Harapan (Bab 2)

3.9K 135 7
                                    

"Mama, kita nak ke mana?" tanya Ariana apabila ibunya memimpin tangannya berjalan tanpa henti.

Tiada jawapan. Sekali lagi Ariana bertanya.

"Mama, kita nak ke mana mama? Kaki Ariana sakit..."

Dan apabila Ariana mengeluh. Barulah ibunya berhenti berjalan.

Khadijah diam. Melihat anaknya yang masih kecil, dia rasa bersalah. Barulah dia mula fikir masa depan Ariana. Dia sudah tak punya apa-apa. Dan, walaupun ugutan bunuh sekalipun dari madunya. Mungkin dengan meletakkan Ariana di bawah jagaan suaminya lebih baik.

"Ariana balik rumah papa." Khadijah mula memujuk.

"Tak mama. Ariana dengan mama."

Ariana menggengam kuat tangan mamanya tidak mahu melepaskan. Saat itu, apa yang terfikir oleh Khadijah adalah membawa Ariana ke tempat yang lebih baik tapi ke mana? Rumah yang Zakaria duduki itu adalah rumah milik keluarganya, tempat dia membesar dari kecil sebagai anak tunggal kepada Tan Sri Iskandar dan Puan Sri Aisha. Ibu bapa Khadijah meninggal dunia dalam kecelakaan jalan raya 2 tahun lalu dengan berwasiat menyerahkan seluruh harta kepada suaminya Zakaria yang tidak punya apa-apa. Dengan harapan dapat menjaga anaknya. Selama beberapa tahun itu Zakaria adalah seorang lelaki yang baik. Sehinggalah apa yang terjadi pagi tadi. Khadijah mula sedar, mempercayai Zakaria samalah seperti mempercayai seorang penipu!

"Mama, kita nak ke mana?"

Soalan itu Ariana ulang hingga membubarkan lamunan ibunya. Khadijah yang tidak pernah hidup di luar habis fikir. Mahu ke mana? Tidur di mana malam nanti. Mahu makan apa? Fikirannya buntu.

"Mama."

Ariana memeluk ibunya. Dan saat itu, Khadijah terpandang cincin kahwinnya, kemudian memegang gelang dan rantainya. Apabila Zakaria balik, Khadijah memang selalu menghias diri dengan semua barang kemas. Dengan diri yang pergi cuma sehelai sepinggang, hanya barang kemas mampu dibawanya. Tapi, itulah satu-satunya penyelamat yang ada untuk dia dan Ariana kini.

'Syukur Ya Allah..."

Khadijah terus membawa Ariana ke satu tempat. Semua barang kemasnya dikumpulkan dan dijual. Hasil jualan tersebut, Khadijah membawa Ariana tidur di hotel. Khadijah tahu, wang yang ada itu harus disimpan. Hanya bilik murah buat sementara dengan bayaran 40 ringgit semalam.

"Ariana tidurlah."

"Mama, Ariana nak sekolah."

Khadijah fikir. Adalah tidak mungkin untuk menghantar Ariana kembali ke sekolah swasta itu. Bayaran yuran dia sendiri tidak tahu jumlahnya dan pasti mahal.

"Ariana sekolah nanti. Kita balik kampung nenek Nona nanti sekolah sana."

"Rindu dengan nenek Nona." Ariana meluah rasa.

Pembantu rumah itu berhenti sendiri selepas berkhidmat dengan keluarga Khadijah sejak muda. Sekarang yang Khadijah fikir hanya menumpang teduh bersamanya. Hanya itu saja satu-satunya orang yang dia rapat.

"Esok kita balik kampung nenek ya. Ariana tidurlah."

Khadijah peluk Ariana erat. Malam itu langsung Khadijah tidak tidur.

*************

Sampai saja ke utara tanahair. Khadijah turun bersama Ariana dari bas yang dinaikinya awal pagi tadi. Bas itu turun di stesen bas Kuala Nerang Kedah.

"Mana rumah nenek Nona?" tanya Ariana.

Khadijah tarik nafas. Cuba ingat rumah Mak Cik Nona yang pernah dikunjunginya. Ibu dan bapa Ariana tidak pernah membeza-beza taraf, selalunya mereka akan berhari raya di kampung Mak Cik Nona.

"Dik, boleh tanya? Mana Masjid kampung ya?" tanya Khadijah pada seorang remaja perempuan yang juga turun di sana.

"Masjid arah sana. Jalan dalam 400 meter."

"Terima kasih dik."

"Sama-sama."

Khadijah lega. Terus berjalan kaki membawa Ariana. Hampir 20 minit kemudian mereka tiba di sebuah rumah. Tidaklah terlalu besar, tidaklah terlalu kecil tapi amat cantik. Semuanya dibina hasil ihsan ibu dan bapa Khadijah.

"Assalamualaikum..." Khadijah beri salam.

Seorang wanita lingkungan 50 tahun keluar.

"Waalaikumsalam... Khadijah. Mana Zakaria?" tanya Mak Nona.

Sebaik saja Mak Nona muncul terus saja Khadijah memeluknya erat tanpa sebarang kata lantas menangis. Segala-galanya diceritakan pada Mak Nona.
"Tinggallah selama mana di sini Khadijah. Kamu kena kuat untuk Ariana." Mak Nona memberi semangat.

"Insya-Allah Mak Nona."

"Biarlah kita bertiga bersama. Mak Nona pun tak ada sesiapa. Biarlah Ariana di sini. Rumah ini pun, atuk dan neneknya yang bina. Mak Nona cuma tumpang saja."

"Jangan cakap macam tu Mak Nona. Kita keluarga."

Ariana hanya pandang ibunya dan Mak Nona di hadapannya. Melihat sisa-sisa harapan sambil memikirkan, apa yang dibuat oleh Zahara dan anak-anaknya di rumah milik ibunya di Kuala Lumpur. Walaupun masih kecil. Ariana tekad, takkan selamanya dia dan ibunya di sini. Titik!

Bersambung

REVENGE (TELAH TERBIT)Where stories live. Discover now