Bab 3

3.4K 73 0
                                    

Hania duduk di salah satu kerusi yang ada berhampiran dengan kaunter pembayaran sementara menanti pesanannya disiapkan. Kebiasaannya dia akan makan di restoran ini bersama Marsha. Memandangkan kawan baiknya itu terpaksa ke Bukit Bintang atas urusan kerja, terpaksalah dia membungkus makanan kegemarannya dan makan di butik sahaja.

"Assalamualaikum." Sapaan itu mengganggu fokus Hania yang sedang melihat akaun Facebooknya melalui telefon pintar. Pantas dia mengangkat wajah memandang ke arah insan yang memberi salam itu.

"Waalaikumussalam. Abang Faiz rupa-rupanya," jawab Hania dengan senyuman manis. Melihatkan wajah lelaki itu, terus terputar kembali kata-kata Marsha mengenai lelaki itu sebelum ini. Terus dia terasa janggal.

"Boleh abang duduk sini?" tanya Faiz, si abang sado sambil menghala jari telunjuknya pada kerusi kosong di hadapan Hania.

"Boleh, duduklah," balas Hania, senang hati tanpa ada rasa terganggu. Namun, rasa janggal itu tetap ada selepas apa yang Marsha katakan tentang lelaki itu semalam.

Faiz tersenyum gembira lalu melabuhkan punggungnya di atas kerusi di hadapan Hania.

"Abang baru nak makan ke ni?" tanya Hania sekadar berbasa-basi. Telefon pintarnya masih ditatap skrinnya.

"Haah, abang bungkus aje. Masa oder tadi abang ternampak Hani dekat sini, tu yang datang tegur. Marsha tak makan sekali? Biasanya Hani dengan dia?" jawab Faiz disusuli soalan sambil meliarkan pandangan ke arah sekitar restoran tepi jalan itu mencari kelibat Marsha yang tidak kelihatan. Sebenarnya dia mengenali Hania dan Marsha sudah lama. Sejak dua orang wanita itu membuka butik di kawasan ini beberapa tahun lalu.

"Dia ke Bukit Bintang, cari barang untuk baju dia katanya," jawab Hania tanpa mengangkat wajah.

Diam. Perbualan terputus seketika. Faiz kelihatan seolah-olah ingin bertanyakan sesuatu. Tapi dia bimbang soalan yang bakal dia tanyakan akan mencuit atau merobek hati wanita di hadapannya itu.

"Emmm... Abang nak tanya sesuatu kepada Hani boleh?"

"Tanya apa, abang?" Hania memandang Faiz, serius.

Serba salah pula Faiz mahu meluahkan apa yang dia pendamkan ketika ini.

"Kelmarin... Masa abang balik dari gim, abang ternampak Syamim dengan sorang perempuan. Dia orang baru keluar dari GSC. Nampak mesra. Abang ingatkan perempuan tu Hani. Bila abang tegur, rupa-rupanya orang lain. Perempuan tu, adik dia ke?"

Walaupun rasa serba salah, dia tetap meluahkan kemusykilannya. Setahunya, Syamim itu kekasih Hania. Hania sendiri memperkenalkan Syamim itu sebagai kekasihnya beberapa bulan lalu. Jadi, apabila dia melihat Syamim bersama perempuan lain dalam keadaan yang agak mesra, telah mengundang rasa musykil dalam kalbunya. Dia bimbang Syamim telah menipu Hania.

Bagai ada petir yang menyambar hati Hania selepas mendengar kata-kata Faiz itu. Roman terkejut di wajah Hania diusir dengan secalit senyuman tipis di bibirnya.

"Maafkan abang kalau abang tanya soalan merepek tu. Kalau Hani tak nak jawab pun tak apa. Abang tak paksa. Maaf kalau abang buat Hani sedih," pohon Faiz beria-ia sekali. Dia bimbang dia akan dibenci Hania.

"Tak ada apalah, abang. Sebenarnya saya dengan Syamim dah tak ada apa-apa. Kita orang dah putus," jujur Hania menjawab. Sengaja dia tidak menjawab soalan Faiz tadi. Dia tidak mahu membuka aib orang.

"Oh, ya ke? Maafkan abang, abang tak tahu," pohon Faiz lagi, betul-betul rasa bersalah.

"Tak apalah, abang."

"Hani, Nasi Goreng USA dan Milo ais dah siap."

Suara Abang Tam dari arah kaunter pembayaran mencelah perbualan mereka.

Encik Suamiku HipsterWhere stories live. Discover now