"Mana duitnya?" Puan Ina tidak mahu berdalih, terus ke pangkal asal tujuan dia datang ke sini. Jikalau diikutkan dia tidak mahu pun jejak ke sini. Membuang masa dan tenaga namun janji habuan lelaki itu haruslah dituntut. Duit sebanyak itu diterima dengan cara yang begitu mudah hanya memberi Anan sebagai galang ganti. Puan Ina dasar mata duitan.

Syaf membuang keluh. Wanita tua di hadapannnya ini memang hanya mahu menembus wang yang dijanjikan sahaja. Poket seluar baju melayunya diseluk mengeluarkan sampul surat tebal coklat lalu dihulurkan kepada Puan Ina. Pantas Puan Ina menyambut dengan senyum mekar di bibir tuanya.

"Saya Syaf Inas iaitu suami Anan Nurfiza dan dia kini bergelar sah sebagai isteri saya. Ini dia sepuluh ribu yang dijanjikan oleh pihak kami atau ada apa-apa lagi yang puan tidak berpuas hati ingin dibincangkan?"

Puan Ina ukirkan senyum sumbing sambil membelek sampul berisi kepukan wang. Matanya berkilauan melihat jumlah duit yang kini berada di tangannya. Al-maklumlah, sesenang itu mendapat duit malahan menyakinkan bahawa jejaka itu tidak menipunya. "Takde. Aku puas hati."

Bibir menyungging senyum sinis. Songkok di kepala dibuka sebentar lalu menguak rambut yang terjuntai sebelum disarungkan semula. "Mohon jangan ganggu kehidupan kami selepas ni. Puan tiada lagi hak dan bebas daripada Anan. Anan sekarang di bawah jagaan saya sepenuhnya." Tegas Syaf menuturkan bicara.

Puan Ina berpaling tubuh tidak mengendahkan lagi kata-kata Syaf. Dia mahu cepat pulang kediamannya. Urusannya telah selesai dan dia enggan berada lama-lama di situ. Puan Ina kini hanya tinggal bersama anak sulungnya, Farl kerana Harriz dan Fiena telah pun berpindah keluar pada hari yang sama Anan berambus daripada rumahnya.

Namun yang anehnya Fiena kelihatan berbeza. Wajah satu-satunya anak perempuannya itu penuh ketakutan semasa disoal dan bersalam dengannya meminta izin untuk pergi pada hari tersebut. Puan Ina tidak mahu memperbesarkan hal sekadar mengunci mulut.

Syaf angkat kepala menala langit senja. Dersik angin bertiup lembut menyapa wajahnya. Pohon-pohon di sekeliling rumah melambai perlahan. Ambien hening buat seketika membuatkan Syaf leka. Tiba-tiba hujung baju belakangnya ditarik oleh seseorang. Syaf memalingkan muka dan bingkai pandangannya dipenuhi wajah Anan semata-mata. Cantik. Getus hatinya apabila melihat Anan yang turut terpaku memandangnya. 

Suasana sunyi. Malaikat lalu barangkali.

Dalam masa sama, Ummar daripada kejauhan yang turut ingin beredar pulang meluru kepada pasangan pengantin itu. Mestilah kena beritahu tuan rumah sebelum pergi. 

"Korang buat apa tu?" Ummar mengajukan persoalan mengejutkan Syaf dan Anan. Dia sengaja mengusik. Matanya menjeling pada Syaf yang sudah menggerakkan halkumnya menahan gelodak emosi. Kacau daun betul lah, Ummar. 

Anan menayangkan raut bingung dengan pertanyaan Ummar. Dia ingin memanggil Syaf agar memasuki rumah kerana waktu maghrib hampir menjelma. Namun dirinya terpanggil untuk membalas persoalan Ummar. Bebola mata Anan bersilih-ganti melihat dua insan lelaki itu. Kenapa tetiba dia rasakan situasi sekarang dipenuhi aura tegang?

"Encik Syaf kan suami Anan dan Anan pula isteri dia. Salah ke Anan nak panggil suami sendiri?" jawab Anan dengan lagak dungu.

Syaf tepuk dahi. Ummar sudah bantai ketawa. Ya Allah, lurus bendulnya gadis awan dia ni. Tidak mengapa, Syaf suka kepolosan Anan itu.

"Mar, dengar tak?" soal Syaf kepada Ummar. Alisnya menjongket tinggi seperti bangga. Dia telah memegang gelaran suami rupanya. Ummar mencemik.

"Semua tentang tanggungjawab, Syaf. Kau ada komitmen baru lepas ni dan aku rasa kau cukup arif tentang tu," pesan Ummar dengan berhemah.

Syaf angguk mengiyakan. "Ya, aku tahu." Dia memandang Anan pula sebelum tersenyum sumbing. Mentol idea untuk mengenakan gadis awannya muncul.

"Pandai pun awan aku ni," puji Syaf seraya menggosok kepala Anan sehingga rosak kedudukan awning tudung isterinya. Jeritan kecil Anan kedengaran. Bibir mungil Anan menjuih dan dia berundur setapak menjauhi Syaf. Tidak mahu tudungnya dirosakkan lagi.

Penawar Kasih Pawana | CWhere stories live. Discover now