BAB 7 (Bahagian 1)

1K 70 3
                                    

KUAT bunyi derap kaki kedengaran beserta nafas yang termengah di sepanjang laluan koridor menuju ke bangunan yang menempatkan bilik-bilik kuliah.

Sampai sahaja di depan bilik bernombor 30, langkahnya dikunci di situ. Kira-kira tiga puluh saat masa yang dia ambil untuk membetulkan nafasnya yang pincang rentaknya akibat berlari anak sedari tadi.

Barulah tangan dibawa pergi memegang tombol. "Asalammualai... kum?" Zink tercegat sendiri di muka pintu. Bibirnya terbuka sedikit apabila menyaksikan pemandangan depan mata.

Bilik kuliah gelap gelita tanda dia adalah yang pertama sampai di situ. Mana kawan-kawan dia yang lain? Tak sampai lagi? Biar betul? Bergegas dia keluarkan telefon dari dalam beg sandangnya, jam di skrin dia lihat.

7.55 minit pagi. Takkan tak ada seorang pun yang dah sampai dulu sebelum Zink? Zink punyalah kalut, berlari panjat tangga tak tunggu pun lif sebab takut lambat masuk kuliah. Sekali bila dah sampai, bilik kuliah masih kosong.

Subhanallah, ajaibnya dunia.

Zink tidak terus masuk sebaliknya dia masih berdiri di muka pintu. Beg yang tadi melorot jatuh ke lengan dia sangkut semula ke atas bahunya. Sebelah tangan tahan pintu, sebelah lagi pegang telefon.

Zink nak periksa Whatsapp, manalah tahu ada apa-apa info yang dia terlepas pandang tentang kuliah mereka pada pagi itu. Baru Zink nak Whatsapp Meor yang memangku jawatan sebagai ketua kelas, lelaki comel itu dah mesej Zink terlebih dahulu.

Meor: Ada sesiapa yang dah sampai kelas? Prof dah sampai ke?

Ina: Aku baru nak tanya. Prof dah sampai ke belum?

Lima: Weh, kalau ada siapa-siapa yang dah sampai cakap dekat Prof, aku, Piqah, Lina dengan Ema lambat sikit tau.

Alin: Aku pun!

Iman: Iman pun!

Faris: Aku dengan Arip on the way.

Zink julingkan matanya ke atas. Ceh!

Senang cerita satu kelaslah ni tengah 'on the way'. Mesti semua bangun lambat sebab malam tadi berjaga hingga pagi siapkan laporan amali yang berlambak tu. Pasti!

Me: Aku dah sampai, tapi kelas kosong lagi. Prof belum sampai. Aku sorang je ada dekat sini. Ingatkan cuti tadi semua orang tak ada.

Zink taip sambil tersengih sendiri. Dia ingat nak kenakan mereka, tapi kasihan pula nanti masing-masing kalut nak panjat fakulti.

"Oi, Zink!"

Satu suara menyergah dia dari belakang buatkan Zink terkejut lalu pegangan telefon di tangannya terlepas. Pap!

Sekelip mata telefonnya sudah jatuh menyembah lantai buatkan muka Zink pucat tak berdarah. "Baby!" Zink dah melutut elok, telefon yang tadi terbaring lemah di atas lantai deras dia bawa ke dalam pelukan.

"Zink, sorry. Aku tak sengaja." Caan di belakang jadi serba-salah apabila nampak Zink masih tak bangun-bangun. Masih belum berhenti memeriksa telefonnya. Zink pusing ke belakang. Kaki Caan yang dekat dengan tangannya dia pukul guna telefon tersebut.

"Aduh!" Kuat Caan mengaduh. Tertunduk dia mengusap kawasan yang terasa sengal. Tak tipu, memang sakit.

"Kau! Kalau retak skrin aku tadi, sumpah aku rompak kau dekat sini juga!" Zink dah bangun dari silanya di atas lantai. Mata sengaja dikecilkan di hadapan Caan.

Sebelum pergi ke tempat duduknya, dia pura-pura macam nak pukul lelaki itu lagi sehingga Caan berada dalam posisi mempertahankan diri. Tapi pura-pura ajelah. Mana boleh Zink sentuh anak teruna orang sesuka hati. Haram!

"Zink, telefon kau okey ke tak?" Caan tak segera duduk di tempatnya sebaliknya menempel di tepi Zink.

"Okey."

"Betul ni?"

"Kalau kau nak aku jahanamkan dia pun boleh. Lepas tu kau belikan aku phone baru pula." Sarkastik daripada Zink.

Caan buat muka. "Yalah, yalah. Yang kau pun, duduk depan pintu kenapa?"

"Aku parking kejap aje depan tu. Takjub tengok kelas kosong. Ingat aku dah lambat dah." Zink mula bercerita.

"Samalah. Aku pun ingat aku dah lambat, rupanya..."

Zink menggeleng kecil lalu dia lepaskan keluh seperti kecewa. "Apalah nak jadi dengan anak bangsa kita sekarang ni? Kalau kelas pukul 8, 7.55 still dalam bas. Patutnya kalau kelas pukul 8, 7.55 tu dah ada dekat sini. Macam aku, macam kita. Bila kita nak tiru bangsa Jepun? Macam mana kita nak maju kalau masa pun tak boleh nak tepati?!"

Muka dengan tangan gadis itu sama naik dengan suara dia yang dah bergema di segenap ruang bilik kuliah. Caan yang sedang berdiri tepi meja rasa macam... Zink dah kenapa tiba-tiba emosi? Tak berkelip mata dia tengok gadis itu.

Sesaat kemudian, Caan nampak Zink tunduk dan pandang bahu sendiri, lantas dia berpura-pura membersihkan habuk yang langsung tidak kelihatan di situ sebelum tangannya dibawa bersilang ke dada.

Bersahaja memeluk tubuh dengan sengihan nakalnya setia di bibir. "Aku ada gaya macam pejuang anak bangsa tak, Caan?"

Caan angkat tangannya dengan gaya hendak pukul Zink, tapi sikit pun dia tak takut. Makin Zink galak ketawa adalah. Eee, geram pula Caan dengan Zink ni. Perangai...

"Kalau kau ni lelaki, lama dah aku pukul tau? Nasib baik kau ni perempuan." Caan jeling Zink tajam. Dia berlalu ambil tempat di meja di hadapan gadis itu, tempat kebiasaan dia duduk.

"Alhamdulillah Ya Allah! Aku dilahirkan sebagai seorang perempuan." Zink tadah tangan lalu mukanya mendongak memandang siling. Usai berdoa, dia raup mukanya penuh syukur.

"Poyo!"

Kimia (Sudah Terbit)Where stories live. Discover now