Senyuman yang ingin terbentuk lebar pantas ditahan oleh Syaf. Bibir dikemam rapat tatkala butir bicara Anan yang mengutuknya diucapkan tanpa segan-silu. Kepala ditegakkan semula dengan mata galak memancarkan sinar kenakalan.

"Awan aku ada cakap something ke?" usik Syaf lagi. Anan mengertap bibir kuat menahan geram. Wajahnya yang panas kerana malu kini berubah kepada marah. Melahar pula kulit putih Anan apabila Syaf sedari tadi memberi air muka penuh miring kepadanya.

"Anan masih tak percayakan abang tau. Abang cuma tahu sebahagian kisah Anan bukan sepenuhnya," ujar Anan sekaligus riak Syaf berubah keruh.

"Then, tell me." Syaf mencabar.

Anan menggeleng. Dadanya berombak kasar. Hati dia sebu, fikiran bercelaru. Tidak bentah berada di fasa mengenali diri masing-masing, Anan mengeluarkan topik lain untuk dibincangkan. Senyum lebar dipasang Anan menutupi kegusaran. Syaf tidak perlu ketahui dan itu lebih baik. "Abaikan, Anan mengarut tadi. Apapun, abang suka langit tak?"

Sebab Anan takut, kalau abang tahu nanti akan tinggalkan Anan. Lagipun abang beli Anan kan, jadi Anan tak patut hanyut. Biarpun sekarang kebahagiaan yang diterima ini mungkin seketika tapi cukup disimpan sebagai bekalan kenangan untuk Anan. Jadi, Anan mohon pinjam sedikit waktu dan kasih abang, luangkan bersama dengan Anan. Desis hatinya.

"Anan Nurfiza..." suara Syaf mengendur. Nafas ditarik dan dihembus lelah. Mata ditutup seketika. Rahang bergerak umpama mahu mengeluarkan suara tetapi ditentang dengan suara akal.

Utamakan yang sepatutnya, jangan terlalu mengikut emosi. Mengasak Anan hanya mencetuskan persalah fahaman. Selangkah demi selangkah dalam membina mahligai yang sejahtera, itu lebih baik. Air muka Syaf berkocak hebat. Dia tak marah cuma lebih kepada kesal. Syaf sedar silapnya juga kerana memulakan langkah yang akhirnya menjerat diri.

"Abang suka langit tak?" soal Anan sekali lagi dengan nada tertahan-tahan. Mahu mengalih topik perbualan mereka atau lebih tepatnya menghentikan perlakuan Syaf yang mengerunkan dia penuh jayanya. Riak takut yang dipamerkan cuba diubah kepada ekspresi toya. Jangan terkesan Anan dengan Syaf, suaminya memang sengaja ingin menganggu atma wanita yang kian bergelora.

Syaf membawa tangan ke depan lantas berpeluk tubuh. Kening nipis Syaf berkerut seakan ligat berfikir bagi mendapatkan jawapan. Mata dibuka dan dipanahkan kepada Anan sehingga pandangan mereka saling bertaut. Segera Anan melarikan muka dan melepaskan dengusan halus. Dalam masa yang sama, bebola mata Anan melirik juga pada roman Syaf.

Senyuman dikoyakkan setelah Syaf menemui tali yang meleraikan kekusutan itu. Yakin dengan balasan yang akan diberi, dia pejam mata dan merenggut nafas panjang lalu dihela perlahan-lahan. Kesempatan tersebut Anan meluru mampir ke arah Syaf.

"Suka sangat." Syaf jatuhkan kepala berkali-kali mengiakan. Anan pantas menjengketkan kaki dan menangkup wajah Syaf dengan senyum senget menyungging di bibir. Automatik terbuka kelopak mata Syaf dan membuntang besar manakala muka Anan pula sudah berbahang. Gelodak di dada mereka berdetak abnormal. Tidak menunggu lebih lama, bibir Anan menyasar pada puncak hidung Syaf.

Anan turunkan semula kaki dan terus membenamkan muka pada dada Syaf. Malu. Tidak sanggup dia untuk melihat Syaf yang mungkin masih terkedu tindakan beraninya. Namun sekurang-kurangnya mereka seri, satu sama dan itu cukup memuaskan Anan berpuas hati.

"Anan pun suka. Langit tu macam Anan kan lagi-lagi awan tu," gumam Anan perlahan. Kepala mecongak untuk mencuri pandang Syaf. Serta-merta secangkir senyum terbentuk di bibir Syaf dan tangan kekar itu mengusap lembut tempurung kepala Anan.

"Haah, kau awan pawana aku. Nama kau cukup melambangkan diri kau, Anan Nurfiza."

Dahi Anan berkerunyut mencerna balasan Syaf. Benarkah sebaris nama dia mengambarkan dirinya? Namun Anan tetap mengukir senyum suka kerana nama penuhnya disebut. "Aku nak bawa kau jalan-jalan sekali hari ni, awan."

Penawar Kasih Pawana | CWhere stories live. Discover now