PROLOG

38 3 0
                                    


"LAIN macam je angin hari ni."

Seorang wanita hampir lanjut usia dengan warna rambut menyamai butiran pasir putih di pantai, kalut menanggalkan pakaian daripada tali jemuran. Kiri kanan tangannya ligat mencabut sambil menggendong sebahagian kain dengan lengan kanan, manakala bahu kirinya pula mendukung sebahagian lagi.

Angin yang pada awalnya berhembus manja, tiba-tiba bertukar ganas beberapa minit selepas itu. Pokok-pokok bergoyang mengikut pergerakan pawana. Dedaunan hijau dan jingga bertebaran di bawah langit kelabu. Sekali-sekala, ada percikan kilat di kaki langit.

Wanita itu tergesa-gesa masuk semula ke dalam rumah selepas menyelamatkan bajunya. Pada masa yang sama guruh mula kedengaran, berdentum- dentam memecahkan langit.

"Haih, baru hari tu banjir," keluh wanita tua itu sambil melonggokkan pakaian di atas sofa. "Sakit pinggang hari tu tak hilang lagi." Seraya mematahkan pinggang dengan sekali gerakan.

Dia bergerak menuju tingkap mengamati warna langit yang makin lama makin bertukar tona. Debar jantungnya yang tiba-tiba sahaja tercetus, cuba tidak dihiraukan.

Beberapa hari sebelum itu pernah berlaku banjir akibat hujan yang turun mencurah-curah tanpa henti. Kawasannya selamat daripada bah, tetapi ada kawasan lain yang tenggelam. Dia baru pulang daripada selesai membersihkan rumah anak saudaranya yang turut terkena tempias banjir beberapa hari sebelumnya. Lenguh badannya, masih terasa.

Wanita itu menyediakan teh pudina di dapur. Panas-panas lagi minuman itu sudah dihirupnya. Ketika kilat sabung-menyabung dengan bunyi guntur yang makin membingit, dia tahu hari ini akan hujan.

Benar telahannya. Tidak lama selepas itu, bumi mula disambut dengan bunyi hujan yang menderu- deru turun.

Permukaan jendela mula dibasahi titisan air. Suasana juga perlahan-lahan bertukar dingin.

Dia mengenakan cermin mata sebelum membelek bahan bacaan. Aman sahaja suasananya di dalam dapur itu.

Diselang-selikan dengan cicipan teh, dia mengambil sebiji buah badam yang masih hijau warnanya daripada mangkuk lalu dicicah ke dalam piring garam.

Kruk! Kruk!

Tangannya mencapai lagi. Pandangannya setia dengan apa yang dibaca menggunakan tangan kiri.

Kruk! Kruk! Kruk!

Keheningan firdausi.

"Ohh sakit matalah pula.... "

Dia yang sedang duduk santai-santai di meja terus bangkit menuju langsir ruang tamu yang masih sedikit terselak. Hampir berpinar kepalanya terpandangkan cahaya kilat yang terlalu terang.

Usai sahaja menarik langsir rapat, dia tiba-tiba mendengar satu ketukan.

Eh, siapa pula datang masa-masa begini?

Langkah diatur menuju pintu.

Sebaik sahaja ia dibuka, wanita tua itu terpempan.

Noeyl: Setahun SajaWhere stories live. Discover now