#1 - HARI PERTAMA

8K 325 81
                                    

Nisa yang tersedar dari pengsan menyedari kakinya ditarik seseorang. Pedih terasa semakin mencucuk-cucuk di perutnya akibat ditusuk pisau bertubi-tubi oleh perempuan gila tadi. Tambah sengsara, terasa segala organ dalamannya sudah terjulur keluar sepanjang jalan setiap kali tubuhnya diseret.

Dia membukakan matanya semampu yang boleh. Kelihatan banyak palitan darah di sepanjang jalan bertanah. Ada juga yang terpalit di rumput dan dedaun. Sesekali tubuh lukanya itu terlanggar batu-batu tajam, menambah rencah pada luka yang sudah sedia terbuka. Aduh!

Kakinya terus ditarik~

Dia terseret~

Pedih!

Dan ia terus berulang... dan berulang.

********

Nisa tersedar untuk kesekian kali. Badannya sudah sejuk dan membiru. Dia sudah kehilangan banyak darah. Air matanya mengalir tidak semena-mena. Tidak pernah dia menyangka, saat-saat akhir hidupnya bakal diakhiri begini.

Kelibat seseorang berjalan di tepinya. Dia cuba memalingkan wajahnya. Ingin melihat wajah perempuan gila yang cuba membunuhnya untuk kali terakhir. Akan dihantuinya wanita itu selama mana perempuan itu mampu bernyawa.

Dalam kegelapan hutan dan juga sedang berkeadaan terlentang, sukar bagi Nisa untuk melihat wajah manusia yang cuba membuat dajal kepadanya. Sedaya-upaya dia cuba memusingkan badannya untuk melihat manusia durjana itu. Sepenuh tenaga yang masih bersisa dikerahkan.

Lelaki?!

Nisa tidak dapat meneka gerangan lelaki tersebut kerana dia membelakanginya. Lelaki itu asyik memerhati ke dalam sebuah perigi buta. Entah apa lagi yang direncanakan?

'Maknanya, perempuan tadi berpakat dengan lelaki ini untuk menghapuskan aku!' Bisik hati Nisa

Dia sudah merangka-rangka. Hari ini, dia pasti mati. Mati di dalam perigi buta itu... dengan 1001 cara.

Dalam penuh kesakitan, dia tekun memerhatikan gerak geri lelaki itu. Kemudian, lelaki itu menoleh.

"Kau?"

********

"Bilik 303? Aduh! Di mana pula bilik ni?"

Hanim mengeluh. Matanya melilau-lilau memandang keadaan sekeliling. Dia sendiri tidak tahu apa yang sepatutnya dipandang. Nombor bilik yang tertera di atas tag kunci di dalam genggamannya seolah-olah tidak memberi apa-apa makna.

Dia meletakkan beg laptop yang disandangnya ke atas tanah. Lebih kurang 4 jam dia memikul beg itu sejak dia turun dari bas subuh-subuh tadi. Terasa lega tulang bahunya setelah melepaskan bebanan tersebut.

Hanim melabuhkan punggungnya di atas tangga yang tidak jauh dari barangannya dikumpulkan. Bukan mahu melepak lama - sekadar ingin melepaskan lelah.

"Tak ada oranglah pula. Dengan siapa aku nak tanyakan bilik aku ni?"

Kepalanya dikalih ke kiri dan kanan dengan harapan dapat bertemu seseorang untuk bertanya. Namun hampa. Kosong! Masih ramai lagi pelajar yang belum pulang ke universiti. Senyap sunyi sahaja.

Hanim mengelap peluh yang mengalir di tepi dahi. Sempat dia mengipas-ngipas topinya untuk memberi sedikit kedinginan. Sesekali dia melepaskan nafas berat. Memang penat sungguh.

Manakan tidak? Sebaik sahaja sampai di Changlun subuh tadi, dia terus ke Kolej Jebat, kolej kediaman lamanya. Selesai sahaja mengambil kesemua barangannya di sana, terus dia ke Kolej Lekir. Kolej paling hujung dan tersorok. Kolej paling jauh dari fakulti dan kolej paling tidak mendapat tempat di hati pelajar. Dan malangnya, semester ini Hanim menjadi salah seorang penghuni di kolej kediaman ini.

Bilik 303Where stories live. Discover now