BAB 5

5.6K 164 3
                                    

DI SEBALIK tingkap besar yang terpasang di kondominiumnya, pemandangan malam Kuala Lumpur yang diterangi lampu-lampu neon pelbagai warna dipandang tanpa perasaan. Gelas yang tergenggam elok di tangan diangkat mendekati bibir. Lalu lambat-lambat dia meneguk jus epal. Tangan kanannya itu kemudian dijatuhkan kembali. Tetapi tangan kirinya mula bergerak sendiri, menyeluk saku seluar. Sebuah dompet dikeluarkan dan dibuka. Pandangan matanya tertancap pada sekeping gambar yang semakin lusuh.

"Tak sangka, kan? On the very first day abang balik sini, orang pertama yang abang jumpa adalah...Orked."

Masih tergambar lagi kejadian di hadapan Starbucks siang tadi. Dia yang sedang berjalan ke arah pintu masuk jadi terpaku sendiri kala matanya melekat pada sesusuk tubuh yang melangkah keluar. Tubuh milik seorang gadis yang amat dikenalinya, yang amat dirinduinya, yang sering kali menjadi peneman dalam mimpinya sejak bertahun-tahun lamanya. Ya, dia tidak salah melihat. Gadis yang sedang menunduk dan menyelongkar beg sambil berjalan itu adalah gadis yang sama. Gadis yang bernama Orked Imani.

Saat tubuhnya dilanggar, saat Orked dekat benar dengannya, ingin sekali dia meraih gadis tersebut ke dalam rangkulan. Dia mahu Orked mengerti akan kerinduannya. Dia mahu menebarkan segala rahsia hatinya di hadapan gadis itu. Dia mahu melepaskan segala-galanya yang selama ini menghimpit jiwa. Namun dia sedar, gadis seperti Orked bukanlah seperti perempuan-perempuan yang selama ini mengelilinginya. Orked tidak boleh disentuh sesuka hati.

Lalu, yang termampu dia lakukan tika Orked mendongak padanya dan membuntangkan mata adalah menghadiahkan senyuman yang dirasakan paling indah dan paling ikhlas. Lidahnya pula menyeru nama itu dengan selembut mungkin...

"Orked, it's you, right? Orked Imani...."

Mengingati pertemuan tersebut membuatkan hatinya terasa hangat sekali. Terasa tenang. Jantungnya bergema dengan rasa tidak sabar untuk pertemuan kedua. Ya, mereka telah berjanji untuk berjumpa setelah tidak dapat berlama-lamaan tadi. Kata Orked, dia perlu kembali ke butik milik ibunya.

"Nampaknya takdir memang mahu menemukan kita kembali. Dan kali ini, abang janji takkan lepaskan Orked lagi. Abang janji..."

*****

USAI melangkah keluar dari bilik air, Orked menjatuhkan duduk di hadapan cermin solek. Rambutnya dikirai dengan jari jemari. Dibiarkan sahaja tanpa dilap dengan rapi. Biar kering sendiri. Konon mahu menjaga kecantikan rambut. Segala kejadian yang berlaku hari ini mula bermain-main dalam akal fikiran. Sungguh hari ini merupakan hari yang penuh dengan pelbagai kejutan. Dilanggar mamat paling sengal dan juga...pertemuan yang tidak diduga.

Ya, pertemuan di petang hari tadi benar-benar membuatkan dia bagaikan terbang ke suatu masa dahulu, di mana hanya ada dia dan lelaki tersebut. Masih terngiang-ngiang lagi suara garau itu yang menyeru namanya. Penuh kelembutan walau disalut rasa terkejut. Seperti dirinya, mungkin sahaja lelaki itu turut berasa terperanjat dengan pertemuan yang tidak disengajakan. Pertemuan kembali selepas dua belas tahun lamanya.

Orked menopang dagu. Wajahnya yang terpacul di cermin ditatap.

"Orked Imani..." panggilnya pada pantulan sendiri. "He's back. He's really back!"

Buat kesekian kalinya, terbayang-bayang wajah itu di hadapan mata. Kelihatan matang, tidak lagi seperti dahulu. Kalau dahulu, rambutnya dibiarkan jatuh menutupi dahi. Kini terpacak elok. Kalau dahulu, pipinya lebih berisi. Kini tulang pipinya yang tinggi kelihatan lebih menyerlah, lalu membuatkan dia tampak macho sekali. Kalau dahulu, mata hazel itu selalu dilindungi oleh kaca mata. Kini dibiarkan menusuk ke dalam mata siapa-siapa yang berani merenungnya.

ENCIK SAYANG DAN MISS SWEETHEART (Published)Where stories live. Discover now