Bab 6

2.9K 67 0
                                    

DIA termenung sambil memandang ke arah luar teksi. Sudah dua hari dia tidak datang ke butik dengan alasan tidak sihat. Dia telah meminta cuti daripada Marsha selama tiga hari bermula Isnin lalu. Tapi, disebabkan dia tidak sampai hati mahu membiarkan Marsha menyiapkan kerjanya, dia gagahkan diri untuk ke butik hari ini.

Apa yang dia lihat malam Ahad lalu di Suria KLCC semasa dia memperagakan pakaian rekaan Marsha masih segar dalam ingatannya. Disebabkan hal itulah emosinya tidak stabil sehingga mengganggu kesihatannya.

Enam minit kemudian, teksi yang dinaikinya berhenti betul-betul di pinggir jalan yang berhadapan dengan butik Marshanda Collections. Selepas membayar tambang, Hania melangkah keluar dari teksi lalu menuju ke butik Marsha.

"Assalamualaikum," ucap Hania sambil melangkah masuk ke dalam butik selepas membuka sandalnya dan diletakkan di tepi pintu.

Tiada sesiapa di ruang depan butik sehinggalah muncul Marsha dari dalam seketika kemudian.

"Walaikumussalam," jawab Marsha dari pejabatnya sambil melangkah ke depan butik.

"Ya Allah, Hani! Kenapa kau datang butik tak bagi tahu aku? Kau kata kau nak bercuti tiga hari sampai hari ni, kan?" tanya Marsha, terkejut dengan kemunculan kawan baiknya itu yang secara tiba-tiba.

Laju dia melangkah menghampiri Hania. Risau dia dengan keadaan kawan baiknya itu. Tiba-tiba sahaja tidak sihat selepas majlis Malam Gala Kuala Lumpur Fashion Week malam Ahad lalu. Sehingga kini dia masih belum berkesempatan untuk bertanya kepada Hania apa yang telah berlaku malam itu.

"Aku bosan duduk dekat rumah, sebab tu aku datang butik hari ni," jawab Hania dengan jawapan palsu lalu dia melabuhkan punggungnya di atas sofa di ruang santai. "Lagipun, baju nikah anak mak Datin rambut kepuk-kepuk minggu lepas tu aku tak siapkan lagi. Dua minggu lagi dia nak ambil baju tu, kan? Rasanya banyak lagi manik aku tak jahit," sambungnya sambil menyandarkan tubuh pada sofa. Pening kepalanya masih terasa.

Marsha melangkah menghampiri Hania lalu dia duduk di atas sofa bersebelahan dengan Hania menghadap kawan baiknya itu.

"Kalau kau call aku cakap kau nak datang butik hari ini, boleh aku jemput kau. Bukannya jauh pun taman perumahan kita tu dengan butik ni. Tak perlulah kau naik teksi ke sini," ujar Marsha, risau.

"Aku tak nak susahkan kau."

"Susah apanya? Kita dah lama berkawan, kan? Lagipun kalau kau tak sihat, tak payahlah datang butik. Berehat aje dekat rumah. Fasal kerja jahit manik kau yang tertangguh tu, pandailah aku pujuk mak Datin tu."

"Aku dah okeylah. Kalau aku terus berehat dekat rumah tu, macam-macam penyakit pula datang kepada aku nanti."

Keluhan berat dihela Marsha dengan satu rengusan geram. Susah kalau bercakap dengan Hania. Kawan baiknya itu asyik hendak menang sahaja jika bercakap.

"Hani, kau ni sebenarnya kenapa ek? Betul ke, kau demam sebab aku dinobatkan sebagai juara pertandingan rekaan fesyen malam tu? Aku macam dapat rasa kau demam disebabkan perkara lain," tanya Marsha, musykil yang teramat sangat.

Dia yang menang tempat pertama pada malam Ahad lalu disebabkan rekaannya berjaya mencuri hati semua juri yang ada, tapi Hania pula yang demam.

Keluhan berat Hania helakan sambil memandang bosan ke arah Marsha.

"Kau ada nampak hantu ke malam tu?" tebak Marsha apabila Hania terus membisu tidak memberi sebarang jawapan untuk soalan-soalannya tadi.

Kali ini kenyataan Marsha itu betul-betul kelakar sehingga membuatkan Hania tergelak kecil.

Encik Suamiku HipsterWhere stories live. Discover now