PROLOG

125 8 0
                                    

DUNIA Jaafar terasa berpusing-pusing sekali gus membuatkan lelaki itu hilang keseimbangan. Mujur anak gadisnya, Farisya, sempat menahan tubuh tuanya sebelum dia sempat menyembah bumi.

"Ayah, kenapa ni? Ayah janganlah macam ni," kata Farisya, dengan air mata yang berjuraian.

Farisya sempat memandang sekeliling. Orang ramai mengerumuni tubuh kaku yang terlentang di tebing sungai berhadapan dengannya, tidak jauh dari hotel kecil milik Jaafar.

Dia mendongak ke atas. Kelihatan sebuah jambatan lebuh raya sedang berdiri kukuh. Mana mungkin ibunya terjun dari situ. Ibunya bunuh dirikah?

Menurut apa yang didengarnya, ada orang membuat laporan polis selepas melihat beberapa orang mat gian bertempiaran lari sambil menjerit, "Ada mayat kat tebing sungai."

Jadi, saksi itu memeriksa untuk kepastian dan ternyata memang ada mayat seorang wanita dalam lingkungan 50-an di bawah jambatan itu.

Mayat ibu yang Farisya kasihi, Teh Habibah.

Jaafar sedaya upaya cuba mengawal dirinya. Dilawan rasa pitamnya sebaik mungkin. Namun, empangan air matanya pecah juga. Dia terduduk, lalu menangis teresak-esak.

Farisya yang tidak dapat mengawal perasaan, turut mencangkung di sebelah ayahnya. Dia mengusap belakang Jaafar untuk menenangkan lelaki itu walaupun dia sendiri tidak dapat menahan rasa sebak di dada.

"Apa semua ni, Sya? Kenapa ibu pergi tinggalkan kita?" tanya Jaafar dengan suara yang tersekat-sekat.

Farisya hanya mampu menggeleng dalam tangisan. Dia memerhatikan polis yang baru tiba dengan pandangan mata yang kabur.


LIMA malam telah berlalu sejak kematian Teh dan selama itulah Jaafar masih tidak dapat melelapkan mata dengan sempurna. Jaafar sedang bersandar di kepala katil sambil merenung gambar isterinya. Matanya sembap dek air mata dan kerana kurang tidur.

Badannya juga susut dengan mendadak walaupun tubuhnya memang sedia gedang. Memori manisnya bersama Teh acap kali menjengah fikiran. Hasil bedah siasat polis yang mengesahkan Teh mati selepas melemaskan dirinya di dalam sungai telah memberi jawapan pada segala tanda tanya Jaafar.

"Abang minta maaf sebab meninggikan suara pada sayang sehari sebelum sayang pergi. Abang menyesal sebab tak kawal perasaan abang. Abang tak sangka sayang ambil keputusan drastik macam tu. Tak ada siapa lagi yang harus dipersalahkan melainkan abang. Abang minta maaf, sayang. Abang minta maaf..."

Memorinya memutarkan kembali pergaduhan terakhirnya bersama Teh.


"APA yang abang sayang sangat dekat hotel ni sampai tak nak langsung luangkan masa dengan sayang dan Sya? Asyik duk terperuk dalam hotel ni macam burung dalam sangkar. Sayang ni sekali-sekala nak juga luangkan masa dengan abang."

Jaafar memandang Teh sekilas. Tiada senyuman pada wajah anggun itu. Jaafar kembali melihat laporan perbelanjaan hotel miliknya.

Teh mendengus geram kerana suaminya itu seolah-olah malas mahu melayan bebelannya.

"Abang selalu macam ni tau. Apa yang sayang luah, abang selalu buat acuh tak acuh aje. Sayang ni tertekan dengan kerja, abang tak pernah nak ambil tahu. Dekat siapa lagi sayang nak luah kalau bukan abang? Abang tu suami sayang. Sayang tak ada tempat bergantung lain lagi dah." Nada suara Teh meninggi, disertai dengan air mata yang laju menuruni pipi.

Jaafar menghentak meja seraya berdiri mendadak.

Teh tersentak kerana terkejut. Wajahnya mencebik-cebik, cuba menahan tangis yang semakin menggila.

MENTEKEDARAHWhere stories live. Discover now