𝑠𝑤𝑒𝑒𝑡 1

231 27 0
                                    

Bantal yang bergolek ke tepi katil dicapai lalu ditekup ke telinga. Bunyi klekung klekang kuali dan periuk di dapur mengganggu lena Manisa pada pagi itu lantas dia bangkit dari pembaringan.

Bebelan ibunda dari dapur menusuk ke gegendang telinga.

"Ada anak dara pun pemalas tak boleh harap. Aku ingat kalau hantar anak masuk universiti ni boleh la menumpang harap. Tapi harom! Habis belajar dengan CGPA 3.73 pun takde orang nak ambil kerja jugak. Kau bangun sekarang Manisa sebelum mak kau ni naik darah!"

Manisa menggaru kepala yang tak gatal. Mak ni siap mention lagi CGPA dia. Kalau jiran-jiran dengar dengan readers baca nanti dikatanya riak pulak.

Selimut ditolak ke lantai. Dikebas dulu sebelum dilipat. Pintu bilik berukiran kayu itu dibuka dari dalam.

"Mak pagi-pagi ni buat penat je membebel. Mak tu bukannya sihat sangat." Manisa melabuh duduk di kerusi. Di atas meja sudah tersedia nasi lemak bersama teko teh.

"Amboi! Kalau kau nak tahu aku sakit ni puncanya sebab kau. Darah aku naik meninggi setiap kali kau buat perangai."

"Alah mak ni. Bukannya perangai Nisa teruk sangat pun."

Manisa mencapai senduk nasi untuk mencedok nasi lemak ke dalam pinggan. Sesudu sambal ikan bilis diletakkan di tepi pinggan bersama telur rebus yang sudah siap dikupas kulitnya.

"Haa menjawab! Menjawab! Kau tengok Izzati anak jiran sebelah tu baik budi pekerti. Cakap pun berlapik je tak ada nak menjawab orang tua dia." Balas Puan Mazidah geram. Tipikal kaum ibu di Asia suka sangat membandingkan anak sendiri dengan anak orang lain.

"Mak tak tengok ke Cik Nab mak si Izzati tu? Dia layan anak dia penuh kasih sayang. Tak adanya nak membebel dekat anak dia."

"Nur Manisa!" Manisa mengulum senyum. Makin bertambah geram Puan Mazidah apabila Manisa memulangkan paku buah keras.

"Mak long bagi dekat mak semalam. Nisa isi SPA. Kalau lulus nanti diorang akan panggil untuk temuduga."

"Kerja apa mak?" Manisa menyambut kertas di tangan Puan Mazidah. Ayat-ayat yang tertera pada templat itu dibacanya satu persatu.

"Perpustakaan Negara? Nisa tak nak lah mak." Manisa cepat sahaja menolak tetapi kerana pandangan menyinga daripada Puan Mazidah, muka Manisa berubah cemberut.

"Pastikan Nisa isi dekat link yang dia bagi tu. Mak tahu masa kau dekat universiti dulu pun benda kau belajar ada kaitan dengan kerja macam ni kan? Kau jangan nak tipu mak eh. Mak rebus kau, kalau kau tak isi maklumat SPA."

Amboi, Puan Mazidah main ugut-mengugut pulak. Berani!

"Ya ya. Nanti Nisa buat."

"Haa kan bagus macam ni. Jadi anak yang mendengar kata. Barulah sejuk perut mak mengandungkan kau ni tak selama ni panas macam kena bakar api neraka je." Sindiran Puan Mazidah yang semakin pedas membuatkan muzik latar instrumen lagu Rapuh seakan dimainkan di belakang panggung.

Manisa cuma diam membisu. Nak dibalas nanti disumpah jadi ikan pari pula. Lebih baik dia kunci mulut dan cuma dibuka untuk menghabiskan nasi lemak yang masih tersisa dalam pinggan makan.

"Nisa, bulan depan kita balik kampung, ya? Mak su kau telefon mak tadi ajak kita balik. Mak lang dengan mak ngah rancang nak buat majlis hari lahir Atuk." Usul Puan Mazidah tiba-tiba.

"Mak!" Manisa berdecit tidak suka. Pulang ke kampung kelahiran Puan Mazidah itulah paling dia benci sekali. Kerana dia merasakan keluarganya tidak diterima di sana. Dilayan tidak ubah seperti orang asing oleh sebahagian besar keluarga belah Puan Mazidah merupakan adegan biasa yang berlaku setiap kali mereka pulang ke sana.

"Mak tak sampai hati nak tolak. Lagipun mak su ajak kita dengan baik."

"Suka hati mak lah." Manisa menggigit hirisan timun di dalam pinggan makannya. Tidak langsung dipedulikan tatapan sayu Puan Mazidah.


"Mak, Kak Mas ada balik ke?" Manisa menukar topik perbualan. Dia sengaja menanyakan soal kakak sulungnya yang sudah bertahun tidak pulang ke rumah sederhana mereka.

"Tak. Dia mengikut laki dia lah." Puan Mazidah menjawab sambil lewa. Kedua-dua belah tangannya dilap pada kain dapur yang tergantung di dinding.

"Bukannya jauh sangat pun rumah dia tu mak. Setakat Seremban ke Seri Kembangan. Tak sampai 10 jam pun. Masuk tahun ni dah tiga tahun kan dia tak balik rumah ni?"

"Orang dah berkahwin kena ikut suami. Lagipun Kak Mas kau tu sibuk agaknya."

"Sibuk apanya? Dulu kan kakak ada cerita dekat mak yang suami dia tak bagi dia kerja dekat bank. Kebetulan masa tu kakak tengah mengandungkan Haidar." Tambah Manisa.

Manisa yang masih tidak berpuas hati berterusan mengasak Puan Mazidah dengan soalan. Memang dia tidak berpuas hati dengan Mastura. Bertahun-tahun tidak pulang menjenguk mereka di rumah walaupun ketika cuti perayaan. Setiap kali raya wajib pula balik ke rumah mertua. Tidak ubah seperti kacang lupakan kulit. Buat panggilan telefon bertanyakan khabar Puan Mazidah pun jarang-jarang sekali.

"Dia ada telefon mak tiga hari lepas. Nisa jangan risau la. Lepas siap makan tolong kemaskan dan cuci sekali pinggan dalam singki." Sempat Puan Mazidah berpesan sebelum dia keluar dari ruangan dapur.

Manisa faham kalau Puan Mazidah tidak mahu dia berlebih-lebihan dalam isu ini. Jauh di sudut hati seorang ibu, semestinya akan merindui anak yang tinggal berjauhan bertahun-tahun. Dia kembali meneruskan suapan. Dalam kepala sudah bermacam-macam perkara berlegar. Tentang SPA, Kak Mas dan pasal dia yang menganggur. Hish, pening kepala!





🍰

selamat membaca
Versi baru sikit. Saya tukar

ManisWhere stories live. Discover now