بواه كالاو

8 0 0
                                    

Buah kalau sudah mulai ranum. Tumbuh dari dahan pokok fikirnya yang berlarut-larut. Hasil siraman muhasabah. Entah buahnya jadi racun atau sebaliknya. Aku saksi jari dia sudah menggigil. Bukan kerana dopamine hilang tapi kerana adrenaline bermaharajalela. "Bagaimana kalau  aku tak sempat padam semua potretku di situ? Tika aku hidup pun kudratku untuk itu sudah ditarik. Apatah lagi kalau aku mati nanti. Siapa yang mahu hapuskan semua gambar dan video aku?" Ya, dahan pokok fikirnya kini bukan sekadar memanjang malah berselirat melebihi akar. Padahal apa yang dipost tak boleh dilihat orangpun. Namun gusarnya sudah melangit. Alkisahnya, habibti seorang ini terlupa kunci pintunya ke alam maya. Katanya, kalau ketika dia hidup pun dia sudah tidak berhak mutlak menjaganya. Apatah lagi kalau dia mati. Tidak ada yang tahu kata kunci pintunya.

Aku jadi menyiram pokok kalau juga. Bagaimana pula dengan tulisanku di alam ini? Sudah cukup bermanfaatkah aku menulisnya? Padahal aku hanya tukang puisi yang membina rumah harapan untuk berteduh bila hatiku walang. Aku bukanlah tukang yang menukang dengan batu-bata kata yang penuh isi ilmu melainkan batu bata kata dari bicara hati. Bila kau baca tulisanku, teman. Jangan kau jadikan panduan. Cukup kau pinjamkan aku waktumu mendengar hurufku berbicara mewakili tukang puisi bisu ini. Tak ada yang boleh dijadikan contoh daripada aku. Kau tapis jernihkan puisiku yang keruh ini. Kau ambil yang jernihnya sahaja. Jika tak boleh diminum kau curahkan saja ke lantai biar membawa pergi debu. Sekurangnya boleh diguna.

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Mar 07 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

Dear diaryWhere stories live. Discover now