BAB 3

2 1 0
                                    


Kuarg! Kuarg!

Bising betul burung yang berlegar-legar terbang di kereta kuda kami. Mungkin mereka menunggu kami mati sebab itu dari tadi, mereka sentiasa mengekori kami.

Aku terlentang di atas gerabak. Baju sudah kuyup dengan peluh. Lidah aku terjelir-jelir keluar. Sudah dua botol air aku habiskan. Ini nak masuk ketiga tapi Kak Merah marah aku. Katanya aku nak bunuh dia. Kedekut bukan main. Dah la semenjak semalam membebel jerawat naik ke muka. Aku tak sangka dalam sifat dingin dia, wujud juga karakter tipikal orang perempuan.

"Kau rasa kat Bandar Gaia ada tak orang jual ubat untuk hilangkan jerawat ni?" tanya Kak Merah sambil memandu kereta kuda. Sesekali dia belek muka dengan cermin kecil di tangan.

"Manalah saya tahu kak. Ni first time saya keluar dari kampung. Akaklah yang lebih arif. Oh ya takkanlah tak ada elemantrik boleh hilangkan jerawat?"

"Kalau ada, itulah ilmu pertama aku belajar."

Aku hairan dengan jawapan Kak Merah. Elemantrik ni boleh diajar-ajar ke? Bukan kalau kau lahir dengan elemantrik , itu sajalah elemantrik yang kau ada sampai ke tua?

"Boleh ke kak?"

"Boleh apa?"

"Belajar elemantrik orang lain?"

"Ada caranya," balas Kak Merah.

Aku jadi teruja. Segera aku duduk mendekati Kak Merah. "Kalau macam tu saya pun bolehlah belajar?"

"Dalam badan kau mana ada unsur elemantrik. Mustahillah kau nak belajar."

Aku muncungkan bibir. Baru je fikir yang aku punya harapan mendapat elemantrik macam orang normal yang lain. Nampaknya harapan aku terkubur lagi.

Aku mengeluh berat dan kembali ke belakang gerabak. Kecewa tapi dijangka. Jika ia semudah itu pastilah tak akan ada orang yang ada masalah dikriminasi macam aku. Bodohnya aku.

Jurnal milik ayah, aku buka dan teliti. Kertasnya menguning namun tidak hancur. Ia terjaga dengan baik. Aku membawanya mendekati hidung dan mula menarik nafas, terdapat bauan harum yang kekal. Entah bau apa, aku tak dapat tangkap.

Bandar Gaia tempat yang kami hendak kunjung ni merupakan bandar terkecil di dalam negara Alamria. Ia juga paling dekat dengan Kampung Kodok.

Dekat-dekat pun 3 hari perjalanan juga untuk ke sana. Bergantung dengan jenis kenderaan. Kuda memang haiwan transportasi paling lambat. Paling laju ialah balolow, sejenis beast berkaki enam. Kepalanya besar, tanpa leher. Tubuh pula tanpa bulu dan melekit.

Aku pernah tengok sekali je balolow masuk Kampung Kodok. Itu haiwan transportasi paling mahal. Digunakan oleh orang berada.

Pun begitu haiwan tunggangan yang paling laju ialah windwalker. Haiwan yang mempunyai trait naga, berkaki dua berbulu banyak. Rupa seperti burung besar. Cumanya ia tak sesuai membawa pedati dan barangan yang banyak.

Ekonomi bandar Gaia bergantung sepenuhnya pada perdagangan dan pertanian pokok astora, sejenis tumbuhan menghasilkan 3 perisa. Daun merah, ia manis seperti madu. Daun kuning emas ia pahit seperti ubat dan daun turqoise ia lemak-lemak seperti santan. Rasa lemak-lemak daun astora inilah yang disukai orang dalam masakan.

Dari segi politik pula bandar Gaia dipimpin oleh seorang Lord. Namun begitu keadaan politik bandar Gaia tidak stabil. Menurut jurnal yang ditulis oleh ayah, ayah ada cakap Lord yang ada kini bukanlah pewaris sebenar.

Bukan pewaris yang sepatutnya mewarisi bandar Gaia. Maka kerana itu wujud kumpulan ketiga yang cuba gulingkan Lord sedia ada. Kerana kumpulan ketiga ini percaya, mereka adalah selayaknya memimpin bandar Gaia walaupun mereka pun tiada darah perwaris. Ini berlaku 16 tahun dulu, sekarang tak tahulah apa dah jadi.

ALAMRIAWhere stories live. Discover now