Bab 2 + Bab 3

10.4K 151 75
                                    

2

Kau pergi jua ~ dari hidupku. Kau pergi jua. Itu suara abang dalam mimpi 7:28 pagi aku. Orang flat pernah cakap, kalau kau dengar suara seseorang dalam mimpi dan suara itu sedang menyanyi, itu maknanya dia sedang mandi. Aku terjaga kerana aku tak boleh mimpikan suara abang lama-lama dan bunyi telefon untuk membangunkan aku dari tidur pun dah bermula. Aku tengok skrin. Dah pukul 7:30 pagi. Tak hairanlah abang aku menyanyi. Dia memang mandi awal setiap hari. Dah terbiasa sejak matang lagi. Aku dengar bunyi garang vespa di luar secara ramai-ramai. Mungkin ada konvoi agaknya.

Aku tengok atas meja ruang tamu ada segelas kopi. Semalam aku tertidur di ruang tamu sambil kopi terbiar sepi. Mujur aku dah tetapkan masa pada tivi 30 minit untuk tutup sendiri. Jikalau tidak pasti membazir. Tarif elektrik sekarang bukan main nakal lagi dia punya mahal. Menjerut sampai ke pinggang. Aku duduk dulu di atas sofa untuk seimbangkan darah. Kopi yang ada atas meja aku ambil dan teguk sampai habis. Sejuk dan manis kopi ini lain macam. Roh semalam dicampur, itu yang jadi lain macam. Go pro ada sekali di atas meja. Mata lensa menumpu tepat ke mata. Aku ambil dan lap sedikit habuk-habuk yang ada di atas helmet. Aku dah siap kemas beg. Sedikit saja aku bawa. Pakaian dan sedikit alat tulis untuk hidup yang tak berapa pasti ini. Kamera digital aku bawa lagi sebiji untuk tangkap gambar-gambar pegun dan bokeh. Abang hantar mesej yang dia akan sampai depan rumah dalam setengah jam lagi. Aku masuk bilik basah, terus buka radio dan baju.

radiobodoh.pasanglaguapa.mengaruttaktentupasal.iklansajayangbanyak.selalupasanglagutempe.kamisemuanaklagucokodok.macammananakmaju.gelaksajabanyak.isilangsuktakdak.tekabunyitekasuara.entah.adaorangmudakomplen.banyaksangatlaguindon,lagumalaysiabilanakmain.bukasaluranradioagama.kiranakhentamdalambidangpolitiksaja.taik.pergimatilah.bukantakhormatalimugama.tapirasanyamerekalebihsukamasukkanseksdalamceramahmereka.nakbagisedih,ceritatentangmati.baruinsafrakyatmalaysia.tapiapaguna,videoseksmasukdalaminternetjuga.

Aduh, sembang tentang mati pula. Tutup radio habis cerita. Biar aku menyanyi sendiri. Suara kurang sedap kerana belum sarapan. Aku buka balik tivi. Selalunya semasa mandi, aku akan main balik apa yang dirakam go pro kelmarin. Mungkin aku boleh nampak sesuatu yang mengilhamkan dan mengujakan. Wayar dicucuk dan biar ia proses sendiri. Aku buka bokser dan pegang berus gigi. Cerita bermula.

Isnin - 1:40 pagi

Hai semua, kami kini berada di Trang! Helo, nampak tak muka I? Latif, rakam bagi nampak ya. Kami akan sampai ke Krabi dalam 2 jam lagi. Nampaknya Trang seperti pekan Koboi. Hanya stesen minyak dan 7E yang dibuka pada waktu ini. I dah lapar ni. Ingat nanti nak singgah dulu untuk makan roti atau sandwich. Okay sampai di sini saja dulu ye. Nanti kita jumpa lagi. I lef u, Latif.

Lef u too, Reen.

Aku terduduk di pinggir dinding. Bukannya terkejut kerana melihat Shereen ada di dalam tivi, tetapi tertanya-tanya tentang go pro itu sendiri. Yang pasti itu bukan go pro aku dan dengan apa cara yang dia boleh ada dalam rumah aku. Aku lari keluar dengan berus gigi masih ada di dalam mulut dan terus periksa bilik-bilik yang lain. Tiada kesan-kesan pecah masuk dan sambil lari bogel itu, suara Shereen menyelinap masuk ke ruang telinga dan terus bergema.

"Seksinya, San. Eeuww."

Aku berhenti. Masuk semula ke dalam bilik basah dan menyarung tuala kembali. Aku ada lagi 20 minit sebelum abang datang ambil. Aku rasa dahaga dan terus bancuh Milo. Sementara menunggu air di dalam cerek elektrik masak, aku masih berfikir tentang go pro itu. Suara balas Latif dari dalam video itu pun agak menggetarkan. Aku seolah-olah rasa Shereen ingin beritahu sesuatu cuma aku tidak nampak lagi isi yang tersirat itu.

"Tero, tero. Pak!"

Bunyi air sudah masak mengejutkan aku. Wap air yang keluar dari corong seperti membentuk lapisan awan yang sedang bergerak perlahan. Dua sudu Milo dan satu sudu susu pekat. Itu nasihat Shereen supaya Milo tidak tenggelam dengan susu dan molekul Milo-nya seimbang. Kacau biar padat dan jangan lupa basuh gelas selepas minum. Aku tersenyum. Shereen, Shereen. Kalau kau sudah ada di alam sana, di alam go pro ini aku lihat siapa pula. Ada lagi 10 minit sebelum abang sampai. Aku masuk kembali ke dalam bilik basah dan terus mandi tanpa was-was. Mata aku pandang tepat ke arah go pro di dalam bilik. Aku tahu pasti ada rahsia lagi di dalam benda itu. Perasaan untuk memainkan semua video masih lagi belum sampai. Aku masih leka memegang jaring span di tangan. Aku picit span dan selompok buih yang keluar aku tiupkan sehingga melayang pipih. Mandi sudah habis dan aku keluar sambil go pro ada di tangan. Ada orang tekan loceng. Aku jenguk luar dan abang sudah sampai.

DANDAN - sebuah novel Asyraf BaktiWhere stories live. Discover now