"Mulai harini kau jangan pergi mana-mana lepas sekolah. Kau tolong Mak jaga gerai. Kau balik lambat dari sekolah, kau siap. Mati aku kerjakan kau. Mak malu tau, Mil. Malu ada anak macam kau! Kau ingat Mak tak tau apa yang kau buat selama ni? Ini Mak kau, Syamil. Orang mengata kau, Mak yang malu. Orang menuduh kau jadi pondan, jual badan, Mak yang terasa. Kau tu dahlah tak ada bapak. Cuba kau jaga air muka Mak ni sikit? Kau suka bila orang tuduh aku ni tak pandai jaga anak?"

Aku menggeleng.

"Kita tak ada duit, buat cara orang tak ada duit. Cari rezeki halal. Ingat Tuhan sikit, Mil. Ingat masa depan kau tu sikit. Sampai bila kau nak makan duit orang? Sampai bila kau nak jadi pondan? Jantan tu sukalah masa kau muda bergetah ni ha. Nanti kau dah tua, kau nak jadi bapuk tua? Kau nak jual badan lagi? Kau nak kena AIDS?"

Aku sebenarnya tidak faham apa yang Mak bebelkan. Entah bila masanya aku jadi pondan lacur. Abang Helmi tidak pernah menyuruh aku menjadi pondan. Dia sendiri tidak suka melihat aku keluar dengannya dengan muka bertempek bedak, maskara atau gincu.
     "Kalau aku tau kau besar panjang jadi macam ni, dari kecik dulu aku dah picit-picit bagi mati. Tak payah kau nak menyusahkan orang. Syafiq, Syahid, kau pergi cari jantan tu. Kau ajar dia sikit. Jangan sampai aku buat report polis dia rogol budak bawah umur."

Kedua-dua mereka akur.

*********

Esoknya, perkara pertama yang aku lakukan sewaktu keluar dari rumah adalah ponteng sekolah. Pagi-pagi buta aku sudah berjalan kaki ke rumah pangsa tempatku menjual kuih, naik ke tingkat 5 dan mengetuk pintu rumah Abang Helmi. Lama aku menggegar pintu rumah itu namun tiada langsung tanda ia akan dibuka. Hati mula membuat pelbagai andaian. Mungkin dia sudah keluar bekerja. Mungkin dia pulang ke kampung. Mungkin dia bercuti di tempat lain. Mungkin dia bermalam di rumah kawan. Mungkin dia berlaku curang. Mungkin dia sedang mandi. Mungkin dia tidur mati. Atau mungkin dia sudah mati.

Pintu rumah jiran terbuka. Kelihatan anak perempuannya yang baru ingin ke sekolah, keluar untuk memakai kasut. "Awak cari Abang Helmi ke?" soalnya apabila dia nampak aku tercegat berdiri di situ.

Aku mengangguk. "Dia dah keluar, eh?"

"Dia dah pindah."

"Pindah? Pindah pergi mana? Bila dia pindah?"

"Malam tadi. Tak taulah dia pergi mana."

"Pindah macam pindah rumah ke... macam...."

"Macam orang pindahlah. Bawa lori angkut barang-barang, pindah..." balasnya bersahaja. Dia beredar meninggalkan aku terus tercegat berdiri di situ. Kaki jadi kejang tiba-tiba. Aku terjelepuk jatuh.

Lama aku termangu di situ sebelum rasa kejang itu hilang dan aku mampu kembali untuk berdiri. Dalam kemarahan, perlahan-lahan aku paksa kaki untuk melangkah keluar dari rumah pangsa itu. Hati semakin sakit. Benci pada Mak dan abang-abang makin meluap-luap. Aku tahu Abang Helmi lari kerana takut dituduh merogol budak-budak bawah umur. Dia tidak pernah langsung menyentuhku. Jauh sekali mahu mencium, mengusap ataupun menindih. 

Aku biarkan saja kaki membawa badanku pergi. Berjalan ke depan di tengah-tengah panas pagi tanpa ada destinasi tertentu. Tiba di kawasan tasik, aku berhenti untuk menumpang teduh di bawah pondok. Duduk termenung di situ mengenang nasib. Memikirkan apa yang harus aku lakukan selepas ini. Membayangkan bagaimana rasanya hidup tanpa Abang Helmi di sisi. Kalau itulah yang dikatakan orang perasaan sedih ditinggalkan kekasih, dalam umur 17 tahun aku sudah dapat merasainya. Memang hidupku malang.

"Oi! Jauh termenung?" Radhi muncul tiba-tiba dengan tangannya memegang rokok yang sudah tinggal separuh. Sebelah tangan lagi memegang Milo ais sebungkus. "Kau buat apa kat sini? Ponteng sekolah, eh?"

"Kau jangan kacau akulah. Aku tengah semak ni."

"Kita orang pergi rumah mamat tu semalam."

Aku dah agak. "Ini semua kau punya pasal, kan? Kenapa kau kurang ajar sangat? Kenapa kau suka sibuk hal orang? Aku ada kacau hidup kau ke?"

"Syamil, aku tak tau apa-apapun. Abang-abang kau yang datang rumah ajak aku gi serang mamat tu."

"Pergi mampuslah kau. Aku dah tak percaya dengan siapa-siapa lagi dalam dunia ni. Baik aku hidup sorang-sorang je. Yang lain tu semua semak!"

"Ya Allah, betul. Aku tak tipu. Syahid dengar dari mulut Kazim." Kazim merupakan seorang lagi rakan sekelas mereka di sekolah. "Dia nampak kau keluar dating dengan mamat tu kat AEON. Diakan kerja kat McD kat situ, yang kau dating kat situ jugak kenapa?"

"Apa salahnya aku keluar dengan mamat tu? Dia sentuh akupun tidak. Dia tu abang angkat aku je. Sekarang dia dah blah. Kau tau dia pergi mana?"

"Entah. Dia dah blah ke?"

Aku angguk.

"Sorry-lah. Syafiq yang maki-hamun dia semalam. Aku diam je. Syahid pun diam. Syafiq kata Mak kau nak buat report polis kalau dia terus kawan dengan kau. Aku rasa dia takut."

Aku diam. Menunduk.

Radhi menghulurkan sebatang rokok. "Hisaplah. Kau pernah hisap rokok?"

Aku menggeleng.

"Kau nak aku ajar?"

"Taknaklah. Tak reti."

"Kau hisap benda lain reti pulak, kan?"

"Hisap apa? Aku mana ada hisap apa-apalah!"

"Ya ke? Tak caya aku."

"Ada aku kisah kau caya ke tidak?"

"Kau betul tak pernah hisap? Bestlah. Kau taknak try?" Dia tersengih.

"Kau nak suruh aku hisap apa sekarang ni? Kau nak aku bagitau abang-abang aku suruh dia orang belasah kau?"

"Kau nak aku bagitau mak kau yang kau ponteng sekolah kat sini?"

Aku terdiam.

"Sekarang ni aku simpan rahsia kau, kau simpan rahsia aku. Macamana?"

Diam lagi.

"Jom." Lenganku ditarik masuk ke dalam semak. Segala-galanya menjadi sejarah selepas itu.

*********

    Hubungan sulit di antara aku dan Radhi terus terjalin. Aku makin kerap ponteng sekolah. Adakalanya kami bertemu di tasik. Ada masa-masanya juga aku ke rumahnya ketika ibubapanya tiada. Kami seronok menonton DVD lucah dan meneruskan aktiviti sumbang tanpa ada gangguan dari sesiapa. Pelajaran tidak langsung aku endahkan. Ketika SPM berlangsung, tiada satupun yang dapatku jawab dengan betul. Entahlah. Aku tidak terfikirpun untuk mencari kesalahan sendiri atau orang lain waktu itu. Aku tidak kisah.

    Selepas musim peperiksaan tamat, aku meminta izin dari Mak untuk bekerja di kedai pakaian. Dengan gaji RM8 sejam, aku bekerja 10 jam sehari. Berdiri melipat baju dan melayan pelanggan. Mulanya janggal juga rasanya. Penat. Bosan. Tetapi memikirkan apa yang aku lakukan itu semuanya hanya untuk merasai pengalaman baru dan dalam masa yang sama memegang duit hasil titik peluh sendiri, aku relakan saja.

    Tiga-empat bulan kemudian, keputusan SPM keluar dengan gred yang teruk. Semuanya hanya cukup-cukup makan, termasuklah subjek Bahasa Malaysia sendiri. Mak tidak langsung berkata apa-apa sewaktu aku menunjukkan keputusan itu. Aku tahu perasaannya sedih bercampur gembira. Sedih kerana dia mahu melihat aku ke menara gading juga seperti anak-anaknya yang lain. Gembira kerana dia tidak perlu mengeluarkan duit lebih sebab aku tidak perlu ke sana lagi. Lantaklah. Hakikatnya, aku sendiri sudah tawar hati untuk menyambung pelajaran ke mana-mana. Aku mahu terus bekerja. Dengan sijil SPM yang ada, aku mula mencuba nasib di tempat lain.

Akhirnya aku diterima menjadi kerani atau Admin Executive mengikut nama orang putihnya, di sebuah pejabat kecil di Bukit Bintang. Gaji RM1,200 sebulan. Waktu bekerja bermula jam 9 pagi hingga 6 petang. Berpakaian formal, kemeja dan berseluar panjang. Bertahun juga aku kerja di situ. Di situ jugalah tempatnya aku bertemu Jeremy.

LELAKI SESUATU ITU - sebuah cerpan Shaz Joharजहाँ कहानियाँ रहती हैं। अभी खोजें