey mesti dah berdengkur dalam bilik. Paling tidak pun layan ps3. Dah hampir jam 2 pagi. Dalam tak sedar dia terlelap dek keletihan.
******
Tok! Tok! Tok!
Pintu depan diketuk bertalu-talu. Sohok terpisat-pisat menggosok mata. Jam tepat pukul 3 pagi.
'Arghhh! Dahla balik lambat, aku jugak yang kena bukak pintu. Kunci tu gantung je kat leher buat loket, lain kali takde la menyusahkan aku kena bukak pintu untuk kau malam-malam buta macam ni' gumam Sohok sambil bangun mengilas kain pelikat kelabu pemberian bekas aweknya Siti yang kantoi curang dengan pekerja stesen minyak Bangladesh berwajah kacak ala Remy Ishak.
******
Pintu dikuak. Issey melulu masuk tanpa memandang pada Sohok yang masih terpinga-pinga depan pintu.
"Oii, dah tak reti bagi salam ke? Dahla balik lambat, kunci tak bawak. Kan ke jadi satu keje aku nak kena bukak pintu. Kau dari mana ni hah? Tak pernah balik lewat macam ni. Ade masalah ke? Mana pegi motor kau?" Soal Sohok dalam bebelan sambil matanya melilau ke halaman rumah mencari kelibat motosikal Issey.
Issey berhenti melangkah.
"Motor rosak kat simpang 3 depan sana, aku jalan kaki sampai sini" jawab Issey dengan suara sedikit garau dari biasa tanpa berpaling pada Sohok dan terus menuju ke arah dapur.
Sohok hanya menggelengkan kepala sambil menutup pintu. Sebelum dia masuk ke bilik sempat dia menjenguk Issey di dapur. Dia melihat Issey berdiri sambil merenung ke arah peti sejuk membelakangi Sohok.
******
"Issey, kau okay ke? Semacam je aku tengok. Ada masalah bagitau la, kot-kot aku boleh tolong. Pasal motor kau esok kita ambik bawak pegi bengkel, aku tengok-tengokkan mana yang patut. Dah, pegi tidur kang terlajak pulak. Takde orang yang nak kejutkan aku bangun subuh. Nak harapkan bini, calon pun takde lagi" Sohok buat-buat gelak nak sedapkan hati kawan baiknya itu.
Sunyi. Tiba-tiba Issey berpaling mengadap Sohok.
"Boleh aku tumpang tidur bilik kau tak? Aku rasa macam nak kau temankan aku malam ni" kata Issey memecah kesunyian antara mereka sambil sedikit menyeringai merenung Sohok.
Tiba-tiba bulu roma Sohok berdiri dan meremang sampai ke belakang tengkok.
'Lain macam benar perangai Issey malam ni, dah kena sampuk ke ape dia ni?' Sohok bertanya pada diri sendiri.
Dalam masa yang sama bulu roma Sohok makin tegak, setegak tiang lampu depan rumah yang suka-suka menyala dan suka-suka padam.
Bagai dipukau dan entah macamana, dia sudah pun berada di biliknya. Issey juga berbaring di sebelah. Oleh kerana terlalu letih dan mengantuk, Sohok tidak peduli apa-apa lagi. Dia tertidur dengan sepasang mata & senyuman sinis 'orang' sebelah yang tak henti merenungnya dari tadi.
******
Sohok mengeliat. Badannya terasa berat dan sakit. Dia membuka mata. Cahaya matahari dari tingkap nako menyilaukan pandangannya.
'Alamak, terlajak tidur lagi' gumamnya.
Dia berpaling ke sebelah. Kosong. Ternyata Issey sudah lebih awal bangun.
"Cis! Tak boleh harap punya kawan. Selalu boleh je tolong kejutkan aku bangun subuh. Nak masuk syurga tak nak ajak aku la tu" bebel Sohok sambil melepaskan nafas panjang.
Dia melihat ada beberapa kesan lebam biru di tangan dan betisnya. Masing-masing sebesar lebih kurang syiling 50 sen. Perasaan hairan bercampur pelik. Sakit bila disentuh. Ada sedikit debar di dada Sohok.
"Apa yang aku buat semalam? Takde pulak aku jatuh atau terhantuk sesuatu" katanya perlahan.
Selesai mandi dan bersiap dia mencapai handphone-nya yang di cas dari semalam. Penuh dengan notification whatsapp. Dia membelek satu persatu. Dia terpandang nama Issey dan terus membuka chatbox itu.
-- "Weh, aku nak bagitau. Aku tak dapat balik malam ni. Motor aku rosak. Aku tidur rumah abang aku kat Gombak. Ape-ape hal esok aku roger kau"--
Diam. Dia melihat waktu Issey menghantar teks itu. Pukul 1.30 pagi. Otaknya ligat mengingati kejadian semalam.
'Ahh, nak bergurau pun agak-agaklah' marah Sohok dalam hati. Teks Issey dibalas dengan hati panas.
-- "Oii, jangan nak membongak laa. Semalam bukan main tersengeh-sengeh nak tidur dengan aku. Cakap jela kau takut, dahla balik lewat. Kau pegi mana?" --
Ting!
Teks berbalas.
-- "Apa kau merepek ni? Kan aku dah bagitau semalam aku tak dapat balik. Motor aku tak boleh start. Masa tu aku kebetulan kat rumah abang aku so tidur sana aje la. Ni aku baru sampai bengkel nak repair motor. Abis kerja petang ni aku balik." --
*****
Sohok terkaku. Kaki tangannya bagaikan kebas. Mukanya juga seperti bersemut-semut. Liur yang ditelan ibarat menelan batu konkrit.
'Kalau bukan Issey yang balik dan tidur dengan aku semalam, habis tu 'dia' tu siapa?' Sohok berteka-teki sambil mengingati wajah 'Issey' yang semalam.
"Jadi, kau dah tau siapa aku?" Seperti ada yang berbisik di telinga Sohok dan mengekek-ngekek halus.
Dia melompat dari katilnya dan meluru ke luar. Enjin motosikal dihidupkan dan terus pergi tanpa menoleh lagi.
Ada yang tersenyum sambil memerhatikan Sohok dari muka pintu dengan wajah yang seiras dengannya.
Tamat
YOU ARE READING
JÊNGGI
HorrorBila kamu rasa ia ada tapi di mana.. Bila kamu masih rasa ia ada dan ia benar-benar ADA... Di sini...
