Hans pula memberi jelingan maut ke arah Adel dari jarak jauh. Adel tidak mendiam diri, dia juga membalas jelingan maut tersebut dengan melihat Hans dari bawah hingga ke atas tanda menyindir lalu kepalanya menoleh laju ke arah meja makan semula.

"Sayang, kenapa you pandang perempuan itu?" Nady mencuit perut Hans dengan sekuat hati kerana cemburu. Dahinya berkerut habis.

Hans terus mengadu sakit sambil menenangkan teman wanitanya itu. Nadeem pula sibuk mengambil rendang ayam yang sudah tinggal satu itu. Kak Yah tersenyum teringat akan Adel yang memilih ayam rendang sebentar tadi. Bukan pelajar sahaja yang tahu tentang Adel yang mendambakan Nadeem malah pekerja-pekerja di kampus juga turut tahu tentang itu.

"Sepadan betul selera kamu berdua ini," puji Kak Yah.

Nadeem mengangkat kening kiri tanda hairan. Siapa pula yang sepadan ni? Segala tanda tanya hanya dibiarkan sahaja. Akhirnya, dia mencari meja namun kelihatannya kafeteria dikerumuni orang pada waktu makan tengah hari. Satu tangan yang melambai-lambai dari jauh menganggu pandangan Nadeem.

"Sini!" jerit Adel kepada Nadeem dari jauh sambil menghalakan jari ke arah meja yang kosong di sebelahnya. Sempat lagi dia meletakkan beg komputernya di meja tersebut sebagai tanda meja tersebut sudah memiliki tuannya.

Nadeem terpaksa akur dengan permintaan gadis itu yang ingin berbuat baik kerana memang sudah tiada meja kosong yang lain. Nadeem kemudian tunduk dan mengucapkan terima kasih kepada Adel. Kerusi meja makan itu ditarik lalu dia melabuhkan punggung di kerusi plastik tersebut.

"Kenapa duduk sini?" soal Hans sambil melihat Adel dengan sebelah mata. Pinggan makanannya diletakkan dengan kuat tanda protes.

Nady juga turut bermasam muka. Dari dulu lagi dia memang tidak suka dengan gadis bernama Adellea Arelyne itu. Dia sampai perlu menyebarkan cerita yang buruk-buruk tentang Adel untuk membuat rakan-rakannya membenci Adel.

"Macam tak ada meja lain je." Nady memandang wajah Nadeem dengan pandangan menjengkelkan. Nadeem pula hanya memekakkan telinganya kerana dia tidak gemar berbalah dengan perempuan.

Sesuap nasi dimasukkan ke dalam mulut itu. Wajahnya hanya tunduk ke arah pinggan itu manakala Adel sibuk merenungnya.

"Kata nak jaga ikhtilat sangat tapi duduk dekat juga dengan perempuan gila yang obses dengan dia ini. Nampak sangat nak perhatian, tak pun kau memang dah suka dia, kan?" Nady tak habis-habis ingin memanaskan hati Nadeem akhirnya Nadeem pun membuka suara.

Wajahnya di angkat lalu anak mata gadis itu dipandang dengan sungguh dingin dan serius. Sudu itu diletakkan. Nady pula diam selepas Nadeem memandangnya dengan pandangan maut itu. Habis terketar-ketar jari jemarinya.

"Boleh buka mata itu dan tengok sekeliling kita ada meja lain tak?" soal Nadeem lalu Nady pun memusingkan kepalanya 360 darjah dengan sekilas pandang.

Nady menggeleng kemudian matanya mengelak daripada bertembung dengan mata Nadeem.

"Alah you know, she's attention seeker that's why a lot of people tak suka dia. Hati-hati tau Nadeem, dia itu nampak je macam tutup aurat padahal masa dulu dia pakai pakaian pendek paras paha je. Tengok gaya pun tahu macam kaki clubbing," pesan Nady kemudian garpu yang berada di pinggan itu diambilnya.

Hans mengangguk tanda setuju manakala Nadeem menghela nafas berat. Ada sahaja mulut mereka berdua ini ingin memburukkan orang.

"Janganlah ungkit dosa lama seseorang, kadang-kadang kena tengok diri sendiri juga." Nadeem bingkas bangun. Seleranya terbantut dek kerana perbualan tersebut membuat dia hilang selera makan.

Sisa makanan yang tidak habis itu diberikan kepada seekor kucing yang diberikan nama 'Kopi' kerana kucing tersebut memiliki warna yang unik baginya iaitu warna coklat muda seperti kopi susu.

"Susu! Mana awak!" teriak Adel sambil mencari kucing kesayangannya di belakang kafeteria itu. Dia melihat Nadeem dari jauh yang sedang membelai kucing tersebut.

Kucing tersebut kemudian berlari ke arah Adel sebaik sahaja Adel mendekati Nadeem. Adel kemudian membelai kucing itu dan memberikan ikan.

"Comelnya Susu," ucap Adel. Nadeem pula tercegat di situ melihat Adel sibuk bermain dengan kucing tersebut.

Adel kemudian mendongak melihat Nadeem. Dia bingkas bangun.

"Awak bagi kucing saya makan juga ke?" soal Adel sambil melihat sisa ikan di situ.

Nadeem mengangguk.

"Tapi dia pun kucing saya juga." Nadeem menundukkan wajahnya.

Bercemberut dahi gadis itu setelah mendengar ucapan tersebut. Mana boleh berkongsi kucing! Itu hanya dia punya seorang sahaja.

"Mana boleh! Ini nama dia Susu tahu tak? Dia kucing saya dekat sini," rengek Adel

"Tapi saya namakan dia Kopi dan dia pun kucing saya dekat sini."

Huh! Adel berdengus kesal kemudian menyilangkan lengannya. Nadeem melihat tindakan gadis itu lalu dia pun meniru gaya tersebut. Lengannya perlahan-lahan disilangkan juga. Lalu lingkaran bibir itu menurun ke bawah tanda merajuk dan kesal. Adel memandang Nadeem yang meniru dia itu. Hampir sahaja dia ingin tertawa namun dia tahan sedikit.

"Baik! Dia kucing kita berdua tapi panggil dia Kosu, faham?" Adel membuat kesepakatan dengan Nadeem lalu Nadeem mengetap bibirnya lalu bersetuju.

"Baik, tapi kenapa Kosu?"

Adel tersenyum lalu badan kucing itu diusap perlahan. Nadeem pula turut mengelus leher Kosu.

"Sebab awak panggil dia Kopi dan saya panggil dia Susu. Kalau digabungkan jadilah Kosu. Comel, kan?"

Senyuman tipis muncul di bibir lelaki itu.

"Comel."

SOLAT isyak ditunaikan. Setelah selesai dia memohon doa. Hati itu tenang tiap kali menunaikan solat isyak tepat waktu. Sejadah itu kemudian dilipat. Katil yang empuk itu diduduki olehnya manakala dinding kosong itu direnung.

Tiba-tiba dia teringat akan si gadis itu dengan senyuman yang manis lalu suka menunjukkan pelbagai ekspresi comel. Dia tersenyum sendirian tanpa sedar. Lesung pipit timbul di kedua-dua pipinya.

"Astaghfirullahalazim, ya Allah kenapa aku memikirkan dia? Maafkan aku kerana timbul perasaan senang di hati apabila teringat akan si dia. Namun jujur, hamba-Mu yang satu ini sungguh menarik."

Akhir Tak PastiWhere stories live. Discover now