Hari-hari sebagai pelajar universiti bukan sekadar tentang kuliah dan tugasan. Ia juga tentang ujian hati, luka jiwa, dan kata-kata yang tak pernah sempat disembuhkan.
Faiqa Maisara tahu benar pahitnya menjadi sasaran ejekan. Setiap langkah ke kelas...
"Apasal kau ni suka sangat kacau aku? Apa faedah yang kau dapat, hah?!"
Tengkingan Faiqa Maisarah memecah suasana, cukup kuat hingga menarik perhatian beberapa pasang mata di sekeliling. Dadanya turun naik, amarah yang disimpan sekian lama akhirnya tumpah tanpa sisa.
Faiq tergamam sesaat. Namun tidak lama kemudian, tawa sinis terlepas dari bibirnya. Jelas kedengaran seperti tawa yang menyakitkan, tawa yang seolah-olah menikmati penderitaan orang lain.
"Apa faedah?" ulangnya perlahan. "Sungguh kau nak tahu?" Dia melangkah lebih dekat. "Aku puas... bila tengok kau pasrah macam ni."
Sejak dulu, setiap kali ada peluang, Faiq tidak pernah melepaskan kesempatan untuk mengganggu hidup Faiqa. Dan Faiqa sentiasa menjadi mangsa yang terpaksa bertahan. Namun masa tidak pernah setia pada sesiapa. Waktu berlalu, perbualan terhenti, dan mereka berpisah... untuk tempoh yang sangat lama.
Takdir yang sering bermain dengan perasaan manusia, menemukan mereka kembali.
Kali ini, segalanya berubah.
Faiqa bukan lagi gadis yang sama. Dia kini berdiri sebagai wanita yang elegan, tegas, kemas, dan jauh lebih cantik. Bukan sekadar pada rupa, tetapi pada cara dia membawa dirinya. Manakala Faiq pula... seolah-olah kehilangan cahaya yang pernah dimilikinya.
"Jangan paksa aku untuk terima kau dalam kehidupan aku." Suara Faiqa tegas, dingin, namun cukup untuk menusuk gegendang telinga Faiq.
Di sebalik pertemuan semula itu, tersimpan pengkhianatan yang tidak pernah mereka sangka iaitu datang daripada orang yang mereka anggap kawan.
"Kenapa kau buat keluarga aku macam ni?" Suara Faiq lirih, sarat dengan luka.
Faiqa menutup mulut, tidak percaya dengan hakikat yang terhampar di depan mata.
"Disebabkan keluarga kau... keluarga aku hancur." Ujar lelaki tersebut dengan senyuman sinis.
Kata-kata itu jatuh seperti hukuman.
"Dan Faiqa," sambungnya perlahan. Matanya kini terpaku sepenuhnya ke arah Faiqa yang berlindung di belakang Faiq, "kau dan dia... bukankah kau pernah bermusuh dengan dia? Kenapa kau sanggup bela dia?"
Antara persahabatan yang retak, cinta yang belum sembuh, dan kesetiaan yang diuji manakah yang akan dipilih, dan manakah yang akan dikorbankan?
UPDATE: 1/1/2026
Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.
Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.