"EHEM!"
Lelaki itu mengerling ke belakang. Hanya mengerling sebelum kembali memandang ke arah depan dan bawahnya. Di bawah, ada permukaan air yang luas terbentang dan entah berapa ke dalamannya. Dia sedang berdiri sambil berpaut pada tiang jambatan ini. Seakan sedang berkira-kira untuk melompat ke bawah.
"Kenapa abang berdiri dekat situ? Abang nak terjun?" soalku sambil mengerling ke bawah juga. Tinggi betul!
Lelaki itu senyap.
"Saya tengah belajar medik." Aku tahu itu begitu rawak, namun aku hanya mahu mencuri perhatiannya.
Walaupun dia tetap tak peduli...
"Abang ada masalah?" soalku lagi.
Tapi dia masih senyap.
"Abang mungkin perlukan teman untuk meluah? Atau abang nak cari kaunselor?"
Senyap lagi.
Hmm, keras orangnya.
Aku tersenyum nipis. Beg yang digalas sedari tadi, terus diletakkan atas lantai di sisi pagar jambatan ini. Aku merapat dan bersandar pada pagar tinggi itu. Dia di bahagian bertentangan, dan tubuhku menghadap jalan raya yang hanya ada beberapa pengguna melaluinya. Sudah jam tiga pagi.
Kepala menoleh memandang lelaki itu. Bertubuh tinggi, tubuhnya besar dan dia seperti terperangkap dalam dunianya sendiri.
Satu keluhan nipis terbit di hujung bibir. Aku berpeluk tubuh. Agak dingin.
"Hidup ini susah kan?" Ajaibnya, soalan ini berjaya membuatkan lelaki itu kembali mengerling ke arahku.
Aku lekas menguntum senyum nipis untuknya.
"Mama saya dah meninggal dunia. Ayah saya sibuk dengan kerjanya. Kadang-kadang saya rasa sunyi dan sepi. Rasa macam tak boleh melangkah lagi."
Aku memandang ke arah depan.
"Ada masa, saya menangis sendirian dalam bilik. Tapi tak ada siapa yang tahu. Orang nampak saya baik-baik saja, tapi di sebalik pintu yang tertutup rapi, hati saya hancur berkeping-keping seiring berjalannya waktu. Orang kata, lama-lama saya akan terbiasa dengan ketiadaan mama. Tapi tak. Saya tak terbiasa dan tak mungkin dapat membiasakan diri. Saya hanya memaksa kaki untuk melangkah dalam keterpaksaan, cuba hidup sehari lagi demi ayah."
Senyuman terukir lebih lebar sebelum aku kembali menoleh memandangnya yang sudah kembali memandang ke arah depan. Depan, bukan bawah.
"Orang selalu kata, ada orang lagi yang sedang harungi ujian lebih berat berbanding kita. Tapi peduli apa saya tentang ujian orang lain? Itu dia, ini saya. Kemampuan manusia berbeza dan saya tak mampu hidup tanpa mama. Jadi saya cuba cari satu alasan untuk saya bertahan hidup. Beberapa tahun mencuba, saya jumpa akhirnya. Punca. Satu punca dan pegangan."
Dia masih senyap.
"Dan itu adalah ayah. Ayah saya yang sedang berusaha bertahan dan tampil kuat, bekerja melebihi kemampuannya demi saya. Ayah juga sedih, ayah juga sakit dan ayah juga tak dapat terima kepergian mama, tapi ayah bertahan untuk saya dan demi saya. Dan saya tahu, yang saya juga perlu bertahan untuk dia," tambahku.
Nafas ditarik dalam saat dia kembali memandang aku. Mata bertentangan, dan nafasku sesak seketika melihat sepasang mata yang begitu tajam merenung itu.
"Abang nak tahu tak? Dalam tubuh kita ada jantung. Jantung itu sangat sayangkan kita. Sejak kita lahir sehinggalah ke saat ini, dia bekerja keras tanpa lelah atau mengalah bagi memastikan kita terus hidup. Jantung pam darah untuk tubuh, edarkan oksigen dan banyak lagi. Abang masih hidup, jadi ia bermakna jantung itu masih berusaha dan tak mahu mengalah untuk berkhidmat pada tubuh abang. Bila dia mengalah, abang boleh terus mati tahu? Cardiac arrest contohnya. Ia berlaku bila jantung berhenti berfungsi. Jadilah macam jantung, tak mengalah walau kita selalu sia-siakan dia." Aku mengerling kotak rokok yang ada di atas pagar sebelahnya.
YOU ARE READING
NOTORIOUS : JEBAT ARRAYAN (C)
Romance(COMPLETED) Rapunzel, gelaran Arjuna untuk Adara. Adara rasa dia tidak dapat menolak gelaran itu memandangkan hidupnya memang benar-benar seperti Rapunzel. Jika Rapunzel duduk di bangunan tinggi, dia pula duduk di sebalik pagar tinggi. Hidupnya sent...
