Ditoleh ke belakang, perempuan itu sedang meniarap berdekatan kerusinya sambil membaca.

Hingga dia terpaksa bersuara buat pertama kali. "Maaf, cik boleh ke tepi sikit?"

Kalau tidak entah sampai bila dia akan tersekat di situ.

Pada hari lain dia nampak gadis itu sudah tercongok di atas kerusi. Buku di tangan agak menarik minatnya.

'Cabbage White: A Full Encylopedia About The White Beauty of Spring'.

Dengan ilustrasi terang gambar rama-rama spesies Pieris rapae, atau Cabbage White.

Laman rumahnya ada banyak rama-rama putih itu, dan dulu, dia mempunyai teman yang suka menikmati keindahan itu.

Hari ini, perempuan itu buat hal lagi. Eòin masih tidak berkelip memandang manusia yang seakan-akan tidak mengakui kewujudannya di situ.

Gila perempuan ni! Dia panjat rak tu ke? Semata-mata nak baca buku??

"Macam mana awak boleh panjat rak tu?" Suara Eòin akhirnya keluar asbab perasaan ingin tahu yang terlalu tulen. "Kalau ada orang tengok, macam mana?"

Gadis itu mengalihkan mata daripada halaman buku menuju pandangannya. "Tak ada orang kat sini, kan?"

"Kalau orang datang sini?"

"Kalau orang datang sini biarkan saja. Kita bukan sesiapa nak halang orang."

Mendongkol juga Eòin mendengar respons itu. Anak siapalah perempuan ini? Memang ibu bapanya hantar ke universiti untuk baca buku di atas rak perpustakaan ke?

Eòin meletakkan buku dan fail kertas di atas meja besar. Minatnya sudah rapuh untuk masuk campur urusan orang lagi.

"Biasanya awak ulang kaji kat meja tu." Kedengaran satu suara.

Eòin mengerutkan dahi sambil mendongak melihat punca suara itu. Meja persendirian yang selalu dia guna, dia tahu maksud gadis itu.

Itu kali pertama 'teman' asingnya itu bertanyakan soalan, seingatnya.

Dia tidak tahu bagaimana untuk membalas, jadi dia biarkan sahaja soalan itu dibawa pergi oleh hembusan pendingin hawa.

Leka dia dengan kerjanya, hinggalah akhirnya dia perasan gadis di atas itu membuat belekan dengan bunyi yang kuat. Banyak kali.

Schwish.

Jarinya tekun menari-nari di atas buku nota.

Schwish.

Pen di tangan digoyang-goyang kala dia cuba menghadam apa yang dibaca.

Noeyl: Setahun SajaWhere stories live. Discover now