"Kalau saya tahu... saya boleh tolong Ae'in?" soal Nahlan tanpa sedar. Saat sepasang mata Puan Jasmine semakin tajam merenungnya, barulah Nahlan perasaan betapa soalannya tidak bertepatan dengan keadaaan waktu ini.

"Kalau kamu tahu Nahlan... aunty yakin kamu tak akan bersungguh begini demi Ae'in." Sekali lagi Puan Jasmine mencabar kesabaran Nahlan. Bagaikan sengaja hendak Nahlan berputus asa. Agaknya... inilah sebab mengapa Imamul Addeen mengundur diri dari Ae'in dahulu?

  "Saya yakin... kalau saya tahu, saya boleh bantu El, aunty. Saya betul-betul ikhlas nak tolong El." Sekali lagi Nahlan memujuk. Kalau Puan Jasmine hendak dia melutut merayu sekalipun waktu ini, sejujurnya dia sudi. Asalkan Puan Jasmine memberi izin kepada Nahlan untuk meneruskan niatnya.

  Dia betul-betul ikhlas dengan Elyana!

  Suasana sepi seketika. Puan Jasmine dan Nahlan masing-masing berdiam diri. Hanya bunyi dari kaunter kafe kedengaran. Bunyi barista menyediakan kopi buat pelanggan menjadi latar mereka.

  "Fine... Aunty izinkan kamu berhubungan dengan Ae'in." Puan Jasmine menjedakan ayatnya sesaat. "Bukan sebab kamu tapi sebab... pujukan Ae'in pada aunty malam tadi. Cuma..."

  Entah mengapa, Nahlan dapat mengesan satu emosi yang sarat di balik bicara Puan Jasmine yang tergantung. Seperti adanya sebuah pengharapan yang cuba diselindungkan.

   "Aunty nak kamu bertanggungjawab kalau ada apa-apa yang terjadi pada anak aunty nanti. Kalau waktu itu, kamu tinggalkan dia terkontang-kanting, aunty akan cari kamu..." Puan Jasmine mengeraskan suara. "...sampai dapat."  Puan Jasmin bangkit dari duduknya. Berura-ura hendak beredar.

  Nahlan langsung tidak berkira. Dia menghadiahkan senyuman lebar kepada Puan Jasmine. Berazam sedaya upaya untuk melembutkan hati wanita yang sudah dia anggap sebagai ibunya sendiri suatu masa dahulu. Entah apa yang membuatkan Puan Jasmine berubah sehingga begini rupa. Barangkali, ada kaitannya dengan masa silam Ae'in.

  Tidak mengapa, Nahlan akan berusaha memperbetul semuanya.

  "Saya janji... saya tak akan sia-siakan peluang yang aunty bagi untuk saya dengan El. Terima kasih... terima kasih banyak aunty," ucap Nahlan bersungguh-sungguh sambil kaki ditegakkan. Bangkit dari duduknya. Dapat dia lihat, biasan mata Puan Jasmine melembut ke arahnya sebelum wanita itu beredar.

  "Terima kasih aunty," ujarnya sekali lagi walaupun Puan Jasmine langsung tidak menoleh.

  Sebaik sahaja figura Puan Jasmine sudah keluar dari balik pintu kaca premis, Nahlan menghela nafas lepas. Kedua tangan diangkat mengucap syukur sebelum meraup muka.

  Semoga Allah permudahkan jalan mereka.

 
"TUAN."

  Ae'in mengetap bibir apabila Nahlan selamba sahaja berjalan di hadapannya. Langsung tidak menoleh. Sudah seminggu sejak pertemuan antara Nahlan dengan Puan Jasmine. Sejak seminggu itu juga, tiada apa yang berubah seperti sebelum ini. Puan Jasmine pula... susah hendak dikata. Kadang-kadang Ae'in rasa ibunya itu seperti separuh restu sahaja hubungannya dengan Nahlan.

  Tanpa aba-aba, Nahlan berhenti. Hampir-hampir sahaja Ae'in terlanggar tulang belikat si jejaka dek henti yang tiada isyarat itu. "Kita makan dekat Black Canyon boleh?" Nahlan bertanya dengan hanya sisi wajahnya sahaja berpaling ke belakang. Langsung tidak berpusing badan.

  Ae'in jadi geram.

  "Tuan..." Ae'in menarik nafas panjang-panjang sebelum menyambung. "Tuan ni kenapa sebenarnya? Yang ajak saya keluar ni tuan tapi kenapa tuan macam tak nak bercakap dengan saya? Jalan pun laju-laju?" Sedas terus Ae'in bertanya. Tidak lagi bertapis-tapis.

SATU PELUANG Where stories live. Discover now