20. Berubah

31 3 11
                                    

Syiraz masuk ke dalam rumah, menaiki anak-anak tangga dengan kaki lemah. Penat seharian ini asyik menangis saja. Jujur, dia merindukan arwah ibunya.

Tiba-tiba langkahnya berhenti apabila berjalan di depan bilik ibu bapanya. Bilik itu mengeluarkan suara daripada pasangan tersebut. Dia hanya kaku di situ.

"Iraz macam mana dengan awak?"

Mungkin kerana bibir Adib melantunkan namanya. Syiraz menajamkan telinga.

"Segala puji bagi Allah, Iraz akhirnya panggil saya dengan sebutan mak. Saya bersyukur sangat."

Itu suara Raudhah.

"Saya.. masih tak tahu macam mana nak ambil hati dia," Ujar Adib. "Tapi saya memang layak dibenci. Saya memang seorang ayah yang tak guna."

Raudhah mendekat, dan memegang tangannya suaminya. Erat. "Tak apa, sabar kita pasti ada ganjarannya. Sekurangnya awak ada usaha."

Adib tersenyum, persis sama dengan Syiraz. "Terlalu awalkah untuk saya mengalah?"

"Jangan mengalah. Saya kan ada? Saya akan cuba pujuk biar dia terima awak kembali. Nanti dia okey, dengan izin Allah. Saya tahu dia banyak menyimpan luka, tak semestinya luka itu mudah dirawat, kan? Kita tunggu saja, Allah tahu niat baik kita."

Suara lembut Raudhah serba sedikit menenangkan hati Adib yang gundah-gelana.

Percakapan mereka tiba-tiba berhenti setakat itu sahaja. Syiraz mendadak bingung seraya mendekat ke pintu bilik mereka.

Tanpa sangka, dia mendengar sesuatu yang menyakitkan. Tangisan seseorang.

"Saya takut, sayang.." Kelopak mata Adib berkelip basah. "Saya takut dia benci saya. Saya banyak salah dengan dia. Saya janji dengan diri saya untuk jadi ayah yang baik lepas kematian umi dia, tapi..."

Air mata seorang ayah jatuh.

"..tapi saya runtuhkan kepercayaan dia.. saya.. tak bermaksud untuk runtuhkan zaman kanak-kanak dia. Cuma, saya.."

"Shhhh," Raudhah mengesat air mata suaminya. "Kita manusia, layak berubah. Saya pun pernah jadi seorang ibu yang jahat dulu. Dan saya sedar, apa yang berlalu, biarkan. Apa yang ada, kita hargai kembali."

Tak terasa air matanya jatuh setitis.

"Saya.. bukan ibu yang baik dulu.."

Mungkin, Takdir menemukan mereka berdua yang mempunyai kesilapan yang sama, agar saling berubah.. menghargai apa yang ada di depan mata.

"...jadi kita berubah sama-sama ya? Kita jaga Syiraz sebaik mungkin."

Adib mengangguk sambil mengemam bibir. Kemudian, dia jatuhkan dahinya di bahu sang isteri. Saat itulah tangisan seorang ayah memenuhi bilik itu.

"Saya rindu dia panggil saya Ayah," lirih lelaki paruh baya itu. Raudhah tergamam.

Syiraz mengepal penumbuk. Sial, kenapa dia yang merasa sakit?

Kenapa dia yang harus merasa bersalah? Kenapa semuanya terjadi sekelip mata?

Syiraz terkejut saat pintu bilik dibuka. Dia segera pergi dari situ tanpa melihat siapa yang membuka pintu.

"Iraz.."

Syiraz berhenti melangkah apabila mendengar suara lunak itu. Lagi lima langkah, dia berjaya masuk ke bilik.

Merasakan figura itu mendekatinya dari belakang, dia mendongak kecil. Mata dikelip beberapa kali agar air mata tidak lagi keluar.

"Sejak bila Iraz pulang?"

Senja Terakhir [COMPLETE]Donde viven las historias. Descúbrelo ahora