Tangan yang memegang muk jatuh pada meja sambil tubuh disandarkan di situ, menghadap Runa yang masih dengan kopi hitamnya.

Soalan Aqiff dibiarkan tidak berjawab.

Tiada keperluan pun untuk mereka berbual.

Apatah lagi menjawab soalan bodoh Aqiff itu. Mata sudah ada untuk melihat, mengapa perlukan perbualan untuk mengetahui khabarnya?

"I'm talking to you, Runa Ishika."

"Hm."

"I cuba berbaik dengan you. Boleh tak sekali aje you bagi respon baik-baik dekat I?" Aqiff jadi berang.

Malas mahu melayan, kopi pun sudah siap, ada baiknya Runa pergi.

Namun baru saja dia mahu berpusing, pergelangan tangannya dilelar si dia. Malang buat Aqiff kerana tangan yang dia pegang itu adalah tangan yang sama memegang kopi hitam Runa. Hanya dengan sekali tolakan, licin muk Runa kerana isinya telah melenyapkan segala wangian bergamot pada tubuh Aqiff sekaligus memecah hening antara mereka.

"Runa!" Kali ini suara Aqiff agaknya berjaya menarik perhatian pekerja lain yang berada di luar pantri.

Pakaian korporatnya sudah basah dengan air kopi Runa yang suam. Tak cukup dengan itu rambut yang disisir kemas dan diselek gel juga sudah hilang rupanya.

"I bukan Hidayah, isteri you." Sinis Runa berkata. Atas bawah matanya menilik pakaian Aqiff yang sudah cemar dengan air kopinya.

"Jangan nak tambah masalah papa dengan benda bodoh macam ni. Papa you tu dah cukup malu kalau dapat tahu menantu dia mandul." Runa menggeleng, menayang wajah simpati yang dibuat-buat. "Kalau you terdesak sangat nak anak, I boleh suggest you buka akaun Tinder saja. Lagi ramai yang sudi untuk ada anak dengan you."

Kuat rahang Aqiff berlaga menahan amarah. Sedar akan dirinya mula menjadi perhatian para pekerja di luar pantri, dia cuba untuk tidak melepaskan apa-apa. Dia tahu, Runa sengaja mahu memprovoknya di tempat begini. Runa sengaja mahu dirinya dilihat buruk oleh pekerjanya sendiri.

"Run, Aqif. Run..." Runa berkata perlahan sambil membuat bancuhan kopi yang baru. Sesekali bibirnya tersengih sambila melirik ke arah Aqiff yang masih kaku di sebelahnya. "Kalau I jadi you... dah lama I pindahkan Runa Ishika ni dari bangunan ni. Mungkin macam pindahkan dia semula ke pejabat bapak dia?"

Runa mendengus tawa palsu. Lagi, matanya melirik ke arah Aqiff yang setia merenungnya bagai nak tembus.

"Tak adalah malu bila kena macam ni." Bibir Runa cebik. Sungguh dia tidak kisah tentang persepsi pekerja lain terhadapnya.

Itu bukan masalah hidup. Masih banyak benda di dunia ini yang boleh mengambil tempat di ruangan minda dan jiwanya.

"You jangan cabar I, Runa. You tahu bila-bila masa aje I boleh buat apa yang you cakap tadi." Aqiff tarik sengih tajam, mahu menunjukkan dirinya langsung tidak koyak dengan sindiran Runa.

Wanita itu angkat bahu, kepalanya menggeleng. "You buatlah apa you nak. Setakat kuasa you yang jauh dari papa you... you ingat papa nak lepaskan bekas menantu dia yang ada kemampuan untuk ada anak ni?"

"Ru..." Aqiff menggeletar hebat. Pelipis mula dihiasi urat yang menimbul. Dia terlalu marahkan Runa. Dia sangat terluka dengan cemuhan Runa. Setiap tuturnya, semuanya berjaya merobek isi hatinya.

Lebih-lebih lagi apabila Hidayah menjadi mangsa hinaan Runa. Wanita ini benar-benar sudah melebihi batas.

"Apa yang you dapat sekarang tak sampai suku pun dari apa yang you dah buat pada I dulu. Setakat kena malu depan pekerja you sendiri, apalah sangat yang you dapat kalau nak dibandingkan dengan apa yang I dapat sampai sekarang." Tenang saja Runa berkata.

Kopi hitam suamnya sudah siap. Masa untuk bekerja.

"Muncullah lagi depan I. I ada banyak cara untuk sakitkan hati you semula."

Dengar seperti ajakan, tetapi lebih kepada ugutan. Runa, malas buang masa dengan lelaki tak guna seperti Aqiff. Lebih baik dia fokus kepada hidupnya yang sekarang. Silap Aqifflah jika dia berfikir berbaik dengan Runa itu bakal mengubah fikiran Runa tentang pemberian hak jagaan Seroja kepada dia.

Runa sudah masak dengan perangai Aqiff. Cukup kenal bagaimana orangnya sehingga Runa tahu sekecil-kecil perkara yang Aqiff tidak suka.



PLASTIK nasi lemak di sebelah dipandang sepi. Niatnya tak kesampaian hari ini memandangkan dia terbangun lewat lagi sekali. Nasi lemak lauk sambal udang yang dia simpankan untuk Runa juga tidak bertuan.

Siapa sangka, Acik Mah sebenarnya lupa bagaimana wajah Runa.

Sia-sialah Bais suruh Acik Mah simpankan sambal udang ni.

Bahunya jatuh sebelum memulakan pemanduannya menuju ke pejabat.

RUNAWhere stories live. Discover now