“Aku bukan tak nak serius, tetapi itulah nak fikir lebih-lebih buat sakit kepala. Kita kena tahu pelaku dia dulu. Baru boleh tangkap dan bagi bukti pada pihak polis…”

Ada betul juga katanya Aksa.

Rashad tidak mahu terus menyakitkan hati dia. Sebelum kopi hitam itu turut dinikmati perlahan. Mereka berdua masing-masing diam dalam kebisuan suasana yang menemani seketika.

Menikmati perasaan dan keasyikan.

Sebelum Rashad kembali dengan persoalan yang tiba-tiba muncul di fikirannya tentang Effa.

“Pengganti Effa dah jumpa ke?” tanya Rashad. Effa, pekerja di Che Bunga. Pegawai pemasaran di sana.

Aksa yang masih menikmati kopi di gelas plastik itu kembali kepada suara Rashad di sisinya.

Tentang hal pejabat pula yang keluar dari mulut Rashad. Aksa baru hendak menenangkan diri daripada memikirkan hal-hal berkaitan kerja.
Effa, pegawai pemasaran mereka. Wanita itu terpaksa meletak jawatan setelah hampir lima tahun bersama mereka. Mengikuti sang suami berpindah ke Perak.

“Dah. Kak Sariza dah temuduga staf baru. Insya-Allah, minggu depan dia masuk.”

Sebenarnya Aksa tidak sempat lagi untuk bertanya lanjut kepada pekerjanya. Mereka yang menguruskan pengambilan staf baru. Bahagian sumber manusia yang menjalankan tugas.

Rashad angguk.

“Mesti perempuan, kan?” sempat juga Rashad bercanda.

Aksa menjuih bibir. Kalau bab perempuan bukan main, Rashad! Tak belajar daripada kesilapan lalu ke tu? “Kau bukan main! Tak serik lagi?” Aksa buat gurauan sarkastik.

“Kau… ke situ pula! Ini tak ada kena mengena dengan peribadi ya. Aku bergurau aje.”

“Macam aku tak kenal kau!”

Sempat Aksa mengenakan Rashad di sebelahnya, sebelum kembali menghadap ke arah laut di hadapan.

“Amboi, kau! Kenakan aku.” Mulut Rashad muncung terus. Baru Rashad mahu mengenakan Aksa, dia pula yang terkena dahulu. Serius! Tak boleh dibawa bercanda langsung.

Aksa Lukman! Tak ngam! Tak boleh dibawa bergurau. Memang orangnya serius memanjang!


SENDIRIAN bertemankan sepi.

Komputer riba yang berada di atas tilam itu dari tadi menjadi fokus utamanya. Gambar-gambar dan huruf-huruf yang tercatat itu dibaca dengan penuh perhatian. Tidak  sedikit pun mengalihkan pandangan. Terlalu menarik untuk dibiarkan.
Wajah seseorang bermain di mata.

Raut wajah itu tidak banyak berubah. Cuma lebih dewasa dan matang. Sesuai dengan waktu yang bergulir, tentu sahaja figura itu turut berubah.

Seperti dia. Dari gadis kecil yang berumur sepuluh tahun ketika itu, kini Sara sudah menginjak ke angka dua puluh lima tahun.
Kembali kepada skrin laptop di hadapan.

“Che Bunga Songket sudah menuju ke peringkat antarabangsa. Penghasilan songket keluaran Che Bunga semakin mendapat perhatian bukan sahaja peminat dalam negara malah…”

Tulisan di skrin terus dibaca. Tidak sangka setelah hampir berpuluh tahun, legasi keluarga Haji Kassim dan Che Aminah semakin maju dan terkenal. Perusahaan songket milik keluarga itu mampu berdiri setanding dengan usahawan-usahawan terkenal dan berjaya yang lain.

Video yang turut terpapar di skrin itu ditekan.
Wajah dan suara seseorang menarik minatnya untuk fokus sekali lagi.

“Jadi bagaimana harapan Encik Aksa Lukman sebagai pengarah urusan untuk Che Bunga Songket di masa akan datang?” Suara pertanyaan wartawan itu menarik. Dia mahu terus memandang wajah dan mendengar suara lelaki tersebut.

Aksa! Ya, Aksa Lukman bin Ibrahim. Anak lelaki kepada Pak Cik Ibrahim dan cucu kepada Haji Kassim dan Che Aminah. Pemuda yang sama! Yang Sara temui berbelas tahun lalu.

Meskipun pertemuan mereka berdua hanya beberapa kali waktu itu. Beberapa tahun dahulu. Ketika selepas kejadian di rumah Che Aminah, beberapa kali Aksa datang ke rumah mereka secara sembunyi untuk bertemu ayahnya dan keluarga mereka. Dia sempat memanggil lelaki itu sebagai Abang Aksa waktu itu. Fikirnya Aksa seorang yang baik dan tidak seperti Che Aminah.
Namun tidak sangka, sangkaannya meleset! Orang yang diharapkan berbeza dari keluarga Che Aminah, rupanya sama sahaja! Aksa telah merampas semuanya dari dia!

Dari suka kini benci sudah lama bercambah. Dia bencikan Aksa Lukman!

Kini selepas beberapa tahun berlalu, lelaki itu telah menjadi pengarah urusan kepada Che Bunga Songket. Perusahaan dan syarikat songket kepunyaan Haji Kassim dan Che Aminah.

“Sebagai pengarah urusan, saya berbesar hati dan berharap semoga Che Bunga Songket akan terus berkembang maju dan dikenali lebih ramai tidak hanya di Malaysia tetapi di seluruh pelosok nusantara dan dunia. Kami akan cuba menghasilkan songket terbaik dan menjaga kualiti tenunan kami seperti mana arwah datuk saya usahakan dulu…”

Mendengar suara itu yang begitu yakin dan berdedikasi mengucapkan harapan dia untuk Che Bunga Songket membuatkan Sara ingin menghambur ketawa kuat. Sinis.

Namun, apabila mendengarkan suara itu menyebut tentang Haji Kassim. Bertahun-tahun berlalu, lelaki bergelar datuk itu juga sudah pergi dan tiada lagi di dunia ini membuatkan Sara terdiam seketika.

Sebelum mata kembali kepada video yang terpasang. Senyuman dan sepasang mata yang penuh kebahagiaan itu! Ah, Sara tak suka melihat kebahagiaan dan semyuman di wajah itu!

Hati dia sakit!

“Kau rampas semuanya, Aksa! Senang-senang je dapat duduk di rumah besar itu dan uruskan Che Bunga. Mentang-mentanglah aku dan keluarga aku tak ada di sana!” Suara hatinya menjerit benci. Bahagia di atas kesakitan orang lain. Bergembira di atas terlukanya dia!

“Aku takkan biarkan kau terus rasakan bahagia tu lagi, Aksa! Aku akan balik ke sana dan kita tengok nanti siapa yang layak untuk berada di tempat kau berada sekarang!” Kata itu dilepaskan dengan nada penuh benci sebelum skrin laptop ditutup kuat.

Almari pakaiannya dituju. Satu album gambar yang disimpan oleh Puan Nafisah di dalam almari tersebut dibawa keluar. Dipegang kemas album gambar tersebut sebelum dia kembali ke atas katil miliknya.

Album gambar itu dibuka perlahan. Gambar-gambar dia bersama arwah emak dan ayahnya. Saat-saat indah mereka bertiga. Sara menyentuh lembut wajah kedua-dua kesayangannya lama.

“Emak dan ayah…”

Ya, Sara sudah membuat keputusan. Keputusan yang muktamad. Dia mahu kembali semula ke sana.

Kampung Mangkuk, Terengganu.

Dia akan pulang ke kampung arwah ayahnya dan takkan biarkan keluarga Aksa terus bahagia dengan apa yang mereka lalui selama ni. Dia lebih berhak untuk bahagia jika ingin dibandingkan dengan Aksa dan keluarganya.

“Sara akan balik Wan Che! Sara takkan izinkan Aksa dan keluarga dia terus berada di sana! Sara takkan biarkan harta dan hak milik Wan Che jadi milik keluarga Aksa! Sara cucu Wan Che yang sah!”

Surat perletakan jawatan di Dynamics Ltd sudah dihantar bermula hari ini dengan notis seminggu. Dia akan bekerja sehingga Jumaat ini sebelum kembali ke sana. Dan Sara akan bersemuka semula dengan Aksa sekeluarga dan syarikat serta perusahaan Che Aminah tak patut jadi milik orang lain selain dia. Apa lagi Aksa dan keluarga dia.

Sara takkan benarkan!
.
.

Welcome back, Sara! 😏

AKSARA LUKAWhere stories live. Discover now