Budak Uni

3 0 0
                                    

Nia merebahkan diri di katil lalu melepaskan keluhan yang panjang, "Aaaaah! Rindunya dekat katil aku ni." Bantal golek didakap kemas.

Timbunan baju yang belum berlipat ditolak-tolak dengan kaki. Sudah beberapa hari dia menunda kerja-kerja melipat baju. Membasuh baju di bilik dobi dia memang rajin, tetapi kerja-kerja melipat dirasakan begitu rumit di saat-saat begini. Mungkin bila baju sudah memenuhi katil baru dia akan bertindak.

Tiga hari lagi menjelang peperiksaan akhir! Nia bingkas duduk di katil bila teringat tentang peperiksaan. Niat untuk melelapkan mata barang sepuluh minit terus terbantut. Masih ada tiga helai jawapan tutorial matematik yang perlu diulangkaji malam ini. Dadanya mula berdebar-debar. Sempatkah dia menyiapkan tugasan kumpulan dan melakukan semua ulangkaji sebelum hari Jumaat?

"Kenapa tu?" sapa Rita, rakan sebiliknya. Pasti Rita terkejut melihat Nia yang tiba-tiba duduk di katil sambil mengurut-urut dada.

"Aku rasa stress tiba-tiba," akui Nia. Bebanan pelajaran di semester tiga program ijazah kejuruteraan benar-benar di luar jangkaannya. "Rasa menyesal pulak buat engineering. Banyak sangat subjek susah."

"Jangan fikir sangat, kalau penat tidurlah kejap. Maghrib nanti aku kejut. Kalau nak hilangkan sikit stress mungkin boleh lipat sikit baju-baju kau tu," nasihat Rita dengan nada sinis.

"Ah! Aku serabutlah sekarang. Esoklah aku lipat. Ada sikit lagi aku nak study ni." Nia bangun dari katil lantas mencapai beg kanvas yang sering disandang ke kuliah.

Nota-nota dan jawapan tutorial matematik dikeluarkan. Barang-barang di atas meja belajar diketepikan. Nia duduk dan mula mengulangkaji.

"Study lepas maghriblah Nia. Kau ni kena rehat sekejap. Tepu otak tu nanti." Rita bangun dari kerusinya. "Aku nak pergi tapau dinner ni, kau nak makan sekali tak?"

"Tak apalah. Aku kenyang. Lunch tadi aku dah makan banyak siap-siap. Ada banyak benda aku tak settle lagi ni," jawab Nia tanpa menoleh.

"OK, aku gerak dulu." Rita mengenakan tudung lalu keluar dari bilik sempit yang hanya dihuni mereka berdua.

Nia terus memerah otak hampir satu jam cuba menjawab soalan-soalan tutorial matematik sambil menyemak jawapan yang dipinjam daripada rakannya. Makin dia cuba menjawab, dia berasa makin pening.

"Aduh! Kenapa aku bukan Maths genius? Orang lain tak study pun boleh jawab soalan-soalan ni." Nia menutup buku rujukan lalu berteleku di meja.

"Nak tukar program boleh tak?" Dia mengeluh lagi.

Semangatnya mula melayang. Nia kembali ke katil dengan penuh kecewa. "Bodoh sangat ke aku ni?" Dia mengadu dengan bantal golek dengan air mata yang mula menitik. Nia terlena dalam kesedihan.

Bunyi dengungan membuatkan Nia terjaga. Perlahan-lahan dia cuba membuka mata. Kepalanya masih berdenyut. Dalam pandangan yang kabur kelihatan segerombolan kumbang hitam sedang terbang ke arahnya. Dengungan itu jadi kian kuat hingga membingitkan. Nia terus panik. Dia sedang diserang oleh sekumpulan kumbang hitam.

"Arghhhhhhhh!!!! Kumbang apa ni? Tolong! Jangan bunuh aku! Pergi! Pergi!" Jerit Nia dengan nyaring. Dia menggelupur sambil melibas-libas bantal golek untuk melawan kumbang-kumbang yang mengancam nyawa. Peluh mula membasahi tubuhnya.

"Hoi! Nia!" Jeritan Rita memenuhi ruang. Kumbang-kumbang hitam mulai menghilang digantikan oleh wajah Rita yang sedang menyeringai marah.

"Eh?" Nia keliru lantas mengimbas sekeliling. Dia masih di bilik, di atas katilnya. "Mana kumbang-kumbang tadi?"

"Kumbang Tok Nyet engkaulah! Ni ha!" Rita mengangkat selimut bercorak kumbang hitam kesayangan Nia. Rupa-rupanya tadi Nia berkelubung tanpa sedar.

"Ya Allah! Aku ngigau ke tadi?" Nia mula ketawa terkekek. Kemarahan masih terpancar di wajah Rita.

"Tidur lagi dekat-dekat Maghrib. Kan dah mimpi pelik-pelik!" Marah Rita.

"Sorry, aku penatlah. Nanti aku teman kau dinner, ok?" Nia cuba memujuk.

Rita menjuihkan bibir ke arah timbunan baju di katil Nia. "Lipat kain baju kau tu dulu kalau kau nak dinner dengan aku. Semak betul, aku pun dah naik stress menengoknya."

"Ya, baiklah Toh Puan. Aku buat sekarang."

Pantas tangan Nia mencapai sehelai kemeja-T warna putih lalu melipatnya.

"Eh! Jap! Apa yang bunyi berdengung tadi? Kuat betul dengungnya sampai bingit aku."

"Itu bunyi loud speaker masjid. Kan dah nak azan Maghrib ni," jawab Rita.

"Eh? Dah nak Maghrib, ke? Bukan baru pukul enam?" Nia terpinga-pinga.

"Iyalah! Dari tadi lagi aku cakap dah dekat Maghrib ni! Blur-nya kau ni, Ya Allah! Stressnya aku!" Rita melempar bantal kecil ke arah Nia lalu disambutnya dengan deraian tawa.

Baru Nia menyedari, bukan dirinya saja yang tertekan dengan bebanan pelajaran. Perangainya sendiri telah membuatkan Rita tertekan sama.

"Sorry Rita, janji tak buat lagi," bisiknya dalam saki baki ketawa.

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Apr 05 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

Hanya RasaWhere stories live. Discover now