Bab 8 (TAMAT!)

2.2K 46 29
                                    

"Dia dah bangun." Besar wajah Kak Mah dekat dengan muka. Aku menjerit. Seriau.

"Seronok? Dapat mimpi yang indah-indah?" tanya Tok Ti sambil menyanyikan bait lagu Lebih Indah kemudian.

Aku memandang sekeliling. Semuanya terang-benderang bagaikan ada spotlight besar yang sedang menyuluh. Dindingnya cermin tinggi, menampakkan kami bertiga dari semua sudut. "Aku kat mana ni? Syurga ke?"

"Kalau kau rasa syurga, syurgalah," jawab Kak Mah.

Tidak mungkin aku berada di syurga. "Apa yang kau orang dah buat dengan aku ni?"

"Macam kami cakap tadi. Menganalisa," jawab Tok Ti pula. Aku tidak pasti samada dia faham atau tidak maksud sebenar analisa itu. "Kami dah dapat jawapan kami. Kau?"

"Aku apa?"

"Kau dah dapat jawapan kau?"

"Jawapan? Jawapan apa?"

Mereka berdua menggeleng. "Kau nak teruskan kehidupan kau sekarang ni atau kau nak mengaku saja depan semua orang siapa diri kau yang sebenar?"

"Aku nak kehidupan aku balik. Aku nak pulang ke bini aku. Aku nak jumpa Mak aku."

"Maksudnya kau nak mengaku pada mereka?" tanya Kak Mah.

"Tak. Aku tak perlu nak reveal apa-apa. Aku nak terus hidup macam biasa."

"Terus hipokrit, maksud kau?" tanya Tok Ti pula.

Aku diam.

"Itulah dia manusia. Suka bersikap tamak tanpa fikirkan perasaan orang lain. Dengar sini, Syamil. Kami akan lepaskan kau tapi kau kena buat pilihan. Kau kena pilih satu antara dua."

"Apa pilihan yang aku ada?"

"Kau boleh keluar dari sini dan kekal seperti Syamil yang dulu. Syamil yang berkahwin dengan isterinya kerana terpaksa, Syamil yang homoseksual. Tapi segala rahsia kau tu akan terbongkar depan semua orang yang kau tipu."

Aku tidak bersedia untuk mendedahkan gaya hidupku kepada sesiapa, lebih-lebih kepada Mak. Tentu orang tua itu sedih jika tahu anak yang pernah dikandungnya selama sembilan bulan sembilan hari dulu bukan seperti anak yang diharapkan.

"Atau kau juga boleh pilih untuk keluar dari sini sebagai Syamil yang baru. Syamil yang tidak dikenali oleh sesiapa. Syamil yang kau sendiri boleh tentukan jalan hidupnya nanti berdasarkan pengalaman kau yang lepas-lepas."

"Apa maksud kau, tidak dikenali oleh sesiapa?"

"Maksudnya, kau takkan dikenali oleh sesiapalah, Syamil. Susah sangat ke nak faham? Semua orang takkan kenal kau, termasuk keluarga dan kawan-kawan kau sendiri. Sejarah silam kau akan kami padam. Kau akan jadi seperti bayi yang baru lahir."

"Maksudnya, aku akan hidup sorang-sorang?"

Kak Mah tersenyum. "Macam bayi yang baru lahir. Putih bersih. Kau yang corakkan kehidupan kau sendiri."

"Maksudnya Murni bukan isteri aku? Syafiq, Syahid bukan abang-abang aku?"

Tok Ti mengangguk.

"Tapi Mak? Mak pun bukan mak aku?"

Mereka berdua hilang.

Dinding-dinding cermin kaca mula menayangkan semula detik-detik aku dan Murni menjadi raja sehari. Suasananya meriah. Semua sanak-saudara dan rakan taulan hadir untuk berkongsi kegembiraan itu. Betul kata Mak, aku tidak perlu mengeluarkan wang walau sesenpun kerana semuanya ditaja. Ballroom hotel ditaja syarikat TV. Busana beberapa persalinan dan solekan juga ditaja perancang perkahwinan terkemuka. Makanan ditaja chef selebriti. Wakil dari media, samada yang cetak, elektronik mahupun sosial sibuk membuat liputan sejak sebulan dua sebelum majlis berlangsung. Kami dibayar untuk muncul di majalah dan televisyen. Bulan madu pula ditaja bapa mertua.

LELAKI SESUATU ITU - sebuah cerpan Shaz JoharWhere stories live. Discover now