Tangan dibawa menyentuh epidermis pipi kiri Anan. Ibu jari Syaf menyeka titisan mutiara Anan yang jatuh. Aksa menatap tunak setiap inci roman muka Anan. Syaf menghantar dama bermukim di sukma dengan renungan hangat dan melemaskan. Kerdil sungguh mahkluk bernama manusia, letakkan sekelumit harapan kasih dari seorang insan yang sama sepertinya. Anan membalas sepasang bebola mata suaminya, mencari sesuatu yang tersirat dan terkandung dalam deria penglihatan itu.

Misteri. Magis. Euforia.

Tiga ungkapan cukup melambangkan segala yang terpancar. Sinar mengasyikkan kalbu wanita. Menerangi gelita perjalanan, disuluh cahaya agar meneruskan derapan.

"Dalam dunia ni awan, tak ada istilah sempurna. Aku pun banyak cacat cela dan silapnya juga. Setiap manusia ada kelebihan dan kekurangan, ada sesuatu yang mereka sorokkan daripada pengetahuan semua. In the end, kita sama tetapi diuji dengan cara berbeza." Syaf menasihati dengan berhati-hati. Risau aksara yang meniti di ulas bibir bakal menggores tangkai hati Anan.

Saat itu, jauh di dasar lubuk hati Anan ibarat ditikam belati. Silap diakah meluahkan dan berakhir dengan kekecewaan? Ya, diksi yang disampaikan Syaf sememangnya benar-benar belaka. Dia yang sensitif. Dia tak mampu kendali emosi sendiri.

Anan rapuh dan hancur. Dia bukan berniat mahukan nasihat. Hanya inginkan Syaf dengarkan segala luahan dirinya. Ya, Anan tak tuli lagi bahawasanya bukan dia sorang diduga dan ditimpa masalah. Cuma sejak dia menjadi sebahagian dalam keluarga Syaf, Anan dapat mengesan sesuatu.

Aneh. Empat abjad cukup menerangkan situasinya kini. Mengapa Allah pertemukan dia dengan lelaki bernama Syaf Inas? Apa kaitan dendam yang dahulunya diungkapkan oleh mereka kepada dia? Siapa umi sebenarnya sampaikan sekeping foto yang dijumpai mempunyai wajah mama?

Keperihan lama cuba disimpan, kotak pandora penuh rahsia. Mungkin detik dirungkaikan nanti, ia mampu mengubah hidup dirinya.

Belakang tangan Syaf, Anan pegang dan dibelai santun. Pandangan lunak diberi. Dia bawa turun tangan Syaf ke bahu kecil miliknya, memberi isyarat dan makna tersendiri. Syaf mencakna telepati Anan, dia menepuk perlahan situ seakan bantu mengurangkan bebanan sang isteri. Anan simpan senyum.

"Jangan tinggalkan Anan, boleh?" soal Anan penuh pengharapan. Mata bundar tidak lepas memanah pada seraut tampan jejaka bergelar suami. Ekspresi Syaf berubah sesaat sebelum dijernihkan semula dengan senyum ringkas.

"Aku dah janji akan jadi penawar untuk kau, awan. Tunggu aku tau," jawab Syaf dengan lancar. Tidak teragak-agak dalam memberi janji, harapan setinggi ancala yang perlu didaki. Betulkah Syaf bakal menunaikan atau sekadar kata tanpa isi?

"Tunggu apa?" Anan menyoal lagi. Skeptikal.

Bibir Syaf membentuk senyum segaris. Dia menurunkan tangan sehingga telapak tangan halus Anan saling bertaut dengan miliknya. Syaf sorotkan mata pada tangan Anan yang mengeligih. Dia genggam erat, mengawal kegusaran Anan. "Kau akan faham juga satu hari nanti, awan. Lagipun, awan pawana aku akan tunggu penawar dia kan?"

Anan kerdipkan mata, terkebil-kebil. Dia mengangguk sekali. Dada berombak kencang. Nafas direnggut tenang dan dihela berat. Air mata yang mengalir tadi kian mengering. Seulas bibir cuba mengulumkan segaris senyuman.

Sejujurnya dia takut, dibiarkan terkapai-kapai tanpa dahan sebagai tempat berpaut. Memang sebagai hamba, kita letakkan kebergantungan sepenuhnya kepada-Nya. Namun terdetik juga di hati kecilnya, Anan mempunyai seseorang di sisi menemani dia. Sekadar teman, tidak lebih mahupun kurang. Dia tahu untuk memahami memakan masa.

Anan pun turut keliru terhadap diri sendiri dan agak mustahil yang lain mengetahui dia. Allah, sesungguhnya engkau tahu segenap rasa yang terkunci ini. Sekiranya mulut tidak lagi mampu berbicara, kabulkan pula isi nurani ini.

Penawar Kasih Pawana | CWhere stories live. Discover now