Bab 1: Penemuan cincin

33 5 3
                                        

Kazaki  adalah seorang lelaki yang berusia 20-an. Ia menjalani hidup yang tenang dan tidak pernah digoncang oleh badai kehidupan. Hari-harinya mengalir perlahan, ibarat sungai yang tak pernah deras, cuma diselubungi aroma kertas lama dan desiran sepi dari kedai buku antik tempat dia bekerja.

Di sanalah ia selalu dikelilingi lembaran kisah silam dan dunia fantasi yang terperangkap dalam helaian buku lusuh.

Namun dalam realiti, Kazaki lebih selesa berteman dengan kesunyian.Dia lebih suka mendengar muzik dan mengumpul barang- barang lama.

Pada suatu petang yang digigit dingin musim luruh, Kazaki menaiki bas menuju tempat  yang selalu dikunjunginya setiap hujung minggu — pasar loak.

Bagi orang lain, pasar itu hanya barisan gerai yang menjual barang lusuh. Tetapi bagi Kazaki, ia adalah lorong rahsia ke dunia lain. Dunia yang mengizinkan dia melarikan diri daripada realiti walau hanya untuk seketika.

Apabila bas berhenti, Kazaki melangkah turun. Angin musim luruh menyapa pipinya, menyelinap masuk ke dalam jaket usangnya. Suasana kelam jingga petang itu menambahkan nuansa suram yang... anehnya, dia gemari.

Langkahnya perlahan, matanya tajam menyisir gerai-gerai yang menjual barang lama — jam poket berkarat, bingkai gambar retak, perabot kayu usang, dan buku-buku lama yang tersusun tidak sempurna.

Di satu sudut, sesuatu menarik perhatiannya. Sebuah kotak kayu kecil, diletakkan agak tersembunyi di celah timbunan barang.

Kazaki mendekat. Di dalam kotak itu, ada beberapa cincin antik tersusun rapi. Namun hanya satu yang 'bersuara' dalam diam  seolah-olah memanggil namanya.

Cincin itu diperbuat daripada logam seakan perak yang sudah tua. Ukirannya begitu halus, bercahaya lembut meskipun cahaya suram. Di bahagian dalamnya, terukir frasa kuno... yang bukan sekadar tulisan, tapi bagaikan bisikan yang seakan-akan memanggilnya.

Kazaki menelan liur perlahan. Jarinya menyentuh cincin itu  hati kecilnya berdetak kencang.

"Menarik..." bisiknya perlahan, seolah tidak mahu didengari sesiapa.

Cincin itu seakan bergetar lemah di tangannya.

"Berapa harganya?" soal Kazaki tanpa mengalihkan pandangan dari cincin itu.

Lelaki tua pemilik gerai yang berjanggut putih dan mata yang dalam seperti menyimpan seribu kisah  tersenyum tipis, seolah memahami sesuatu yang Kazaki sendiri belum tahu.

"Cincin ini?" ujar lelaki tua itu perlahan, "Ia bukan milik dunia ini, anak muda. Tapi kalau kau benar-benar ingin memilikinya... bayarlah dengan sedikit lebih daripada apa yang kau ada."

Kazaki diam. Namun tangannya sudah pun mencapai dompet. Dia menghulurkan wang, hatinya bulat.

Malam itu, di dalam biliknya yang sunyi, Kazaki membuka bungkusan cincin dengan penuh keterujaan.

Dia membelek permukaan dalam cincin itu. Ukiran frasa dalam bahasa asing terpahat kemas. Dia tak tahu bahasa itu. Tapi entah kenapa... frasa itu terasa terlalu dekat, terlalu mesra dengan jiwanya, seakan akan kazaki pernah melihat frasa tersebut di salah satu buku yang pernah ia baca sewaktu kecil dahulu.

Dengan dada berdebar, dia menghembus nafas dan membaca frasa itu perlahan:

"Infinitae tempus, uni regnum''

Segalanya meletus.

Cincin itu bergetar hebat di jarinya. Udara di sekelilingnya menjadi pekat. Dinding biliknya bergema dengan gema yang datang entah dari mana. Cahaya putih yang menyilaukan membalut tubuhnya.

"Aghh...!"

Kazaki menjerit, namun bukan kerana takut. Tubuhnya ditarik oleh satu kuasa yang tidak kelihatan kuat, gagah, tidak tertahan.

Saat dia membuka mata...

Dia tidak lagi berada di biliknya.

Langit di atasnya berwarna jingga terbakar, pepohon kristal memancarkan cahaya biru yang berkilau, dan angin yang berhembus... berbisik dalam bahasa yang tidak dikenalnya.

Cincin di jarinya menyala terang — lebih terang daripada sebelumnya.

Dan dalam hati, Kazaki tahu, bahawa ia sekarang tidak lagi berada di bumi.

Dimensional RingStories to obsess over. Discover now