BAB 4

5.7K 172 5
                                    

"KENAPA lambat tadi?"

Syamil memalingkan muka pada sang pemilik suara yang menyapa. Dia baru selesai menonton pertunjukan fesyen bagi memperkenalkan koleksi terbaru Aaron Ng, salah seorang pereka muda yang semakin dikenali ramai.

"Oh, kau Hazri..." tegur Syamil pada sahabat baiknya, merangkap ketua pasukan produksi bagi House of Syamil Imran. Hazri bertanggungjawab dalam menentukan kos dan harga jualan bagi setiap rekaan, serta menentukan jadual untuk pengeluaran.

"Yalah, aku. Kenapa? Kau ingat siapa? Misha?"

Mendengarkan soalan sahabatnya, Syamil pantas membuang pandang pada Misha yang sedang berbual-bual dengan beberapa pereka fesyen yang lain.

"Aku peliklah dengan kau ni, Mil. Dalam kau asyik mengadu pada aku pasal dia over manja, mengongkong, tak reti hormat orang dan macam-macam lagi...kau tetap dengan dia, kan?"

Bicara Hazri mengundang jelingan Syamil.

"Kau cakap memanglah senang. Aku..."

"Tak sampai hati. Aku tahu. Kau ni, Syamil Imran...nampak aje macam keras, tapi dalam hati ada taman sungguh."

"Kau nak makan penumbuk aku ke?" Suara Syamil berdesis keras.

"Wooo, wooo...emo semacam pulak?" usik Hazri. Besar sengihnya, menayangkan wajah maha nakal.

Syamil mengeluh panjang. Bukan boleh dilayan sangat perangai selamba Hazri. Kalau tidak, makin menjadi-jadi pula.

"Dah kau ni sesedap rasa saja cakap macam-macam. Siapa yang tak hangin?"

"Yalah, yalah. Aku tak sebut apa-apa lagi pasal kau dan Misha. Unless..."

Terjongket sebelah kening Syamil, menyoal dengan anak mata.

"Kau nak minta nasihat aku on how to dump a girl."

Syamil menjuih bibir. Ceh, bangga sangatlah tu dengan title kasanova yang melekat atas dahi dia itu? Apalah yang seronoknya bertukar-tukar teman wanita mengalahkan tukar baju setiap hari? Dia ini...cuma punya seorang perempuan, tetapi yang seorang itu sudah cukup untuk merumitkan hidupnya. Haru biru! Kacau bilau! Semuanya ada.

"Yalah, sifu Hazri. Nanti bila aku nak dump mana-mana perempuan, aku pergi berguru dengan kau. Puas hati?" sela Syamil, dengan wajah yang olok-olok dimaniskan.

"Bagus. Itulah yang kita nak."

Syamil tertawa dalam diam. Sahabat yang dikenali sejak kecil ini memang begini. Kadang-kadang boleh jadi serius, kadang-kadang selamba dan sesekali pula boleh beremosi sendiri. Dan yang paling haru, minat baca novel cinta. Hah, itu memang pelik bin ajaib. Lelaki maskulin macam Hazri jadi hantu novel cinta Melayu? Dahsyat!

Tapi bila disoal kenapa dia punya minat begitu, jawapan yang diberi memang tidak boleh dicapai dek akal.

"Aku belajar cara-cara nak mengurat perempuan."

Isy, ada ke patut si Hazri ini menyalahgunakan bahan bacaan macam tu sekali?

"Hah!" Bahu Syamil ditepuk kasar. Hampir-hampir sahaja dia tersembam ke bawah.

"Kau ni kan..."

"Kau belum jawab soalan aku lagi. Kenapa kau lambat tadi?" Baru sahaja Syamil mahu memarahi sahabatnya, Hazri terlebih dahulu memintas.

Pertanyaan Hazri segera membawa Syamil kepada kejadian petang tadi. Serta-merta tawanya tercetus.

"Aku accident."

ENCIK SAYANG DAN MISS SWEETHEART (Published)Where stories live. Discover now