Dua

1.4K 198 3
                                    

Ada orang,
dia sedang dalam proses 'healing'.
Proses pemulihan hati.
Ada orang,
dia sedang berkeras untuk kekal bertahan. Ada orang,
dia sedang belajar bagaimana untuk bangkit dan mengejar.

Dan dalam ramai-ramai manusia itu,
Ada yang gagal.

Ada yang rebah dalam hanyutan masa silam.
Ada yang terbunuh jiwa dan tak mampu bertahan.
Ada yang jatuh terjelopok tatkala dugaan bertandang.

Kamu, kalian, kita.

Barangkali kalian tidak mampu memahami,
cukuplah sekadar memerhati.
Barangkali kamu yang tak mahu ambil peduli,
cukuplah sekadar menyepi.

Dia yang drastik jauh dan sunyi,
Bukan bermakna kamu dilupa dan dibelakangi.

Sesetengah jiwa itu,
perlukan masa untuk rawat apa yang sudah terluka.

Mereka,

Cantik sayangnya sekitar terdekat berantakan,
Berharta sayangnya hilang pertimbangan,
Terlihat sempurna bahkan mental di awan-awangan.

Kamu yang masih dipelihara,
Kamu yang masih Tuhan lindungi dan jaga,
Cukup kamu bersyukur dan cuba berundur.

Kalaupun kamu maju,
Kata-katamu itu bakal menggores jiwa rapuh yang berdebu.

Kamu, kalian, kita.

Sudah dewasa semua,
Sudah mengerti apa itu dunia.

Namun barangkali, kakimu belum menjumpai sepatu berduri.

Dalam dunia yang penuh dengan sihir-sihir mati,
Jadilah penawar yang diam-diam mengubati.

Meskipun,
Bukan dengan huluran tangan atau pinjaman bahu untuk sandaran,
Cukuplah sekadar doa di atas sejadah sebagai perantaraan.

Kamu, kalian, kita.

Sepatutnya sama-sama mengerti,
Bukannya sama-sama iri hati.

Tidak begitu, kamu?

.

2021, Jun 8,
Jam 1128,
Harleen.

Lunatic Asylum Where stories live. Discover now