Syaf kelu, air mukanya berkocak. Lekas-lekas, dikawal semula ekpresi agar kelihatan normal. Sayangnya, Fizi sempat melirik sedetik namun mulut sengaja dizip rapat. Syaf mula letakkan mangkuk kosong ke sisi, melambat-lambatkan pergerakan apabila sedar tangannya sekarang menggeletar hebat.

Bibir digeliggit, gelisah dan rawan merajah diri. Liur ditelan payah, celah tenggorok tersekat saat ini. Entah di mana silapnya, bekas makanan ia terjatuh ke bawah. Mujur sudah habis, namun jelas Fizi masih larut dengan dunianya. Seakan-akan tidak sedar situasi yang berlaku.

Syaf cuba ukir senyum, kekok. Serasa tulang pipi tak boleh membengkok, liat semacam. Menoleh sekilas pada Fizi, pemuda itu sekadar bereaksi biasa.

Spontan, Syaf mengeluh panjang. Tangan memangku dagu sendiri, meraup roman sedia resah. Anak mata meliar kanan kiri, kelihatan setiap para peserta dan penduduk sedang menjamah juadah yang disediakan.

"Aku tak tahu," tuturnya perlahan. Memberat nafas, ulas bibir menceber.

Hening.

"Aku tak tahu kenapa aku kat sini sebenarnya. Aku elak bertembung dengan dia, aku tak nak jumpa dia. Tapi..." Syaf jedakan bicara, mata dikatup membawa diri meladeni kenangan lalu. Dilatari kaset bayangan kisah asmara yang lama, di mana keadaan masih baik-baik sebelum dihancurkan dengan rencana gila hasil ukirannya.

Fizi membisukan diri, setiap patah perkataan Syaf mengetuk jelas halwa telinga. Dia pasang deria pendengaran luas-luas, sudi membiarkan Syaf luahkan terlebih dahulu.

"Dah hampir tiga tahun. Aku elak berjumpa dia, aku tak bertanya khabar dia apatah lagi tentang zuriat kami. Aku rasa, aku suami dan ayah yang gagal sejak awal lagi. Aku tak layak bersama dia," lirih Syaf berkata, bibir diketap dengan lidah ditolak ke dinding pipi. Liur tersekat di celah kerongkong, perit ditelan sebelum dengusan resah meniti di mulutnya.

"Kenapa mesti ditakdirkan jumpa manusia yang ada kaitan dengan masa lalu kita, aku rasa serba-salah setiap kali dengan dia." Syaf menyudahkan kata dengan juring mata yang berbahang pedih. Kabur pandangan, dia tegakkan posisi badan seraya meraup mukanya kasar. Tulang antara mata dipicit, mengawal isinya gugur berjuraian.

Entah mengapa, dia buntu. Tidak pasti bagaimana mahu perbetulkan semuanya. Dia ingin selesaikan, namun dia juga gusar dan tiada keyakinan untuk menghadapi sama sekali. Katakan dia pengecut, sememangnya benar dan tidak dia nafikan.

Tanpa aba-aba, belakang tubuhnya ditepuk perlahan. "Silap manusia dia mencintai, tetapi tak reti berkomunikasi meluahkan isi hati."

Terpempan, lumpuh lidah tiba-tiba. Terpasung kemas pada lelangit, Syaf pegun sendiri. Bagai nasihat diberikan kali ini terus menusuk hingga ke relung hati, dipanah tepat dan jitu pada sasaran.

"Kunci utama dalam perkhawinan, bukan semata-mata berasmara tak tentu hala. Jauh sekali demi mendapatkan zuriat semata-mata. Dari segi teknikal, saat kau melafazkan ijab kabul bererti kau sedia galas tanggungjawab untuk menjaga, melindungi, menyembuhkan dan membawa dia ke jalan yang diredai oleh-Nya."

Fizi koyak senyum tipis, raut redup diarahkan pada Syaf yang terdiam kelu. Parut panjang menghiasi wajah, tertanya-tanya juga apa yang telah berlaku. Dalam masa sama, serasa dia baru mulakan bicara. Namun naluri mengatakan kuat, bahawa semua bait diksinya menyelusup baik ke dasar sang perjaka.

"Bila cerita soal jodoh ni kan, berat sebenarnya. Sebab aku pun bujang lagi secara umumnya. Tapi tak bermakna, aku tak ada keinginan nak ada pasangan, bina mahligai bersama dan menuju ke syurga-Nya bersama-sama. Cuma, mungkin belum tiba masa aku untuk berumahtangga lagi. Lagipun, aku percaya Allah akan berikan sesuatu kepada hamba-Nya tepat pada waktunya. Tak cepat, dan tak juga lambat, insya-Allah dan aku bersedia menerima..." Jeda. Nafas ditarik dalam terlebih dahulu sebelum menyambung kembali pertuturannya.

Penawar Kasih Pawana | CWhere stories live. Discover now