Bab 1

6.2K 106 7
                                    

Moga kisah ini menjadi tauladan kepada kita semua. Aamiin.

BAB 1

"MENGANDUNG?!!" terkejut semua ahli keluarganya mendengar berita tergempar itu. Ibu bapa Aida lebih-lebih lagi terperanjat. Masing-masing tangan mengurut dada. Bagaimana anak mereka itu boleh mengandung sedangkan si gadis itu masih belum berkahwin? Si doktor mengangguk-anggukkan kepalanya berkali-kali.

"Ya, dia mengandung. Nasib baik kemalangan itu tidak menjejaskan kandungannya. Cuma, kepalanya mengalami hentakan kuat. Ada sedikit kesan retak pada tengkoraknya. Saya berharap semua dapat bersabar kerana dia masih belum mampu bertindak balas. Keadaan dia masih lemah. Saya berharap agar orang terdekatnya boleh memberi kata-kata semangat pada dia terutama suaminya." Doktor itu beredar setelah berbicara agak lama di situ.

Terutama suaminya. Bagai terngiang-ngiang patah kata itu di telinga masing-masing. Aida mana ada suami...

"Macam mana dia boleh mengandung? Kita salah didik anak kita ke, bang?" soal si ibu sambil menangis kepiluan di bahu si suami. Hampa. Kecewa dengan anak gadis yang telah diberikan didikan agama yang cukup itu sanggup melakukan perlakuan tak senonoh begitu.

Hafizul yang sedari tadi menjadi pendengar setia hanya menelan liur. Terketar-ketar tangannya mendengar berita itu. Dia yakin di dalam perut Aida itu ada benihnya! Dia terduduk di kerusi dan menekur lantai. Dia bakal bergelar bapa sebelum nikah? Apa ni? Aida...

"Pijoi, beritahu Achik... macam mana boleh dia mengandung? Siapa yang buat dia mengandung? Dia liar ke kat bumi KL ni?" soal si ibu dengan penuh kesal. Hafizul menarik nafas berat. Dia sudah agak! Memang dia yang akan disoal oleh si ibu. Dia merupakan rakan karib Aida semenjak kecil lagi. Dan soalan ibu kepada Aida itu hanya mampu dibalas dengan gelengan.

"Habis tu... dia kahwin lari ke?" soal Achik lagi. Hafizul tertunduk. Tidak menjawab juga.

"Pijoi, Ayah Cik tahu, mesti Pijoi tahu rahsia dia. Mesti Pijoi simpan rahsia Aida. Tolong beritahu Ayah Cik apa yang sebenarnya dah jadi ni?" soal Ayah Cik iaitu bapa kepada Aida pula. Soalan yang lebih kepada rayuan itu menyebabkan Hafizul semakin berat hati.

Masing-masing menanti jawapan daripada dia. Nafas ditarik lagi. Sesak nafasnya apabila disoal begitu. Aida... dia masih terlantar sakit di katil hospital. Sepatutnya dia memang dapat agak. Mesti Aida mengandung...

"Dia tak liar... dia tak kahwin lari. Semua tu sebab saya. Anak dalam kandungan dia tu, anak saya. Saya yang dah rosakkan dia. Saya akan bertanggung jawab. Maafkan saya, Ayah Chik. Saya tak jaga dia." Hafizul menunduk takut.

"Astaghfirullahalazim... kau dah hilang pedoman ke, Pijoi?!" ternaik suara Ayah Cik mendengarnya. Achik pula mengurut dada. Nak tumbang dia setelah mendengar berita itu.

"Ya Allah! Kasihannya anak aku!" rintih Achik sedih. Hafizul tidak berani mengangkat muka. Pasti ibu bapa Aida sedih mendengarnya. Dia yang selama ini diharapkan untuk menjaga Aida telah memusnahkan harapan itu. Harapkan pagar, pagar makan padi.

"Bedebah kau!"

Kolar baju Hafizul dicekup. Tumbukan padu daripada abang Aida, Aris singgah di pipi kanan Hafizul. Hafizul terjelepuk ke bawah. Suasana jadi kecoh apabila Aris sekali lagi menumbuk Hafizul. Hafizul tidak melawan. Ayah Chik dan Arman meleraikan pergaduhan itu dengan menarik tubuh Aris menjauhi Hafizul.

Doktor dan staff ada yang keluar melihat pergaduhan itu. Ada juga di antara pesakit yang menyaksikan apa yang terjadi sebentar tadi. Masing-masing cuba memberikan amaran supaya tidak boleh berbuat bising di hospital tersebut.

Salah Siapa?Where stories live. Discover now