BAB 1

262 14 2
                                    

"KAU yakin ke ni rumah yang betul?" soal Ariella kepada Jed yang mendengar melalui alat komunikasi talker yang terpasang di telinganya. Kedua-dua tangannya kejap memegang sepucuk pistol sambil belakang badan bersandar pada dinding rumah. Menanti masa untuk membelok ke koridor di sebelah kanannya.

"Ya, aku yakin. Sejak bila pula kau pandai ragu-ragu dengan kemahiran aku cari maklumat ni?" balas Jed.

Gerak-geri Ariella diperhati di skrin komputer di depannya.

"Koridor sebelah kanan clear," tambah Jed apabila tiada kelibat pengawal keselamatan kelihatan melalui rakaman kamera pengawasan rumah agam yang telah digodam itu.

Ariella buat muka. "Just making sure," jawabnya sebelum terus membelok ke koridor di sebelah kanan. Ruang atas rumah itu masih kosong. Memang tak ada orang ke dalam rumah ni? Benak Ariella tertanya-tanya sendiri sambil langkah terus diatur penuh berjaga-jaga.

"Ariel, tunggu. Belakang..." Tidak sempat Jed memberi amaran, dua orang pengawal keselamatan yang sedang pantas berlari menuju ke arah Ariella berhenti di belakang gadis itu dengan pistol masing-masing teracu tepat ke kepala Ariella.

Ariella yang tidak sempat bertindak apa-apa segera mengangkat kedua-dua tangannya tinggi. Hati menyumpah perlahan.

"Jed..."

"Ops, sorry." Jed menyengih sendiri. Tajam matanya fokus ke arah Ariella. Tak sabar nak tengok apa yang akan gadis itu buat untuk bebaskan diri.

"Letakkan senjata dan pusing perlahan-lahan," arah salah seorang daripada pengawal keselamatan itu dengan suara tegas.

"Awh, really? Mana adil macam tu..." Ariella pura-pura mengeluh.

"Letakkan senjata!" Pengawal itu menjerit lebih kuat tanda dia serius.

Ariella buat muka mengajuknya. "Sure thing," balasnya kemudian. Pistolnya dicampak ke lantai lalu dia perlahan-lahan berpusing ke belakang dengan tangan masih tegak terangkat.

Belum pun kedua-dua pengawal itu bertindak, Ariella memusingkan tubuhnya dengan tangkas sambil mengangkat sebelah kaki, menendang lengan salah seorang pengawal sehingga pistolnya terlepas jatuh.

"One down."

Kemudian Ariella meluncur ke lantai dengan kedua-dua belah kaki menendang kaki pengawal yang satu lagi sehingga tubuh lelaki itu rebah. Peluru yang sempat dilepaskan lelaki itu tersasar ke pemegang sisi tangga. Bunyinya sahaja sudah cukup untuk mengejutkan para penghuni yang tadinya Ariella yakin tiada di rumah.

"Ariel! I thought we were going to do this the silent way!" Jed terjerit di telinga Ariella.

Ariella bingkas melutut sebelah kaki sambil tangan mencapai sepucuk lagi pistol dari sarung pistol yang membelit lututnya lalu melepaskan tembakan ke paha pengawal yang pertama tadi. Lelaki itu rebah semula.

"Sorry, Jed. Plan B." Belakang pistolnya dihantuk kuat ke kepala pengawal kedua yang cuba menyerang dari belakang.

Apabila pengawal itu jatuh ke lantai, sekali lagi muka lelaki itu dipukul dengan kepala lututnya. Terus terlentang tidak sedarkan diri.

"Okay, two down. Tiara tu kat mana?" soal Ariella sambil mengutip pistolnya yang jatuh tadi. Kedua-duanya diselitkan semula di lututnya. Pistol dua pengawal itu pula disepak sejauh mungkin.

"Naik satu lagi tingkat. Bilik ketiga dari tangga."

"Copy that."

Tanpa bertangguh, Ariella berlari mendapatkan tangga. Ketika sampai di tingkat tiga, bunyi penggera keselamatan tiba-tiba kuat menerjah telinganya. Sekali lagi Ariella menyumpah. Nampaknya dia perlu keluar dari situ sebelum pihak polis tiba.

Pewaris Puteri BestariWhere stories live. Discover now