Sakit. Sementara yang membedil parah nurani, dipukul prahara secara dahsyat dan drastik. Direntap punca satu-satunya untuk dia bertahan, lenyap dan lesap hampir separuh dirinya. Merayap rasa ribang yang menggebu, menusuk sanubari yang lebur dengan perpisahan permata kecilnya.

"Aku bukan cacat tangan, aku boleh makan sendiri. Kau pergilah berambus, tahulah aku jaga diri."

Anan tersentak. Terkebil-kebil kala pandangan ibu semakin tajam, memicingkan dengan percikan lahar api dari sepasang mata. Seketika, album ditutup kasar seperti tidak gemar apabila dicerobohi olehnya biarpun hanya dengan lirikan.

Liur ditelan payah. Bawah bibir digigit lantas diperhatikan detik jam yang ligat berputar tanpa henti. Sudah lewat dimamah waktu, Anan resah.

"Anan tahu, alang-alang bila habis nanti Anan terus angkat ke dapur. Biar Anan suapkan ya, ibu sambunglah tengok gambar-gambar tu. Ibu tinggal nganga aje," kata Anan sembari menghulurkan sudu berlauk tersebut. Menanti sambutan meskipun reaksi tidak rela kasat mata terlihat di muara wajah ibu.

"Anan Nurfiza." Nada ibu terketap-ketap. Rahang bergerak cuba tuturkan sesuatu, tetapi semuanya tersekat di celah tenggorok. Entah mengapa, kali ini lidahnya umpama lumpuh untuk mengatakan butir aksara yang disusun dalam kepala.

Sesuatu dalam sudut hati, menghalang dia bertindak sedemikian. Sesuatu di mana, ditampar rasa aneh yang menimbulkan kekeliruan dengan perbuatan sendiri. Sesuatu yang akan muncul setiap saat dia mahu menyakiti gadis ini. Dia sedar, namun seringkali tidak ambil endah sama sekali.

Kornea mata dihala pada wajah bujur sirih Anan. Dipusatkan tunak pada aksa bundar yang nyata terkapai-kapai pohon bantuan. Tingkah lakunya tidak seiring perbuatan. Bagaimana Anan ini mahu berpura-pura, sedangkan jelas lagi nyata semua itu pembohongan semata-mata. Sah, Anan tidak reti menipu.

Sejak dahulu lagi. Masih sama, kekal serupa. Pupil mata penuh dengan kasih bersama duka dihambat dalam hidupnya.

"Kau sayang aku?" soal Puan Ina secara luar sedar. Melotot bungkam Anan, terkejut bekali diajukan pertanyaan luar alam begitu. Malahan Anan teliti garis-garis muka yang kian berkedut di wajah tua itu, tiada gelora sinis seperti selalu.

Lambat-lambat, Anan jatuhkan jemala. Bibir mongel seakan bergetar, cepat-cepat dikemam mengawal rasa. Dia kalihkan pandangan seketika, tidak betah lihat pandangan ibu tatkala ini. Darah mengepam jantung melebihi had sepatutnya, debaran lain yang menimbulkan puing-puing risau tetapi nyaman.

"Ya, Anan sayang ibu. Makan ya, esok dah mula puasa bu. Kalau macam ni, lambatlah kita nanti." Anan menyahut dengan nada dibuat-buat ceria.

Sesaat, dia pandang ibu semula. Raut polos berkerdip lembut, sabar melayani karenah Puan Ina yang menghamparkan riak sekejap berkerut dan kemudiannya hilang arah. Sejujurnya, dia tidak faham renungan ibu.

Adakah itu satu amaran agar dia tidak mempamerkan muka biasa, menafi gelodak emosi diri bertentangan daripada yang sepatutnya.

Puan Ina melepaskan keluhan panjang. Tiada daya mahu melawan, akur dengan kehendak Anan. Mulut dibuka, menerima suapan sebelum wajah Anan melongo besar padanya kelihatan puas hati kala dia menerima.

Tidak semena-mena, meluncur laju butir aksara dari bibirnya berbicara cukup menampan halwa telinga Anan, "Tapi, aku tak sayang kau. Sampai bila-bila pun aku takkan terima, kau cuma bala dalam hidup aku."

Serta-merta Anan bejatkan pergerakan. Umpama guruh petir membadai diri, menghempas jiwa murni ke dasar dengan begitu kejam sekali. Kelu lidah untuk membalas, celah rengkung pedih dengan jiwa berkecai. Sirna terus sinar mata, kaku mulut manis ingin mencarik senyuman ikhlas dari dada. Menghangat birai mata, dikerjap agar kental dan terus cekal untuk hadapi ibu di hadapannya.

Penawar Kasih Pawana | CWhere stories live. Discover now