Zuha mengembungkan kedua belah pipi sambil membelek jemari belah kanan yang sudah dihiasi dengan inai. Siap ada corak lagi tu. Semua ni kerja Nadia, sepupunya yang rajin memakaikan inai untuk dirinya.

"Eh, bukan dengan Zuhayr ke?"

"Tak tahulah, Hawa. Zuhayr pun langsung tak call aku. Geram betul aku dengan mamat tu. Janji itu ini tapi at last biarkan aku terkontang-kanting kat sini. Aku risau betul kalau-kalau esok Izham yang tiba-tiba jadi pengantin lelakinya."

Kedengaran Hawa tergelak kecil apabila mendengar keluhan sahabatnya itu.

"Kau percayakan Zuhayr, kan? Apa nak takut? Kau sendiri yang ambil risiko ni. High risk, high return tau Zuha. Aku yakin dia lelaki yang berpegang pada janji."

"Tapi aku takut kalau dia tak dapat tunaikan janji dia. Aku tak nak kahwin dengan Izham." Zuha memuncungkan bibir.

"Sebab kau takut Zuhayr akan buat benda yang sama macam mana Izham buat kat kau, kan?" tebak Hawa.

Zuha tetap mengangguk meskipun dia tahu Hawa tidak dapat melihat dirinya sekarang.

"Jangan risaulah. Tu semua godaan syaitan sebab tak nak kau bina masjid. Kalau kau rasa tak tenang juga, kau pergilah ambil wuduk lepas tu solat. Minta Allah permudahkan urusan kau esok, okay?"

Sekali lagi Zuha mengangguk. Ada benarnya kata Hawa itu. Mungkin apa yang dia perlu sekarang ni adalah doa dan juga ketenangan.

Selesai sahaja berbual dengan Hawa di telefon, Zuha bingkas bangun untuk mengambil wuduk. Untuk malam ini, biarlah dia mengabdikan diri kepadaNya demi mencari sebuah ketenangan sebelum menghadapi hari esok yang penuh dengan debaran.

*****



Awal pagi lagi Kak Mas, selaku mak andam yang telah diupah oleh Puan Mariam sudah tiba bagi menyiapkan bakal pengantin perempuan. Zuha pula sudah bersiap sedia dengan baju nikah yang dipakai sejak dari tadi.

Puan Mariam kata akad nikah akan bermula pada jam sepuluh pagi nanti jadi nak tak nak Zuha terpaksa juga bersiap awal. Lagipun, bukan dia sahaja pengantin yang perlu Kak Mas siapkan untuk hari ini.

"Kalau tak ada apa-apa, Kak Mas nak mula make up ni. Kalau awak rasa nak menangis ke apa baik awak selesaikan dulu. Akak tak nak make up awak bercapuk sebab awak menangis. Hari ni hari istimewa awak jadi awak kena jadi orang yang paling cantik tau."

Zuha tergelak kecil. Kata-kata Kak Mas sangat mencuit hatinya. Kalau sekarang dia masih lagi tiada rasa untuk menangis tapi risau juga kalau tiba-tiba Izham yang menjadi suaminya. Bukan setakat meraung, boleh jadi sawan terus agaknya.

Ya Allah, minta dijauhkan!

Segala perasaan negatif cepat-cepat Zuha tepis. Sebagaimana yang Hawa katakan malam tadi, Zuha sepatutnya mempercayai Zuhayr sehingga ke akhirnya. Dia perlu yakin yang Zuhayr akan mengotakan janjinya itu.

"Ha, dah siap. Cantik betul awak ni. Tak perlu make up tebal-tebal pun dah naik serinya."

Pujian Kak Mas membuatkan Zuha tersenyum sipu.
Dia sempat melihat wajahnya melalui pantulan cermin meja solek. Ya Allah, lainnya muka dia sekarang ni!

"Terima kasih, Kak Mas. Semua ni pun sebab tangan akak yang berseni tu." puji Zuha sambil masih lagi menilik wajahnya di cermin.

Kak Mas tersengih apabila mendengarkan pujian tersebut. Dia kemudian mengemas semula peralatan yang telah digunakan kerana ingin bergegas ke rumah seterusnya.

"Kalau macam tu, akak pergi dululah ya. Lepas ni ada dua buah rumah pengantin lagi yang akak kena pergi. Apapun, selamat menempuh dunia baru. Semoga menjadi isteri yang solehah bukannya solehot."

HER BEAUTIFUL CONSOLATION - CWhere stories live. Discover now