Lelaki itu kemudian berdiri semula sebelum dia melangkah masuk ke dalam bilik air bersama dengan sehelai tuala dan sehelai tshirt berwarna hitam. Tangannya sempat mencubit perlahan pipi Zuha sehingga gadis itu mengaduh kecil.

"Saya mandi dulu. Awak pun pergilah bersihkan diri. Maghrib nanti abah ajak kita solat berjemaah kat ruang tamu."

Zuha mengangguk kecil tanda faham sambil mengusap lembut bahagian pipi yang telah dicubit oleh suaminya. Tadi pun Puan Mariam sudah berpesan benda yang sama. Kata Puan Mariam, Encik Zaim tidak sabar hendak berimamkan menantu sendiri kerana itulah salah satu angan-angannya sebelum ini. 

Setelah memastikan Zuhayr sudah berada dalam bilik air, Zuha lantas menghela keluhan kecil. Haih, Zuhayr ni pun satu hal. Sejak bila pula dia ni dah pandai mesra macam ni? Padahal sebelum kahwin, selalu sangat tayang wajah beku. Nak senyum pun susah. Sekarang ni sebaliknya pula yang berlaku membuatkan Zuha sendiri rasa segan untuk berhadapan dengan jejaka itu.

Haih, penatlah kalau hari-hari macam ni.

****


"Amin, ya rabb."

Usai bacaan doa yang diketuai oleh suaminya, Zuha bingkas mendapatkan Puan Mariam untuk bersalaman dengan ibunya itu.

"Pergilah salam abah tu." bisik Puan Mariam.

Zuha teragak-agak untuk menghampiri Encik Zaim yang sedang bersalaman dengan Zuhayr serta Zayyad. Zuhayr yang menyedari akan kehadiran isterinya itu lantas memberi isyarat kepada Zayyad supaya memberikan ruang kepada dua beranak itu.

"Abah." panggil Zuha perlahan. Sudah hampir dua minggu dia tidak bertegur sapa dengan abahnya membuatkan keadaan mereka ketika ini menjadi begitu janggal.

Encik Zaim mengukirkan senyuman kecil lalu menghulurkan tangan. Rasa sebak mula mencengkam dada ketika Zuha mula mencium tangannya itu.

"Kakak minta maaf." ucap Zuha dengan suara yang tertahan-tahan.

Sesaat terdengar esakan kecil dari gadis itu. Encik Zaim lantas menarik anak sulungnya itu ke dalam pelukannya.

"Abah yang sepatutnya minta maaf. Abah dah abaikan perasaan anak abah."

"Tak, abah. Kakak yang patut minta maaf. Kakak tak patut buat abah macam tu sedangkan abah cuma nakkan yang terbaik buat kakak."

Mutiara jernih mula membasahi pipi. Encik Zaim meleraikan semula pelukan mereka lalu menyeka air mata itu sambil menggosok lembut belakang Zuha.

"Dahlah. Jangan bersedih lagi. Apa yang berlaku biarkan berlalu. Kakak pun dah selamat jadi isteri Zuhayr. Abah doakan kakak agar menjadi isteri yang terbaik sebagaimana kakak menjadi anak yang terbaik buat abah dan ma."

Zuha hanya mengangguk kecil sambil menghapus sisa air matanya yang masih menghiasi wajah.

"Dah, pergi salam Zuhayr. Lepas isyak nanti kita makan malam sama-sama." ujar abah lagi lalu memberi ruang kepada Zuha untuk mendapatkan suaminya.

"Awak anak yang baik, Zuha. Semoga awak juga akan menjadi isteri yang baik untuk suaminya."

Zuhayr membisikkan ayat tersebut sewaktu Zuha mencium tangannya. Dia kemudian melabuhkan sebuah ciuman ringkas ke atas ubun-ubun isterinya. Zuha hanya tersenyum. Entah mengapa, saat ini hatinya mulai terasa lapang seolah-olah hilang segala bebanan yang ditanggung selama ini.

Ditambah pula dengan ciuman ringkas suaminya sebentar tadi membuatkan dia mula berbunga-bunga. Mungkin inilah permulaan kepada kebahagiaan yang bakal mewarnai hidupnya selepas ini.



HER BEAUTIFUL CONSOLATION - CWhere stories live. Discover now