Tengku Arifin sudah pergi kerja terlebih dahulu kerana katanya ada hal.

"Ya mama. Mama doakan abang ya," pohon Tengku Ahnaf.

Tengku Ahnaf merupakan pelajar Ijazah Sarjana di sebuah universiti terkemuka. Selepas saja menghabiskan pengajian Ijazah Sarjana Muda, dia bekerja sekejap di syarikat kedua milik keluarganya, TA Corporation.

Disebabkan papanya mahu dia mengendalikan syarikat itu, dia membuat keputusan untuk sambung belajar agar kedudukan dan ilmu dalam perniagaan lebih kukuh.

Memandangkan dia bekerja dari isnin sehingga jumaat, maka dia mengambil peluang hujung minggu untuk ke kelas.

"Mama sentiasa doakan yang baik-baik untuk anak mama. Yang penting, jangan pernah lupa Allah. Letakkan Allah di kedudukan yang teratas dalam kehidupan kita, in sha Allah semua yang kita buat akan dipermudahkan," nasihat Balqis.

"Terima kasih mama. Disebabkan mama sudah bersusah-payah masakkan untuk abang, biar abang pula yang kemas ya."

Tengku Ahnaf bingkas bangun kemudian mengemas meja makan.

Balqis menguntum senyuman tipis melihat anak lelakinya yang tidak kekok membuat kerja di rumah kerana sejak dari kecil lagi dia dan suaminya sudah mendidik anak lelaki mereka itu membuat segala pekerjaan di rumah supaya bila Tengku Ahnaf sudah berkahwin, anak mereka itu tidak akan membebankan isterinya nanti.

Tengku Anaqi sudah duduk di rumah lain bersama isterinya kerana mereka juga perlukan privasi.

Balqis yang masih duduk di meja makan itu melepaskan keluhan kecil. Jika hari ini ulang tahun Tengku Ahnaf, bererti ulang tahun arwah anak perempuannya juga, Tengku Adelia.

Sudah 3 tahun anak perempuannya itu pergi meninggalkan mereka sekeluarga. Perlahan-lahan air matanya menitis ke pipi.

Jika anak perempuannya itu masih hidup, pasti anak perempuannya itu akan menghubungi semua orang meminta mereka memberi ucapan kepadanya.

Matanya berkerdip ketika dia merasakan ada tangan menyeka air mata di pipi. Kepala dipanggung ke atas. Balqis mengukir senyuman pahit.

"Mama mesti rindu adikkan?" ujar Tengku Ahnaf dengan penuh berhati-hati.

Jika hari ini hari lahirnya, bererti hari ini hari lahir arwah adiknya juga.

Balqis mengangguk perlahan. Sukar bagi dirinya mahu percaya bahawa satu-satunya anak perempuan dia dan Tengku Arifin telah kembali ke negeri abadi.

"Mama jangan sedih-sedih okay. Nanti abang tolong sedekahkan makanan dekat rumah anak yatim bagi wakil arwah adik sempena ulang tahun kami bertiga," ujar Tengku Ahnaf sekaligus memujuk hati mamanya yang sedang dilanda kesedihan kerana teringatkan permata berharga rumah mereka.

"Nenek..nenek.."

Balqis dan Tengku Ahnaf terus menoleh ke tangga apabila terdengar suara budak kecil memanggil Balqis.

"Eh kesayangan Pak Long dah bangun ya? Awalnya bangun."

Tengku Ahnaf berjalan mendekati tangga mahu mengambil anak saudaranya yang takut-takut mahu turun sendiri.

Adiknya meninggalkan mereka seorang anak kecil seperti intan berlian yang membuatkan mereka merasa tenang setiap kali menatap wajah Nayla, anak perempuan Tengku Adelia.

Malam tadi Balqis mengambil Nayla di rumah Nazeem kerana mahu meluangkan masa dengan cucunya itu.

"Eee busuknya kesayangan Pak Long ini."

Tengku Ahnaf mencium kedua-dua pipi Nayla lalu menggomol wajah anak kecil itu. Nayla ketawa kecil apabila diperlakukan seperti itu. Dia sangat suka jika orang menggomolnya.

HER SAVIOR [Slow Update]Où les histoires vivent. Découvrez maintenant