Bab 4

363 32 3
                                    

"Atuk, siapa yang azan tadi?" Soal Sumaiyyah sebaik sahaja mereka habis makan malam.

"Kenapa?" Haji Zuki memandang wajah cucu tunggalnya.

"Taklah. Sedap suara." Sumaiyyah memuji. Yang dia tahu atuknya yang selalu azan. Ini suara orang lain, lemak merdu pula tu. Agaknya kalau mengaji berlagu mesti sedap.

"Oo.. Itu anak Tan Sri Daud. Dia baru balik dari luar negera tiga bulan lepas."

"Maiyah tak tahu pun dia ada anak lelaki." Berkerut kening Sumaiyyah. Dia kenal dengan anak Tan Sri Daud tetapi hanya ada dua orang. Itu pun dua-dua perempuan.

"Mana kamu nak tahu, kamu jarang balik. Nak kata ada laki, dah tak ada laki." Hajah Rafeah menyampuk. Matanya menjeling cucu kesayangannya.

"Ni Maiyah balik lah ni."

"Sebulan sekali pun payah. Kalau tak sebab Taqif tak sihat agaknya tak balik."

Baru semalam dia telefon, hari ini Sumaiyyah sudah terpacak di depan rumahnya. Nampak gayanya kali ini lamalah cucu dan cicitnya tinggal di sini.

Akan dia pujuk Sumaiyyah biar duduk di sini sehingga cuti sekolah minggu depan. Bersambung pula dengan cuti sekolah dua minggu. Hajah Rafeah sudah merangka-rangka di dalam kepalanya.

Sumaiyyah terdiam. Dia memang sengaja tak nak balik sebab dia tahu neneknya akan sibuk carikan jodoh untuknya.

"Balik duduk sini teruslah Maiyah. Rumah kamu duduk tu pun rumah sewa. Membazir aje. Duduk dengan kami ni ha. Senang. Sakit demam kamu dan Taqif, ada kami ni yang menengoknya."

Sumaiyyah menggeleng. Dia lebih suka tinggal sendiri bersama Taqif. Dia tak nak susahkan atuk dan neneknya. Mereka sudah terlalu tua untuk dibebani sebarang masalah.

"Tengok tu abang. Geleng-geleng." Hajah Rafeah mula mahu berleter.

Sumaiyyah tersengih.

"Bagilah Maiyah ni berdikari nek." Sumaiyyah peluk tubuh kurus Hajah Rafeah. Kepalanya diletakkan ke atas bahu neneknya. Di bahu itulah dia menangis dan mengadu masalah selama ini.

"Dah lama kamu berdikari. Balik aje tinggal sini. Bukan ada sesiapa pun. Sini dengan tempat kerja kamu pun dekat." Hajah Rafeah memujuk lagi. Sesekali bahu Sumaiyyah digosok perlahan.

Sebenarnya dia tak sedap hati cucunya tinggal sendiri. Dengan menggalas tanggungjawab sebagai ibu tunggal lagi, dia cuma mahu membantu ringankan beban cucunya.

"Biarlah dia, Peah. Jangan memaksa." Haji Zuki menegur isterinya.

"Kan atuk kan. Atuk memang terbaik." Sumaiyyah tersengih sambil mengangkat ibu jari.

"Ehh.. Tadi kamu tanyakan pasal anak Tan Sri Daud tu kan. Kamu nak berkenalan dengan dia? Kacak budaknya." Hajah Rafeah sudah mula mengubah topik perbualan mereka.

"Tak naklah." Cepat Sumaiyyah menolak.

"Kamu ni semua tak nak. Kenallah dulu. Mana tahu bila dah kenal jatuh suka."

Terus Sumaiyyah bangun dari sofa.

"Maiyah masuk bilik dululah. Mengantuk. Nak jenguk Taqif sama takut demam dia naik balik." Sumaiyyah memberi alasan seraya berlalu ke bilik.

Kerap pula anaknya demam sekarang. Mungkin sebab perubahan cuaca sekarang. Sekejap panas, sekejap hujan.

"Tengok tu cucu awak." Hajah Rafeah sudah mendengus.

"Beri dia masa Peah. Hal kahwin ni bukan boleh main suka-suka aje terus kahwin." Haji Zuki menggeleng. Dia sendiri naik pening melayan kerenah isterinya. Ada sahaja calon cucu menantu yang isterinya jumpa. Orang senang-senang pula tu.

Kata isterinya, duit memang tak menjamin kebahagiaan. Tetapi biarlah berduit, taklah menyakitkan hati sangat macam si Shamsul tu. Poket kering pun ada hati curang.

*****

"Taqif dah sihat ke ni?"

"Sihatlah." Taqif sarung selipar. Dah tak sabar dia nak keluar cari kawan-kawan. Lama tak bermain dengan Abu dan Amir.

"Ehhh.." Sumaiyyah cekak pinggang. Ini lagi salah satu punca dia tak suka Taqif tinggal di sini. Gila bermain. Sekejap-sekejap hilang. Merayau merata. Pergi tangkap ikan sepatlah, pergi panjat pokok manggislah. Dia tak suka.

Nanti kalau sakit, Taqif jenis manja. Lambat nak baik. Bukan macam budak-budak lain, lasak.

"Jangan balik lambat!" Sumaiyyah melaung.

Taqif buat tak dengar. Menonong sahaja dia berjalan.

Cepat Sumaiyyah sarung selipar. Dia mahu mengejar anaknya. Boleh pula buat tak dengar ya? Nak kena ni.

"Maiyah, dahlah tu." Haji Zuki menegur cucunya. Dia perasan cucunya itu selalu bertegas dengan Taqif.

"Biarlah dia bermain. Masa kecil-kecil macam ni lah nak cipta memori. Nanti dah besar, dah kahwin adalah cerita yang dia nak berkongsi dengan anak-anaknya."

Sumaiyyah hela nafas panjang. Sekilas atuknya yang duduk di pangkin bawah pokok mempelam dilirik.

"Meh duduk sini." Haji Zuki tepuk bangku di sebelahnya yang kosong.

Sumaiyyah berpaling dan mengatur langkah ke arah atuknya sebelum melabuhkan duduk di sisi atuknya.

Haji Zuki tersenyum.

"Tak ingat ke kamu dulu suka juga hilang. Pantang atuk dan nenek sibuk sikit. Muncul tiba-tiba bawa balik luka. Ada sahaja yang lukanya. Berdarah lutut jatuh basikal. Benjol dahi sebab langgar tiang rumah oranglah." Haji Zuki menggeleng mengingati perangai Sumaiyyah dahulu. Sebiji macam budak-budak lelaki. Nakal!

Sumaiyyah ketawa. Ya, dia dulu memang nakal. Tak dengar cakap pula tu. Lagi orang larang lagilah dia teringin nak buat.

"Janganlah dikonkong kebebasan Taqif tu. Biar dia berkawan. Biar dia meneroka dunia ni. Cuma kita sebagai orang tua kena pantau apa yang dia buat."

"Taqif bukan biasa atuk. Dia tak pandai berenang. Main kat tali air bahaya."

"Tak adanya dia ke tali air. Amir tu abahnya ada kolam ternak ikan. Ke situlah mereka memancing. Abah Amir tu kan Zakwan. Kamu dah lupa? Kawan sekolah kamu dulu."

"Oo.." Terangguk-angguk kepala Sumaiyyah. Sama-samar muncul bayangan lelaki berkulit hitam manis di iris matanya. Lelaki berlesung pipit kalau tak silapnya.

"Banyak duit dia buka kolam ternak ikan?"

"Kolam ikan keli. Dia buat pinjaman kalau tak silap atuk. Lepas bini dia meninggal tahun lepas, dia balik duduk sini. Katanya biarlah Amir tu duduk kampung."

Terdiam Sumaiyyah. Ingatkan dia sahaja yang susah, rupanya ada lagi orang yang susah darinya.

"Jodoh ni rahsia Allah s.w.t. Tak panjang jodohnya adalah tu asbabnya. Tak berpisah hidup, berpisah mati. Berpisah hidup kalau macam kamu ni senanglah nak lupa sebabkan perangai onar Shamsul. Tapi kalau berpisah mati ni perit." Haji Zuki melontar pandangan jauh di bendang yang sedang menguning.

Sumaiyyah tak terkata. Itulah hakikatnya. Mudah untuk dia lupakan Shamsul kerana banyak kenangan pahit bersama Shamsul yang dia ingat. Kenangan manis? Boleh dikira dengan jari.

"Hari ni atuk ke masjid?" Sumaiyyah menukar haluan perbualan mereka.

"Mestilah atuk kena pergi. Selagi kaki ni mampu melangkah, insya Allah selagi itulah atuk akan ke sana."

Sumaiyyah tersenyum.

"Kamu ni nak tanya pasal atuk ke nak tanya pasal anak Tan Sri Daud tu?"

"Hishh.. Atuk ni ke situ pula." Merah muka Sumaiyyah. Atuknya dah berjangkit dengan nenek gamaknya. Apa yang istimewa sangat entah anak Tan Sri Daud tu.

Haji Zuki ketawa. Sesekali menyakat cucunya seronok juga.






sentuhan cinta tuan hajiWhere stories live. Discover now