Perkarangan masjid sudah mula sibuk dengan tetamu dari kedua-dua belah keluarga. Tidak hairan jika situasi itu dapat dilihat semua kerana kurang dari 30 minit dari sekarang, majlis akad nikah akan bermula.
Dalam ramainya tetamu, masih ada tiga manusia yang setia berada di dalam kereta milik si pengantin lelaki. Bibir si pengantin tidak henti terkumat-kamit sekakan-akan sedang membaca mantera untuk diri sendiri. Sepasang matanya pula sering mengintai ke arah telefon sendiri.
Dari belakang, Jake mengintai isi kandungan yang ada di dalam aplikasi nota dari telefon pintar milik Aryan. Seketika, dirinya mula menghambur tawa sehingga mengganggu fokus Aryan.
"Asal?" tanya Aryan garang. Tiba-tiba saja ketawa. Mana dia tak pelik?
"Tak..." Jake menafi. "Kau baca apa tu, Aryan?" Sengaja dia bertanya walaupun sudah tahu isinya. Danny di sebelah Aryan mula mengintai ke kiri. Dah Jake menyoal, dia pula yang diserang perasaan ingin tahu.
"Dulu bukan main berani ajak Alia kahwin. Tak sangka pula..." Jejaka itu berhenti lagi kerana sisa tawanya mengganggu percakapannya. "Kau pun pandai takut hadap tok kadi!"
Telinga sang pengantin mula bertukar rona. Apa? Salahkah dia mahu bersedia terlebih dahulu sebelum menghalalkan anak orang?
Tangan Danny laju memukul bahu Jake, tanda untuk empunya badan berhenti mentertawakan Aryan. Kalau ada babak membatalkan majlis hanya kerana malu, dialah orang pertama yang akan memberikan ceramah percuma kepada Jake.
"Suka hati akulah." Akhirnya, Aryan membalas. Tanpa basa-basi, dia keluar dari kereta. Terkesima dua jejaka tersebut sebelum mengikut Aryan dari belakang. Tidak lupa juga untuk Danny matikan enjin dan memastikan pintu kereta Aryan sudah terkunci elok.
Belum sempat masuk ke dalam bangunan masjid, Jake menepuk belakang Danny. Dia jungkit kening seraya merendahkan tubuhnya sedikit, cukup untuk samakan paras telinganya dengan bibir Jake.
"Kau rasa, hari ni aku boleh jumpa jodoh aku tak?" bisik Jake. Danny jeling sekilas ke arah Jake.
Nampak dah perangai gedik dia tu. Ada juga perangai kemaruk nak kahwin terpancar dari riak wajahnya. Belum ada perasaan bersalah sebab dah buat Aryan hilang mood gamaknya.
Pengakhirannya, Danny hanya angkat bahunya sekali. Wajah Jake sudah bertukar murung. Cubalah support member sikit.
~~~~~
Pintu yang tadinya tertutup rapat, kini terbuka luas. Matanya hanya tertancap pada katil bersaiz queen yang seakan-akan menyeru dirinya untuk merebahkan diri di atasnya.
Kenapa tidak ada seorang pun yang beritahu dia tentang penatnya tubuh walaupun baru acara akad nikah saja yang baru berlangsung?
Songkok dan sampin dibuka sebelum melayan penat. Memandangkan dia akan bertolak ke hotel; tempat majlis sanding kedua belah keluarga akan berlangsung esok, jadi dia mahu melelapkan mata seketika.
Sekali, Aryan lihat jam dari peranti pintarnya. 4.45 petang. Ya, masih awal. Matanya mulai kuyu sebelum kantuk menguasai kelopak matanya.
Lena saja Aryan, Alia melangkah masuk ke dalam bilik. Pakaiannya juga sudah ditukar pada pakaian yang lebih santai. Dia juga sama seperti Aryan; penat. Jadi, dia juga membuat keputusan untuk melelapkan mata.
Melihat hanya bahagian kanan saja yang masih kosong, Alia mula membuat perhitungan. Sudah tiada tempat lagi untuk dia rebahkan badan selain di sebelah suami sendiri.
Perlahan-lahan dia menyelesakan diri di sebelah Aryan. Takut-takut kalau jejaka itu tersedar dari tidur kerana pergerakannya. Setelah bahagian belakang tubuh selamat bertemu tilam, Alia mula melelapkan mata.
Belum sempat kelopak matanya tertutup rapat, satu tangan mula melingkar pada pinggangnya. Automatik Alia membuka mata semula. Deria penglihatannya sudah terhidang dengan satu pemandangan yang kacak setelah dia menoleh ke sebelah; Aryan.
Alia mula menyalahkan diri sendiri. Disebabkan dia, Aryan sudah terjaga. Kasihan pada si suami yang sudah terganggu lenanya.
"Angkat kepala," arah Aryan. Suaranya masih kedengaran lemah. Masih penat, mungkin.
Tanpa lengah, Alia ikut apa yang disuruh. Pantas sebelah tangan Aryan mendarat di bahagian bawah kepala Alia. Kepalanya mendarat semula di tempat tadi, cumanya sekarang sudah dilapik dengan lengan Aryan.
"From now, let me be your pillow." Dalam mamai, Aryan masih mahu bersikap lembut dengan Alia, membuatkan Alia tersenyum tanpa sedar. Bukan dia tidak faham apa yang Aryan maksudkan. Aryan mahu dia jadikan lengannya sebagai bantal tidurnya.
"Maaf. Saya kacau awak tidur, ya?" tanya Alia perlahan. Tangannya menjalar mengalih rambut hadapan Aryan daripada terjuntai melindungi bahagian dahinya.
Tiada balasan dari Aryan selain daripada dengkuran halus. Alia kemam bibir. Ya, dia telah ganggu Aryan tidur.
Dan yang baiknya, Aryan langsung tidak memarahinya, malah membuat rama-rama di dalam perutnya berterbangan hebat.
ANDA SEDANG MEMBACA
Angle For Him
RomanceKehidupan perkahwinan bukanlah satu kehidupan yang senang. Begitu juga dengan Aryan dan Alia. Rumah tangga mereka boleh dikatakan bahagia oleh semua orang yang mengenali mereka. Masalah di alam rumah tangga? Itu perkara biasa. Sudah menjadi lumrah...
