BAB 8

725 17 5
                                    

** BAB 8 **

TENGKU SYAHRAN mula bekerja hari ini. Seawal jam 8.00 pagi dia sudah sampai di Neraca Holdings. Walaupun cuma empat hari bercuti, dia terasa seperti seminggu lamanya dia terperuk di rumah. Tiada langsung aura pengantin baharu yang dirasainya padahal dia yang berkahwin.

"Assalamualaikum, Encik Syahran," sapa Yani.

Gadis kecil molek itu tersenyum manis menyambut kedatangannya pagi itu. Tengku Syahran membalas senyuman setiausahanya seperti biasa.

"Walaikumussalam. Ada appointment untuk saya hari ini?" tanya Tengku Syahran sedikit ceria.

Tidak tahu mengapa dia berasa segar sekali hari ini. Mungkin disebabkan solat jemaah yang diimamkan pagi tadi. Pertama kali dia bersolat Subuh diiringi makmum yang mana makmum itu adalah Zahlia, isterinya.

"Happy aje Encik Syahran! Ada apa-apa ke?" tegur Yani membuatkan Tengku Syahran ketawa kecil.

Setiausahanya itu memang pandai mengambil hati. Buat kerja pun jarang ada yang silap.

"Awak ni faham ke tak soalan saya, Yani?" Berbaur gurauan kata-kata Tengku Syahran.

Yani tersenyum simpul. Menyedari kesilapannya.

"Maaf Encik Syahran. Hmm... hari ni Encik Syahran ada appointment dengan Encik Adli," ucap Yani sambil meneliti aplikasi rancangan harian dalam Ipad yang dikhaskan untuk temujanji majikannya.

Berkerut dahi Tengku Syahran. Segera dia melepaskan pandangan ke pintu bilik Adli tak jauh dari situ. Adli adalah teman-nya sejak sekolah hingga melanjutkan pelajaran ke universiti di London. Kini Adli merupakan salah seorang pekerja penting di Neraca Holdings, syarikat yang diuruskannya ini.

"Apa dia nak?"

"Encik Adli ajak Encik Syahran main boling malam nanti. Dia dah booking kat tempat biasa." Yani masih memandang skrin Ipad di tangannya.

"Aikk... personal case pun awak catat dalam tu ke?"

"Dah tugas saya Encik Syahran. Encik Adli suruh saya tinggalkan pesan dan saya sebagai setiausaha Encik Syahran hanya menurut perintah."

Tengku Syahran mengangguk. Kemudian dia melangkah ke biliknya. Ingin meneruskan tugas yang terbengkalai. Nasib baik dia tidak ambil cuti panjang. Jika tidak banyaklah kerjanya yang terpaksa dibereskan.

Itu pun emaknya tak habis-habis mempersoalkan hal bulan madunya. Asyik menyuruh dia bercuti panjang dan membawa Zahlia melancong ke tempat orang. Lemas dibuatnya!

Ya ALLAH, berilah aku kekuatan untuk menghadapi perkahwinan tak dirancang ini dengan tabah.

Tiba-tiba pintu bilik terbuka luas. Tengku Syahran terkejut. Adli muncul dengan senyuman.

"Assalamualaikum," sapa Adli.

"Walaikumussalam. Kau dari mana?" soal Tengku Syahran seraya mencampak pen di atas meja.

Adli terus duduk di hadapannya.

"Aku dari bilik ofislah. Mana lagi?"

"Anis sihat?"

"Okey. Semalam aje dia tak sedap badan. Faham-faham ajelah orang perempuan kalau mengandung. Kau macam mana? Sejak jadi pengantin baru ni, bukan main lagi. Tak call aku langsung masa cuti. Sibuk berhoneymoon ke?" usik Adli dengan ketawa nakal.

"Merepeklah kau. Nothing happen okay? Jangan nak fikir bukan-bukan," jawab Tengku Syahran. Bengang pula dia mendengar ketawa mengusik rakannya itu.

BICARA HATIWhere stories live. Discover now