Duvet tebal berwarna coklat itu ditarik sehingga ke paras dada Dian. Setelah memastikan Dian telah pun tidur, Izham bingkas turun dari katil lalu meleraikan butang baju kemeja. Dalam diam dia mengeluh. Tiba-tiba dia teringatkan Zuha.

Sejak dia mula tinggal bersama dengan Dian, dia tidak pernah lagi menghubungi tunangnya itu. Malah, Izham juga tidak lagi menerima sebarang panggilan atau whatsapp dari Zuha seperti kebiasaannya. Dia turut merasakan hubungan mereka bagaikan tergantung begitu sahaja tanpa ada kata putus.

Mamanya sudah acap kali bersuara tentang cadangan untuk mempercepatkan tarikh pernikahan mereka berdua pada hujung bulan ini. Namun, Izham hanya mampu mengelak tanpa memberi kata putus tentangnya. Jika ikut kata hati, mahu saja dia memutuskan pertunangan ini. Namun apakan daya, dia bimbang keluarganya akan bertindak membuang dia serta menghalang dari mewarisi syarikat milik keluarga mereka jika dia tetap berkeras dengan niatnya itu.

Baru sahaja dia ingin melangkah masuk ke dalam bilik air, tiba-tiba kedengaran pintu utama kondo diketuk bertalu-talu. Loceng juga berbunyi berulang kali menyebabkan Izham segera menyarung sehelai tshirt berwarna putih ke tubuh.

"Haih, siapa pula yang tak sabar sangat ni?"

Izham mula mengerutkan dahi. Tak mungkinlah keluarganya yang datang ke sini sedangkan tiada siapa yang tahu bahawa dia memiliki sebuah kondo berdekatan dengan pejabatnya. Memang dia sengaja membeli kondo ini kerana niat asalnya adalah untuk tinggal di sini selepas berkahwin dengan Zuha nanti.

Alangkah terkejutnya lelaki itu sebaik sahaja dia membuka pintu utama tersebut. Terdapat beberapa orang yang berpakaian jubah dan baju melayu serta berkopiah sedang berdiri di depan pintu kondo miliknya.

"Assalamualaikum, encik. Kami minta maaf sebab mengganggu. Di pejabat agama, kami ada mendapat aduan yang mengatakan bahawa encik sedang bersekedudukan dengan seorang wanita tanpa hubungan yang sah."

Izham cuba mengawal riak wajahnya apabila mendengar kata-kata itu. Cis! Siapa pula yang mengadu tentang hal mereka berdua ini?

"Wa-waalaikumussalam. Saya rasa encik dah salah faham ni. Kat rumah ni hanya saya yang tinggal di sini." tutur Izham dengan tenang.

Sekumpulan pegawai itu saling berpandangan sebelum mereka mengangguk kecil. Salah seorang daripada mereka memandang semula ke arah Izham.

"Apapun, boleh kami periksa rumah encik untuk memastikan yang dakwaan itu adalah salah? Ataupun encik boleh tunjukkan kad nikah encik kepada kami untuk kami buat pengesahan."

"Maaf, encik. Terus-terang saya cakap. Saya tak dapat membenarkan encik semua untuk masuk ke dalam. Lagipun tuduhan yang encik cakapkan itu sememangnya tidak benar."

Izham cuba memberi alasan agar mereka tidak meneruskan tindakan tersebut. Dalam hatinya juga berharap supaya Dian tidak terjaga dari lenanya ketika ini.

"Izham, apa yang kecoh-kecoh tu?"

Dian melangkah ke arah Izham sambil menggosok matanya yang masih lagi kelihatan kabur akibat baru terjaga dari tidur. Izham dengan pantas berdecit sambil tangannya naik memicit pelipis.

Ini semua bala!

****



"Maaf mengganggu cik. Saya ingin maklumkan kepada cik yang tunang cik telah ditahan bersama pasangannya kerana berkhalwat di rumahnya."

Panggilan itu masih lagi bergema di ruang minda Zuha. Mutiara jernih juga sedang rancak menghiasi wajah polos itu sambil dia melemparkan pandangan ke luar kereta. Kini, dia sedang dalam perjalanan menuju ke balai polis sambil ditemani oleh Zuhayr dan juga Faris.

HER BEAUTIFUL CONSOLATION - CWhere stories live. Discover now