BAB 1

5 1 0
                                    


Beberapa bulan kemudian Tanah utara / Kampung Kodok

SEORANG lelaki tua melepaskan cangkulnya ke tanah. Dia menyapu renik air dingin di dahi. Kemudian dia berjalan menuju ke raga berisi sayur-sayuran sambil mata mengerling ke langit. Matahari sudah tegak di kepala. Dia mencangkung lalu menggalas tali yang terikat pada raga sayurannya sebelum berdiri bersama jeritan pendek, mengerah tenaganya.

"Tok Jun... Tok Jun... Kalau guna elemantrik mesti boleh angkat raga tu tanpa susah payah. Ini berkeras jugalah nak jadi macam cucu sendiri," tegur seorang lelaki yang turut bertani bersama, sinis.

Tok Jun senyum kecil.

"Aku tak faham lah. Apa masalah ada cucu yang tak miliki elemantrik? Apa bezanya kita semua? Kau orang hina dia, keji dia kerana tak lahir macam kita," balas Tok Jun. "Aku rasa jijik berdiri dan hirup udara sama-sama kamu semua," sambung Tok Jun lagi sambil berjalan menuju ke rumah, tidak lagi mempedulikan pemuda kampung tersebut.

<><><>

RUMAH Tok Jun biasa saja, tidak terlalu besar juga tidak terlalu kecil. Dindingnya terbina daripada kayu pohon bestaria yang ampuh seperti berlian dan sukar untuk reput dalam tempoh berabad lamanya. Tumbuhan hijau yang menjalar naik dan memenuhi setiap permukaan dinding memang sengaja dibiarkan kerana Tok Jun mahu rumahnya kekal tersembunyi dalam persekitaran hutan rimba.

Dari jauh, rumah ini kelihatan umpama pohon besar yang berbentuk kotak. Manakala di bahagian sisi kanan rumah pula, terdapat sebuah silo terbiar yang menjadi ruang penginapan cucunya, Akid, dan digabung bersama perpustakaan kecil miliknya.

Ketika masuk ke ruang kamar Akid, kedengaran bunyi kuat berderam dan tersekat-sekat. Tok Jun geleng kepala saja melihat anak muda berusia 16 tahun itu terlentang bersama buku-buku yang memenuhi katil. Mulut anak muda itu terbuka luas seperti gua dengan air liur yang melejeh jatuh membentuk peta di bantal.

"Akid! Bangun! Kau ni tidur memanjang, nak jadi apa!?" Tok Jun meninggikan suaranya. Sebuah buku diambil lalu dilontar ke perut cucunya. Terbuntang mata Akid.

Aduh!

"Tok! Sengajakan? Sakitlah aduduh." Akid meraba-raba perutnya, kemudian mengesat cecair yang hampir kering di hujung bibir. Tok Jun menyeringai.

Melihat sengihan Tok Jun, Akid mencebik panjang. Dia tahu atuknya itu memang gemar bergurau kasar dengannya sejak kecil. Hasil daripada gurauan kasar inilah dia mampu bertahan dengan pembuli-pembuli di kampung ini.

Akid dilahirkan sebagai seorang yang mempunyai kondisi langka. Dia tidak ada elemantrik. Elemantrik adalah asas penting di dunia ini. Semua orang memilikinya untuk memudahkan pekerjaan mereka. Mengapung objek, mengawal api, air dan sebagainya. Semua itu memerlukan elemantrik.

ALAMRIAWaar verhalen tot leven komen. Ontdek het nu