7

1.4K 289 39
                                    

                        PUAN Halimah meletakkan punggung di atas sofa. Alhamdulillah, jualan keropok lekornya hari ini habis juga di gerai. Dapat juga untung walaupun sedikit untuk menyara dua orang anaknya, Adam dan Damia. Pandangan dialih ke arah budak perempuan berusia 15 tahun. Tahun ini dia akan menduduki PT3. Jadi Damia harus lebih fokus dan mengulang kaji pelajaran yang ketinggalan.

Puan Halimah tersenyum senang melihat Damia yang sedang menulis karangan di atas lantai. Kadang kala kasihan juga melihat anaknya terpaksa menulis di lantai, nak beli meja kerja pun duit masih belum cukup. "Damia, abang Adam mana?"

Damia mengangkat wajah memandang ibunya. "Abang Adam kata hari ni dia ada program Matematik dekat sekolah. Tapi abang tak bagitahu Mia pun nak balik pukul berapa?"

"Dia pergi program matematik tu juga?" soal Puan Halimah sedikit terkejut. Damia mengangguk kepala tanda benar. Ada keluhan berat di bibir ibunya. Bukan dia tidak suka anaknya menyertai program matematik itu, tapi dia lebih risaukan tentang kesihatan anak sulungnya itu.

"Haih, Adam ni... ibu dah cakap dekat dia jangan pergi, kenapa dia pergi juga?"

"Abang kata dia ada janji dengan kawan." beritahu Damia. Kening Puan Halimah berkerut.

"Kawan? Siapa? Bukan ke abang dengan kawan Mukhriz dia tu dah tak rapat?"

Damia menjongket bahu tanda tidak tahu. Dia tak sempat tanya pula abangnya berkawan dengan siapa? Mungkin Adam baru bertemu dengan kawan baharu di sana. "Entahlah, ibu. Abang Adam tak cakap apa-apa pun."

Puan Halimah mengeluh kecil. "Macam-macam abang kamu ni..." gumamnya. Puan Halimah bangkit dari sofa.

"Mak nak masak kejap. Nanti jangan lupa bersiap. Ada kelas mengaji petang nanti." pesan Puan Halimah kepada anaknya. Damia mengangguk kepala tanda akur. Kebiasaannya, pada pukul 3 petang dia akan pergi ke kelas mengaji bersama rakan-rakannya yang lain.

Lantas, Puan Halimah pun mengatur langkah ke dapur.

Tok! Tok! Tok!

Bertalu-talu pintu diketuk bagaikan samseng yang datang ke rumah. Serta-merta langkah Puan Halimah terhenti. Niat yang tadi hendak ke dapur terus terbatal gara-gara ketukan yang memanggil tak henti-henti.

"Halimah, buka pintu ni! Kau dengar ke tak? Buka pintu ni, Limah! Woi!" makin galak suara garau itu mengetuk pintu rumahnya. Damia sudah berubah cuak. Dia kenal pemilik suara itu. Sungguh menakutkan! Nak buat kerja sekolah pun tak tenang dibuatnya.

"Damia, pergi masuk bilik." arah Puan Halimah. Damia mengangguk kepala. Tanpa berlengah, terus buku tulis dan alatan menulisnya dibawa bersama masuk ke dalam bilik. Pintu ditutup rapat. Tidak mahu mengganggu privasi ibu dan si lelaki tak reti sabar itu!

Setelah kelibat anaknya hilang, Puan Halimah terus melangkah ke arah pintu. Nafas ditarik panjang lalu dihembus dengan perlahan. Cuba untuk bersabar. Lantas, tombol pintu dipulas dan dikuaknya.

"Ha, buka pun pintu! Aku ingatkan semua orang dah mati dalam rumah ni. Lain kali cepat sikit boleh tak? Kau ingat aku ada masa ke nak tercegat depan rumah buruk ni?" bentak Zainal. Gaya lelaki itu tak ubah seperti samseng jalanan. Dengan baju lusuh dan comot, berbau busuk! Rambut serabai seperti orang tidak betul. Lingkaran bawah matanya juga hitam seperti tidak tidur selama berhari-hari.

"Awak nak apa lagi, bang? Kita dah tak ada apa-apa, tolonglah berhenti buat kacau dekat rumah saya ni. Tak kesian ke dekat Damia? Dia takut!"

"Hei, siapa kata kita dah tiada apa-apa? Aku belum ceraikan kau lah. Lantak dia lah nak takut ke apa? Aku tak kesah. Yang penting sekarang, aku nak duit. Adam mana? Aku dengar cerita dia kerja part time dekat cafe? Mesti duit dia banyak, kan?"

CRUSH | E-BOOK|Where stories live. Discover now