Quran App

9.1K 45 5
                                    

Dunia makin maju tetapi hati aku masih lapuk, di takuk sama. Makin lekang dengan quran. Zaman Rasulullah, ayat-ayat al-quran itu bertebaran tempat simpanannya seperti di pelepah tamar.

Setelah kewafatan baginda dan akibat ramai para huffaz yang meninggal dek kerana memerangi golongan al-riddah, nabi palsu dan yang enggan membayar zakat maka mushaf itu dibukukan.

Aku khatam al-quran semasa berumur 9 tahun. Papa membuat majlis yang serba sederhana di surau taman perumahan. Bangga benar aku rasakan kerana aku berjaya menghabiskan bacaanku lebih cepat berbanding adik-beradikku yang lain.

Selepas khatam, aku cuma baca al-quran selepas maghrib bila papa ada di rumah. Kadang-kadang menangis aku baca tetapi bukan sebab menghayati tetapi sebab rasa terpaksa. Harap je papa ustaz tapi anak liat nak solat liat nak baca al-quran. Puasa pun minum air masa ambil wudhu' atau di tandas. Papa ustaz tak kan lah sudah tentu aku ustazah.

Semasa naik sekolah menengah, aku menempatkan diri ke asrama. Bukan sebab papa atau mama suruh tetapi aku yang nak pergi. Maka percaya pada diri dengan harapan dan keyakinan, aku masuk ke asrama. Di asrama sememangnya kami lazim membaca al-quran. Sudah menjadi budaya iaitu ketika sedang menunggu waktu maghrib atau bila-bila yang dirasakan sesuai. Bulan ramadhan sememangnya masing-masing tidak lekang dengan al-quran.

Selesai dunia asrama, aku sempat menyambung ke pengajian tahfiz. Bukan sebab aku ni baik tetapi sebab aku nak berlagak alim. Acah-acah nak jadi hafizah juga. Papa memang gembira dengan permintaan aku. Pasal yuran, papa uruskan. Sempat lah juga aku habiskan juzu' 30 dalam masa 2 minggu kemudian aku sudah menyambung pengajian di universiti.

Bukan senang untuk menghafal apatah lagi menghafaz. Hukum tajwid perlu dijaga, perangai juga perlu diperelokkan. Aku memang salute para hafiz hafizah ini. Memang daebak.

Kita disuruh dan diasuh untuk membaca al-quran. Katanya meski hanya dengan membaca, kita bisa memperoleh ganjaran pahala. Sesetengah dari mereka pula berpandangan apa guna membaca andai tidak difahami isi kandungannya. Tidak kira kita hafal atau baca, perkara utama ialah mendekatkan diri dengan al-quran. Jangan salah faham. Aku tak minta korang letak al-quran sebelah bantal.

Hafalan aku pun sudah entah ke mana. Balik-balik aku baca 3 qul dan al-asr masa solat. Terasa rugi sekejap.

Sejak ada telefon sentuh skrin ni, banyak sungguh aplikasi yang aku muat turun. Acah-acah nak ilmiah sikit, aku cari bab pelajaran tapi aplikasi pertama yang aku cari ialah al-quran. Itu tipu! Aku cari WhatsApp dulu dengan bahan lagha yang lain KEMUDIAN baru al-quran.

Aku download dengan hasrat aku akan sentiasa baca memandangkan telefon sentiasa di tangan. Malangnya perkara itu tidak berlaku.

Ramai antara kita yang berlumba-lumba mencari aplikasi Quran yang terbaik tetapi kita sering alpa untuk mengagungkan Quran itu meski jenis yang biasa-biasa sahaja iaitu edisi hitam putih.

Kalau kita masuk mood melancholy barulah Quran App kita buka. Jarang benar nak dibuka, entah seminggu sekali, entah sebulan sekali, entah dibiarkan saja menjadi penghias paparan.

Bila majlis tahlil atau kematian seseorang, barulah kita buka. Kebiasaannya kita cenderung membuka aplikasi media sosial, game. Tambahan lagi sekarang musim demam COC. Dulu game Dota. Apalah yang seronoknya game tersebut sehingga menjadi kegilaan. Sudah lah kecil, boleh rabun mata aku. Hanya pemain tegar sahaja bisa merungkai kepuasan bermain itu. Zaman bermain game sudah berlalu buat aku.

Semakin kita menikmati keduniaan, kita membiarkan akhirat jauh di belakang. Aku bukan Pencetus Ummah atau Dai'e Millenia atau Ustazah Pilihan atau Imam Muda yang cakapnya menggegar dunia. Aku cuma menulis atas perkara yang aku alami dan aku tahu ramai juga di luar sana mengalami situasi yang sama.

Jangan biarkan diri terlena begitu lama. Andai kita terpejam sesaat semasa kesesakan lalu lintas saja sudah mampu mengundang kecelakaan apatah lagi iman.

Sayangi Islam kerana imanmu begitu berharga.

#senyum selalu

JERANGKAP NAFSUWhere stories live. Discover now